Perjalanan Yang Panjang
Sudah 59 tahun kita merdeka daripada dijajah kuasa asing. Selama inilah kita bebas menentukan hala tuju negara kita. Tiada lagi cengkaman British, Jepun, Belanda, Portugis juga komunis ke atas negara kita. Kenangkan semula, bukannya sedekad dua kita dijajah, ia tempoh yang panjang iaitu kira-kira 450 tahun.
Tangisan, darah, keringat; semuanya keluar untuk memperjuang nasib tanah bertuah ini. Termasuk juga sepanjang perjuangan membina dan mempertahan kegemilangan tamadun serantau yang bermula berabad-abad sebelumnya. Inilah sejarah panjang kita, ia tidak datang percuma.
Sebab itu dalam menentukan halatuju dan identiti negara kita, saya setuju dengan kata-kata bahawa tidak cukup memerhati zaman selepas kemerdekaan semata-mata. Seolah-olahnya seronok menikmati kemewahan tanpa menginsafi kesusahan yang dialami untuk mendapatkannya.
Tujuan Sejarah Dikenang
Ramai yang bertanya untuk apa sejarah panjang ini dikenang, bukankah yang penting ialah masa kini dan masa hadapan. Jawabnya adalah pada sejauhmana pengajaran dan penelitian yang dapat kita perhatikan melalui sejarah masa lalu. Perpecahan, pengkhianatan, kelalaian daripada agenda dan segala bentuk kelemahan yang wujud pada zaman dahulu sewajarnya menjadi lubang yang diumpamakan Rasul saw, orang beriman tidak boleh jatuh ke dalamnya dua kali.
Merenung semula nasib kita hari ini, kita terpaksa mengakui bahawa simptom penyakit yang meletakkan diri kita bawah penjajahan ini sudahpun ada dan merebak dalam warganegara kita. Siri serangan pemikiran yang melarikan kerangka berfikir muslim daripada neraca syara’ cepat mendapat pengaruh sepantas maklumat di hujung jari. Begitu juga penyakit wahan iaitu cintakan dunia dan takutkan mati – yang disifatkan nabi sebagai sebab umat-umat lain berkumpul mengelilingi kita seperti mengerumuni habuan – kelihatannya merosakkan generasi kita terutamanya golongan muda mudi.
Pengajaran Buat Mahasiswa
Bagi mahasiswa luar negara, cabarannya mungkin lebih terasa. Pantauan ibu bapa yang tidak lagi rapat, hiburan yang mudah diakses, kemewahan wang biasiswa; faktor-faktor ini dirisau melarikan mereka daripada matlamat utama berada di sini – ijazah. Lebih dahsyat jika misi utama sebagai seorang manusia juga muslim terkorban sama. Seperti kata Naquib Al-Attas,
Muslim tergenggam belenggu kafir, akhirat luput dunia tercicir
Budaya jahil luas membanjir, banyak yang karam tiada tertaksir
Al Quran mencatat dalam surah Al Jumuah bahawa bangsa yang berada dalam kesesatan yang nyata, dikembalikan semula ke landasannya melalui peranan utusan rasul yang membacakan ayat-Nya, mensucikan mereka serta mengajarkan Al Kitab dan Al Hikmah. Dari sinilah mahasiswa sebagai aset berharga, lebih-lebih lagi di luar negara, seharusnya sedar mereka mempunyai potensi dan wibawa tersebut. Pada mereka tersandar harapan untuk mengemudikan negara ini.
Tidak ada langkah yang terbaik apabila menyedari penyakit dan simptom penjajahan ini melainkan memberikan rawatannya. Gagal menyedari peranan dan realiti masalah hari ini dibimbangi akan melarikan mahasiswa daripada projek pembinaan negara.