Musim Panas 2013: Perkenalan
Jumaat yang lepas mengingatkan saya pada dua orang bapa yang saya ada. Sengaja menulis di sini untuk mengenang memori apabila duduk berjauhan di UK ini.
Ayah: Cikgu Shuhaili
Jumaat lepas ayah diraikan sempena persaraannya. Sedar tak sedar sudah lebih 30 tahun berada dalam profesyen perguruan dan kini sampai ke hujungnya. Antara tiga sekolah yang ayah mengajar, hanya yang pertama di Manong yang saya kurang jelas memorinya kerana masih kecil. Di sekolah inilah, sebelum saya lahir, ayah dan mak berkenalan dan mula membina rumah tangga.
Ayah merupakan cikgu Bahasa Melayu. Ketika kecil, antara tugas yang ayah berikan ialah mengira patah perkataan karangan pelajarnya supaya tidak melebihi had ditetapkan, juga menjumlahkan markah kertas pelajarnya. Selalu juga ayah minta saya taipkan soalan peperiksaan di komputer. Yang masih dipraktikkan pastilah kemahiran berbahasa Melayu. Ada juga rasa serba salah kalau ayat dan dokumen bertulis pada ayah pada bahasa yang tidak gramatis. Haha. Inilah antara kenangan dengan profesyen perguruan ayah.
Dapat rasakan banyak kebahagiaan hidup saya besar kemungkinannya datang hasil bakti ayah (dan mak) mengajar anak bangsa. Terasa juga seperti bakat mengajar turun daripada mereka. Daripada merekalah saya rasa besarnya erti pendidikan serta kepentingannya pada agama bangsa negara.
Projek besar ayah selepas ini ialah menyertai Duyuf ArRahmaan. Moga ibadah yang ayah akan tunaikan ini merupakan haji yang mabrur dan diterima Allah.
Abah: Dr Zain
Jumaat lepas pula tarikh friendversary saya dan abah. Enam tahun sebagai kenalan di Facebook. Haha. Menjadi friend selepas kali pertama berjumpa dan mendengar perkongsian daripadanya pada tahun 2010 di Masjid KLIA beberapa bulan sebelum fly ke UK.
Kami tidaklah selalu bertukar komen di facebook, tetapi yang ada, apabila dibaca semula, terasa segan dan tidak sangka ia membawa kepada hubungan mentua - menantu. Pernah dua kali terlibat dalam team menguruskan program abah di UK. Banyaknya mengenali abah ialah pada memerhati pelbagai misi kemanusiaan dan perubatannya dari jauh secara maya. Hinggalah pada hujung musim panas 2015, saya menikahi anaknya, setelah selesa memerhati abah dan keluarganya. Cuma tak sempat berkenalan dengan lebih mendalam, tiga bulan selepas berkahwin, saya dan isteri terbang ke UK.
Musim Sejuk 2012: alamat kecil mula terasa :)
Sepanjang mengenali abah, saya kira ada tiga nilai utama yang sehingga kini saya kagum padanya serta mahu saya contohi. Peribadi yang berhikmah, merendah diri serta taglinenya "Peduli Ummah". Meneliti pesanannya secara online ketika berfacetime, group chat selain melalui facebook sedikit sebanyak menjadi bekalan untuk memahami dan mencontohi jejak langkahnya. Inilah serba sedikit perkenalan saya dengan abah hingga kini.
Yang pasti, sejarah dan pengalaman bersama mereka berdua akan cuba dimanfaatkan untuk menghadapi zaman kebapaan saya pula akan datang, mudah-mudahan.
"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." [AtThur, 52:21]
"... dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka)" [alKahf, 18:82]
No comments:
Post a Comment