Islam tidak mengelirukan umatnya tentang apa itu kebenaran yang sebenar. Dalam Islam, kebenaran datangnya daripada Allah, diperturunkan kepada kita melalui kitab-Nya yang telah diwahyukan kepada Rasulullah lalu disampaikan kepada kita melalui lidah dan tingkahlaku baginda.
Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu. [alBaqarah, 2:148]
Selagi mana tindakan kita mengikut disiplin alQuran dan asSunnah, maka benarlah tindakan tersebut. Tetapi jika ia hanya berlandaskan akal fikiran semata-mata, maka ia akan mudah terdedah kepada kesilapan.
Dalam Islam, selain penghujahan, kekuasaan juga merupakan salah satu komponen yang perlu digunakan untuk menegakkan kebenaran. Saidina Usman yang memahami perkara ini pernah berkata "Sesungguhnya Allah melarang dengan kuasa (asSultan) sesuatu yang tidak terlarang dengan al-Quran”.
Contoh yang mudah, al-Quran melarang kita menghampiri zina. Walau bagaimanapun, masih ada mereka yang tidak cukup dicegah melalui hujah daripada al-Quran, lalu dia berzina. Di sinilah peranan Allah Taala menurunkan hukum hudud ke atas penzina.
Maka tidak hairanlah, kekuasaan merupakan suatu aspek yang diberi perhatian dalam Islam. Sebagai contoh, alAnfaal, 8:60 memerintah kita untuk mengumpulkan kekuatan yang ada untuk memastikan agama ini tertegak sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Begitu juga dalam hadis mencegah kemunkaran, “Sesiapa yang melihat kemunkaran, hendaklah dia mencegah dengan tangan (kekuasaan), jika dia tidak mampu …"
Negara kita Malaysia merupakan negara yang sudahpun menyediakan kekuasaan buat Islam menerapkan syariatnya. Sayang jika kita membiarkan kebenaran terselindung kerana kuasa yang tidak digunapakai. Maka penggunaan hujah dan kuasa yang seimbang dan bertepatan sangat diperlukan. Kebenaran akan menjadi tempang seandainya kedua-dua perkara ini tidak berfungsi, ibarat burung yang patah sebelah sayapnya.
Dengan kekuasaan (dan penghujahan)lah akan tertegak kebenaran. Tanpa kekuasaan atau kekuatan, maka segala kelembutan mahupun kekuatan hujah akan hanya dibakulsampahkan, terutamanya oleh mereka yang degil dan keras kepala.