1 Disember lepas merupakan Hari AIDS sedunia. AIDS atau dalam bahasa Melayunya dipanggil Sindrom Dayatahan Tubuh yang Lemah merupakan salah satu penyakit berbahaya yang membunuh paling ramai manusia di bumi ini. Dalam istilah gerakan Islam, ada juga penyakit AIDS yang tersendiri. Fenomena ini diperkenalkan Ustaz Fathi Yakan melalui bukunya Ihzarul AIDS Harakiy (Menghindari Penyakit AIDS dalam Gerakan Islam) tahun 1989.
Apa itu AIDS Haraki?
Penyakit yang menimpa gerakan Islam apabila rosak sikit demi sikit dari dalam, biasanya apabila berkecimpung dalam bidang politik. Ustaz Fathi Yakan memperhati fenomena ini berlaku di negaranya Lubnan dan negara-negara Islam yang lain.
Apa faktor yang menyebabkan penyakit ini?
Ada tujuh faktor yang Ustaz Fathi Yakan gariskan dalam buku tersebut. Semuanya berbahaya dan mampu membawa kemusnahan fatal pada gerakan Islam apabila menghadapi tentangan musuh.
- Kehilangan prinsip / fikrah asas perjuangan
- Meramaikan ahli dan pemimpin tanpa utamakan kualiti
- Pembinaan organisasi bersumberkan anasir luar, bukan daripada ahli
- Tergesa-gesa mengejar kemenangan dalam bidang politik
- Wujud pelbagai aliran dalam gerakan, tiada kesatuan fikiran
- Campur tangan pihak luar
- Kelemahan / tidak ada kesedaran politik
Lalu jadilah gerakan Islam itu longlai langkahnya, tidak tetap pendiriannya, bertukar-tukar fokusnya dan mudah dibawa arus politik negatif. Nauzubillah.
Akhirnya, apa yang boleh kita renungkan?
Politik merupakan suatu bidang yang akan dimasuki mana-mana gerakan Islam untuk mencapai target / sasaran dakwah. Salah satu tanda syumulnya sesebuah gerakan itu adalah kepekaannya terhadap politik di sekitarnya. Namun jangan sampai fokus politik itu jadi lebih kuat berbanding fokus pada tarbiyyah.
Situasi di Malaysia?
Umum sudah ketahui sudah ada gerakan yang berdekad-dekad terlibat dalam sistem pilihan raya Malaysia. NGO gerakan Islam pun dah mula kelihatan aktif menyentuh isu politik. Sindrom kecil AIDS Haraki ini sudah ada yang sedar, cuma perlukan pembaikan agar tidak menjadi virus / kanser besar. Sudah ada yang risaukan fenomena siasah tajhil, istibdad demokrasi dll. Moga gerakan Islam di Malaysia ini terus mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negara-negara lain agar kesilapan yang sama tidak berulang lagi. Amiin.
Rujukan: dakwatuna.com
Buku: Ihzarul Aids Harakiy