Monday, 2 February 2015

Tarbiyyah Realiti


Dulu waktu belajar tentang ghazwul fikr, selalu keluar tentang formula seperti 5F 5S sebagainya. Formula merumuskan medium musuh Islam melemahkan umatnya. Fun Food Film Female Song Sex Screen bagai. Disebutnya satu-satu contoh yang masyarakat dah termasuk dalam serangan musuh ini. Pernah juga duku jumpa kawan yang teruja dengan pendedahan seperti ni, siap selalu jadikan sebagai tajuk tazkirah. Harapnya sampai sekarang dia komited berhati-hati dengan serangan itu.

Bagus dan terujanya pendedahan seperti ini, sebab ia berkaitan dengan realiti yang boleh dijumpai berhari-hari. Ia menterjemahkan idea pertembungan dan permusuhan yang ada dalam buku ke bahasa realiti. Fikrah diterjemah pada situasi hari ini dan terasa lebih dekat dengan manusia.

Dan pada hari ini, pertembungannya bukan sahaja secara idea, tetapi dengan manusia. Ia bukan lagi dibuat secara dalaman tersembunyi, tetapi terbuka dan berhadapan. Bukan lagi beretorik seperti jaguh kampung berbincang idea sesama orang Islam, tetapi menegur dan memberi amaran secara berhadapan dengan musuh dan mediumnya.

Contoh, kerapuhan liberalisme dihuraikan bukan sahaja secara akademik dalam kuliah di masjid atau kertas kerja konvensyen secara terbuka, tetapi juga menjelaskan siapa musuhnya dan mengkritik agenda yang mereka bawa. Masyarakat diperkenalkan kepada siapa dalangnya, dari organisasi mana, siapa yang mendanai mereka dan pelbagai maklumat lagi agar dalang-dalang ini dijauhi.

Harga yang perlu dibayar juga bertambah. Ada masa perlu berurusan dengan mahkamah disaman seperti kes Marina dan Comango. Ada masa dituduh menghasut seperti sejarah pencerobohan bangsa Cina. Ada masa dituduh sebagai pelampau dan ekstremis. Pertembungan secara berhadapan ini bertambah sengit.

Mungkin inilah pengertian tarbiyyah - pengembangan. Fikrah itu bukan sahaja berada dalam kepala, tetapi juga berkembang ke realiti. Ia bukan sekadar manis diungkap dalam tazkirah, tetapi mengasah kejantanan menghadapi musuh dengan berani. Mengungkap fikrah bukan lagi dengan rakan seikhwah, tetapi juga dalam bahasa mengkritik musuh, juga difahami masyarakat. 

Dan apabila pertembungan diterjemah dengan bertambah jelas seperti ini, semakin terasalah bagus dan terujaan yang dirasai berbanding apa yang dialami dahulu.

Popular Posts