Nota dari Brazil,
buah fikiran bersempena Hari Kemerdekaan
Salah satu persamaan Brazil dan Malaysia ialah kedua-duanya pernah diduduki Portugis. Portugis datang ke Brazil tahun 1500, Melaka pula jatuh ke Portugis tahun 1511. Abad 1500-an merupakan era Gospel Gold Glory, mereka bermotivasi kuat untuk menyebarkan agama, mengejar kekayaan dan kemegahan melalui perluasan empayar.
Portugis meninggalkan bahasa Portugis menjadi bahasa rasmi di Brazil ini - dapatla juga teka beberapa perkataan seperi toalha, camisa, queijo, pao, escola, igreja. Begitu juga dengan agama, warga Brazil dipaksa untuk menerima kepercayaan Kristian Katolik dan membayar cukai kepada gereja pada masa tersebut. Brazil juga pernah menjadi kota Portugis tempat rajanya lari ketika Portugal dijajah.
Malaysia? Portugis hanya berjaya menduduki kota Melaka dan di kawasan pelabuhan, tak dapat tembus masuk dalam. Untuk duduki Melaka pun perlukan beberapa siri perang, hebat pendekar kita melawan. Bahasa Melayu pula yang pernah menjadi lingua franca, berjaya dipertahankan, kekal menjadi bahasa rasmi hari ini. Agama Islam - tak mudah nenek moyang kita ditukar agama lantaran kuat sebatinya Islam pada jati diri. Semangat jihad mereka tetap mengalir walau penjajah bertukar ganti.
Jelas berbeza kesan penjajahan walaupun dijajah kuasa yang sama. Pengajarannya, semua ini sebenarnya berjaya dipertahankan melalui perjuangan yang bersungguh-sungguh. Perjuangan ini jika kita renungkan sebenarnya tak pernah berakhir, kemuncaknya masih jauh, manakala musuh dan ancaman akan sentiasa ada.
Hari ini, kerisauan terhadap hal berkaitan Islam dan Bahasa Melayu di negara kita semakin meningkat. Kerajaan yang mereka tukar dengan harapan dapat merasa ekonomi maju tanpa rasuah, rupa-rupanya yang mereka rasa ialah tercabarnya kedudukan agama, bangsa dan bahasa mereka. UEC, kenyataan rasmi bukan bahasa Melayu, LGBT, arus liberalisme, syiah, macam-macam berkembang subur dan berani mengangkat muka akhir-akhir ini.
Kita akhirnya dibiasakan agar merelakan Islam menjadi mandul dan tidak berkembang. Ideologi lain dibiarkan duduk sama rendah diri sama tinggi dengannya. Tiada lagi kecemburuan dan kemegahan untuk melihat agama dan bahasa kita menjadi rujukan. Kisah-kisah kegemilangan empayar Melayu dan perjuangan ratusan tahun melawan penjajahan dikesampingkan. Kita dibuai kenikmatan 60 tahun kemerdekaan lalu melupakan kepahlawanan serta kemegahan kita ratusan tahun sebelum itu.
Mahu tidak mahu, kita perlu orientasikan “gps” kita agar benar-benar memahami apa perjuangan dan objektif kita. Barulah ruh dan objektif agenda besar kita menjadi jelas. Sekadar berpada dengan yang ada dan tidak mendesak agenda kita kehadapan bukanlah jiwa pejuang. Maka seruan seperti mengangkat semula tamadun Melayu dan mengembalikan semangat perjuangannya sepatutnya disokong.
Hidup tanpa perjuangan hanyalah ibarat binatang ternakan yang menunggu masa sembelihan. Sejarah 1511 mengajar kita bahawa sekali kita jatuh dijajah, bukannya sekejap masa yang diperlukan untuk menjadi tuan di tanah sendiri ini semula.
Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-61
Sayangi Malaysiaku
Ini Negara Perjuangan
Rio de Janeiro
Ambang 31 Ogos