1. Umum menyedari Turki menjadi tumpuan dunia Islam sejak akhir-akhir ini, terutamanya selepas kemenangan bergaya Erdogan (Presiden Recep Tayyip Erdoğan) dan AKP (Justice and Development Party) dalam siri pilihan raya di negara tersebut pada tahun ini. Kemenangan membuka mata tersebut membuktikan Islamis mampu naik dan cemerlang memegang tampuk pemerintahan negara. Untuk berfungsi sebagai parti politik yang membawa agenda Islam di sana merupakan sesuatu yang agak sukar, lebih-lebih lagi untuk berdepan dengan arus sekularisme yang mencengkam kuat.
2. Bukan mudah merungkai ideologi sekularisme di Turki kerana ia sudah merebak dan berakar dalam institusi dan perlembagaan negara tersebut. Digandingkan dengan republicanism, populism, reformism, nationalism dan statism, enam ideologi ini membentuk gagasan kukuh sukar dicabar yang digelar sebagai Kemalisme atau nama lainnya Enam Anak Panah. Sikap anti-Islamnya jelas dapat dilihat melalui penghapusan undang-undang Islam, penutupan sekolah agama, larangan bertudung dan menukarkan alQuran ke dalam Bahasa Turki.
3. Mereka yang meneliti jatuh bangun agenda Islam di negara tersebut (baik ketika zaman awal Erbakan mahupun zaman kematangan Erdogan) pasti tidak dapat menafikan bahawa sekularisme atau Kemalisme hakikatnya merupakan musuh dalaman nombor satu yang perlu mereka hadapi. Bukan semata-mata kerana ideologi dan tindak tanduknya, malah kudeta tentera (selaku penjaga ideologi Kemalisme di Turki) empat kali terhadap kerajaan sah Turki dalam tempoh 40 tahun turut membuktikan hal ini. Semuanya atas alasan bahawa kerajaan mahu memulihkan semula Islam di negara tersebut yang akan mencanggahi prinsip Kemalisme yang sudah menjadi sebati dalam tubuh negara tersebut.
4. Lalu sekitar tahun 2000, Erdogan datang menawarkan penyelesaian baru untuk menghadapi musuh tradisi ini; dengan menukar strategi menjadikan Kemalisme bukan lagi sebagai lawan, tetapi “kawan” agar cengkaman dan ancamannya terhadap agenda Islamisasi di Turki dapat dilonggarkan. Sekularisme di Turki dicairkan dengan diberikan pengertian baru yang lebih bebas dan demokratik, bukannya bersifat menekan seperti yang diamalkan di Perancis. Menurut AKP, sekularisme di Turki perlu difahami sebagai suatu konsep yang berkembang mengikut perkembagan tamadun manusia, bukannya menjadi titik tujuan akhir negara. AKP juga mahukan sekularisme yang bersifat neutral terhadap semua agama supaya tekanan terhadap agenda Islamisasi dapat dikurangkan.
5. Sebagai contoh, larangan bertudung di universiti dan pejabat kerajaan dikuatkuasakan kerana dianggap menzahirkan simbol agama di khalayak ramai; sesuatu yang sangat bertentangan dengan prinsip Kemalisme. Tindakan kerajaan membatalkan larangan bertudung justeru diveto dan dicabar oleh Presiden yang berfahaman Kemalisme, bahkan ia menjadi antara sebab kerajaan Erbakan dikudeta pada tahun 1997. Meskipun begitu, sekularisme yang dicairkan sedikit demi sedikit akhirnya menyaksikan tudung mulai bebas dikenakan di pejabat awam, walaupun secara formalnya bertentangan dengan keputusan mahkamah negara tersebut.
6. Namun inilah yang ramai Islamis di Malaysia gagal aplikasikan kepada negara Malaysia. Beralasankan Erdogan yang mengambil pendekatan berbeza dengan mentornya Erbakan (pendekatan berkompromi dengan sekularisme dalam suasana keterpaksaan), Islamis di Malaysia yang terkeliru juga mengambil pendirian mahu menawarkan jalan kompromi terhadap musuh Islam di Malayysia. Qias maal Fariq (perbandingan tidak setara) mereka memberikan ruang kepada agenda bukan Islam mula mengakar dalam masyarakat kita.
7. Kalau di Turki kita katakan situasinya sebagai terpaksa mencari jalan untuk membuka ruang bagi projek Islamisasi, di Malaysia ia sudah menjadi seperti merelakan penentangan terhadap sistem Islam yang sedia ada; suatu tindakan tidak berobjektif dan berpatah ke belakang. Penyebaran agama lain dan ideologi asing kepada orang Islam direlakan dengan alasan kebebasan bersuara padahal ia bertentangan dengan tanggungjawab pemerintah untuk menjaga agama (hifzuddin). Orang bukan Islam makin diberikan suara dalam pemerintahan sedangkan hak wewenang sepatutnya berada kukuh di tangan pemimpin Islam. Islamis pula malu-malu mengetuai / mengetengahkan agenda Islam dalam pakatan politik, sedangkan orang Islam yang sepatutnya mendominasi gerak kerja politik di Malaysia. Begitu juga perpaduan umat Melayu Islam dibiarkan tidak menjadi prioriti padahal di sinilah asas kekuatan umat Islam yang perlu diserlahkan agar mampu memartabatkan agenda Islam di rantau Nusantara.
8. Di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga kekuatan besar sudah sedia ada; kekuatan undang-undang, kekuatan politik (yang masih di tangan umat Islam) dan kekuatan majoriti penduduk yang mana kesemua kekuatan tersebut bermatlamatkan untuk mengukuhkan kuasa Islam di Malaysia. Semuanya merupakan senjata ampuh yang perlu diaplikasikan untuk memartabat agenda Islam di negara ini. Di Malaysia, tiada halangan seumpama kudeta tentera yang mampu melingkupkan agenda Islam, bahkan tentera sendiri dinaungi institusi beraja yang bersumpah setia mempertahankan kesucian agama Islam di sini. Begitu juga perlembagaan di Malaysia yang memberikan kedudukan istimewa kepada Islam sebagai agama Persekutuan; sangat berbeza dengan Turki yang dipaksa menerima perlembagaan yang jelas mengisytiharkan Turki sebagai negara sekular. Menolak menggunakan kekuatan di Malaysia samalah sepertinya musuh memerangi kita dengan kereta kebal, machine gun dan sniper, kita pula berpada-pada dengan panah, tombak dan keris sedangkan kita mempunyai keupayaan dan kelengkapan yang lebih terkehadapan.
9. Yang sepatutnya perlu kita contohi daripada Erdogan ialah sudut pandangnya terhadap Islam yang menolak sekularisme sebagai tafsiran Islam moderat. Lihatlah ucapannya semasa wawancara di Kanal D ketika beliau mengatakan “Tidak ada istilah Islam moderat atau Islam radikal. Islam ialah Islam, dan itu sudah cukup.” Cukuplah ini sebagai jawapan buat golongan berminda kalah yang mahu berpatah belakang menjinak-jinakkan Islam dengan sekularisme dan giat mempromosikan idea muslim moderat seperti Anwar Ibrahim. Kelihatannya Erdogan sendiri membayangkan ketidakselesaannya berbicara mengenai kedudukan Islam dalam kerangka sempit sekularisme Turki.
10. Sebab itu kita berasa pelik dengan mereka yang kononnya membawa arus Erdogan di Malaysia. Tergila-gila dengan pendekatan liberal, demokratik dan sekular, entah ke mana pula agenda Islamnya. Sedangkan Turki yang secara perlembagaannya merupakan Negara sekular sedang berganjak sedikit demi sedikit ke arah Islamisasi, Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan pula mahu ditolak lebih dekat ke arah sekular. Takut-takut apa yang mereka bawa langsung tidak berkaitan dengan Erdogan, sebaliknya menyerupai Fethullah Gülen.
Faqih Ahmad Shuhaili
Penganalisa Kanan, IRIS Institute
Turut diterbitkan di ISMAWeb