Friday, 23 March 2012

Syahidnya Mereka: Kerugian Bagi Dakwah?

Cerita tentang perasaan yang sama, lapan tahun lepas.
Dan terbukti sekarang semangat Palestin itu tidak akan terpadam jua.


Beberapa banyak pendokong dakwah yang telah syahid di tangan musuh-musuh dakwah, sama ada syahid semasa disiksa atau di tiang gantung. Mereka adalah orang-orang terpilih dan pemimpin, pemimpin dakwah yang tinggi kedudukan dan nilainya di bidang dakwah. Pada zahirnya ini merupakan kerugian besar bagi dakwah lantaran hilangnya mereka dari bidang dakwah dan hampanya bidang dakwah dari usaha dan jihad mereka.

Tetapi, pada hakikatnya, syahidnya seseorang itu di jalan dakwah dan di dalam tujuannya menunjukkan tingginya dakwah ini dan mulianya tujuan dakwah. la melambangkan pengorbanan di dalam jalan dakwah. Sesungguhnya syahidnya seseorang memberi kesan dan pengaruhnya yang besar di dalam jiwa malah lebih bermakna dari nasihat seratus penasihat. Sesungguhnya ini merupakan bekalan dan obor yang akan menyalakan iman dan semangat generasi kini dan akan datang.

Demikianlah sekarang ini apabila kita membaca kisah syahidnya Yasir, Sumayyah r.a. kita merasakan dorongan iman dan bekalan yang perlu kita gunakan di jalan dakwah walaupun mereka telah syahid empat belas abad yang lalu di zaman Rasulullah s.a.w. Sesungguhnya keuntungan yang diperolehi oleh jamaah Islam di bidang dakwah dengan syahidnya mereka adalah keuntungan yang sangat besar. Syahidnya mereka telah melahirkan jiwa-jiwa yang kuat yang membawa kebangkitan Islam di zaman ini yang menjelma di dalam angkatan baharu di kalangan putera-puteri Islam di seluruh dunia terutamanya di seluruh dunia Islam. Mereka memperolehi ilmu, pengalaman dan contoh teladan yang baik yang ditinggalkan oleh para syuhada itu.

Para syuhada itu pula telah berjaya mencapai darjah syahid dan keredhaan Allah. Di atas dasar inilah maka syahidnya para syuhada itu adalah kebaikan umum bagi dakwah dan kebaikan khusus bagi syuhada. la bukanlah bahaya sebagaimana kelihatan pada zahirnya.
[Ustaz Mustafa Masyhur, Jalan Dakwah]

Saturday, 10 March 2012

Aku Mahukan Firdaus

"Mereka kekal di dalamnya,
(bahkan) mereka tidak ingin berpindah darinya"

Semalam kami bincang tentang surah al Kahfi. Di hujung ayat, Allah ceritakan tentang nikmatnya syurga di sana sehinggakan penghuninya tak nak sesuatu yang lainpun sebagai pengganti nikmat di situ. "Laa yabghuuna anhaa hiwalaa." [al Kahfi, 18:108]

Kami bincang panjang sikit tentang ayat ini: Ikut Zilal, biasanya manusia akan cepat bosan dengan sesuatu nikmat yang dia ada. Biasalah, mula-mula beli skrin tv / laptop 27 inch, memanglah seronok. Tapi akan sampai suatu masa dia nak tukar, cuba skrin 32 inch pula. Sama juga, manusia takkan puas dengan IPad2, sebab tu mereka mahukan IPad3 pula. Mula-mula seronok rumah sewa harga GBP 150, suatu hari nanti nak cari yang harganya GBP 110 pulak.

Tapi dalam al Kahfi ini, Allah kata situasi ini berbeza dengan nikmat dalam syurga Firdaus itu nanti. Manusia takkan bosan berada dalam syurga itu sehingga mahu "keluar mencuba apa yang ada di tempat lain". Kerana pada ketika itu, keinginan fitrah manusia yang selalu mahukan perubahan terhenti, lantaran nikmat yang terlalu banyak di syurga nanti. Infiniti.


Lalu, moga apabila habisnya kita baca al Kahfi ini, kita selalu berdoa kepada Allah, memberikan syurga Firdaus kepada kita. Pesan Rasulullah saw "Apabila kamu meminta syurga daripada Allah, maka mintalah syurga Firdaus. Kerana ia syurga tertinggi di sana, letaknya di tengah-tengah kawasan syurga, dan dari situlah sumber mengalirnya air sungai syurga."

"Inni As'alukal Firdaus." Sesungguhnya aku mahukan Firdaus.

Friday, 9 March 2012

Wanita dalam Islam

Kerana kita diajar, syurga itu 
letaknya di bawah kaki seorang wanita bergelar ibu

Kalau nak cerita tentang kedudukan wanita dalam Islam, pasti kita tidak akan lari daripada membandingkan kedudukan mereka dalam agama lain. Jangan terkejut kalau kita terjumpa agama yang memandang hina seawal kelahiran mereka atas dunia; menganggap mereka membawa bala, berstatus lemah berdosa, bahkan ada yang mengatakan mereka jelmaan syaitan terhina. 

Bahkan biasa kita dengar, haidh yang dialami mereka sebenarnya merupakan suatu sumpahan suci yang kekal terhadap mereka akibat tersalah pilih makanan ketika berada di dalam "syurga".

Islam datang bukan sekadar menolak hinaan dan cacian terhadap mereka, tetapi juga menaikkan status mereka; menjadikan wanita bukan lagi permainan bagi mereka yang bergelar lelaki. Hak kemanusiaan mereka diberikan semula seperti hak pemilikan harta, hak tidak dikahwinkan secara paksa, hak mengekalkan identiti dan nama, bahkan sebiasa hak pendidikan seperti orang biasa.

Lalu kita tertanya; dari mana datangnya fitnah mengatakan Islam meremehkan mereka. Padahal banyak sahaja ayat Quran meletakkan mereka penting dalam pembentukan tamadun manusia; bukan dibentuk oleh golongan lelaki semata-mata. Banyak juga kisah Rasulullah melayan mereka dengan baik; termasuklah kisah baginda berlumba lari dengan Aisyah ra, isteri baginda.

Bahkan merekalah agen perubah masyarakat kita lantaran peranan besar mereka dalam pembinaan generasi yang akan datang. Kalau ramailah wanita solehah di dunia, nescaya ramailah juga anak-anak yang baik akan mencorak masa depan kita.


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[at Taubah, 9:71]


Penting dan besarnya peranan mereka menurut Islam, sampai boleh saja untuk kita berkata; "Lihatlah ibu-ibu pada masa sekarang, nescaya anda akan melihat keadaan umat 50 tahun akan datang." Maka hormatilah mereka, tunaikanlah hak mereka dan bantulah mereka, agar dapat sama-sama kita membangun umat yang beragenda.

Kalau ada sesuatu yang kita tak suka pada mereka
Sedarlah juga bahawa terlalu banyak perkara baik yang ada pada mereka juga

Friday, 2 March 2012

Tembok Zulqarnain

Quranic Circle kami dah nak sampai ke penghujung surah al Kahfi. Semalam kami tadabburkan baki perjalanan seorang raja yang kuasanya meliputi barat dan timur; Zulqarnain. Salah satu tempat singgahan baginda ialah sebuah tempat yang diganggu Ya'juj dan Ma'juj; parasit muka bumi, makhluk perosak tanaman dan juga pembunuh manusia.

Jahatnya Yajuj dan Majuj ini digambarkan Ibn Kathir rhm pada tahap penduduk kawasan tersebut sudah tidak tahan dengan kelakuan mereka sehinggakan mahu ada tembok pemisah antara mereka. Lalu dengan ilmu kejuruteraan baginda Zulqarnain, terbinalah sebuah tembok yang menghalang Yajuj Majuj ini daripada memanjat keluar mahupun menebuknya. "Ma sthaa'uu an yazharuuhu, ma stathaa'uu lahu naqba."

Pernah suatu hari Rasulullah saw terjaga dari tidur, merah mukanya, lalu baginda berkata, "Binasalah orang Arab daripada kejahatan yang mendekati mereka." Menurut baginda, ketika itu sebuah lubang telah terbuka daripada tembok Ya'juj dan Ma'juj tersebut; sebesar bulatan jari telunjuk bersambung dengan ibu jari baginda. Isteri baginda Zainab ra lalu bertanya, "Mungkinkah kita ini akan binasa, sedangkan ada orang baik dalam kalangan kita?" Baginda lalu menjawab ya, apabila berlakunya "Katsural Khabats"; iaitulah ketika bertambah banyaknya kejahatan di kalangan mereka. Inilah keadaan yang sangat kita takuti, datangnya kebinasaan akibat Allah murka.


Apa pengajarannya? Jangan sampai kejahatan mendominasi persekitaran kita. Teruskan sebarkan kebaikan, santuni setiap manusia yang kita jumpa; mudah-mudahan kita terhindar daripada menjadi masyarakat yang akan dibinasa oleh-Nya.

Labels