Ada assobiyyah yang tercela. Ada yang terpuji. Kamu menolong saudaramu dalam melakukan kezaliman, itu namanya assobiyyah tercela, tidak boleh. Adapun, apabila kamu menginginkan kebaikan kepada saudara-saudaramu, inilah assobiyyah yang dibolehkan, bahkan berpahala.
Ibarat nak beri makanan kepada jiran yang dekat dengan rumah, utamakanlah yang ada talian darah dahulu, baru yang ada hubungan ukhuwwah diiniah, kemudian barulah kepada yang lainnya.
Sebagaimana kamu menginginkan kebaikan kepada bangsa kamu, saya juga menginginkan kebaikan kepada bangsa Melayu saya ni, salahkah? Bukannya apapun kebaikan ini, agar Islam berdaulat juga di sini suatu hari nanti.
Yang perlu ingat, bukan semua nasionalisme itu terkutuk, kerana ada juga nasionalisme yang terpuji. Lalu, kalau "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" itu bukannya slogan anda, mengapa anda pula yang ingin tafsirkannya. Serahkan saja pada yang selayaknya.
Memang dijangkakan kontroversi pada slogan ini. Tahun lepas diumumkan, tahun ni nampaknya sudah dihidang kepada sample masyarakat umum yang lebih besar. Yang pasti, skill yang akan teruji adalah handle / cara menguruskan apabila yang tidak bersetuju dengan apa yang dibawa ini. Tetap, adab perlu diutamakan.
Terpulang, sekarang kereta yang dipandu ini, ibaratnya sudah di lebuh raya. Gear yang dibawa, bukannya satu dua atau tiga. Dah pasti, tukar kepada gear reverse atau ambil exit terdekat bukan menjadi pilihan.
Semalam dapat nasihat sebelum tidur, rasa semangat melonjak. Of course, rentetan daripada Himpun dan konvensyen keluarga KKMM yang lepas.
Bila suara makin berkumandang, perlu sedia berjumpa dan interaksi dengan macam-macam orang. Kalau orang masih tak faham, sama ada bahasa yang digunapakai oleh dua-dua pihak tak sama, atau ucapan yang kita ucapkan tu masih kabur, maka perlu dibaiki lagi.
Kata Ustaz Fauzi pulak, kita dah kena kurangkan masalah peribadi. Kena ringankan juga tanggungan yang tak sepatutnya kita tanggung. Paling penting, kurangkan bercakap, banyakkan amal. Mudah-mudahan terus berjaya.
Membaca komentar-komentar di dalam media alternatif, nampak program HIMPUN ini telah dihujani pelbagai persoalan. Ada yang bimbang, ada yang berhati-hati, ada yang ingin menjauhkan diri dan ada yang membuat prasangka-prasangka yang pelbagai. Di sini saya ingin menjelaskan beberapa persoalan :-
1. Ada yang mengatakan bahawa HIMPUN ada agenda poltik.
Mereka yang berkata demikian hanya orang politik yang telah melihat segala-galanya dari aspek politik dan sentiasa bimbang akan keterjejasan kedudukan mereka. Bagi mereka kuasa adalah segala-galanya. Tidak kira apa usaha yang baik macam mana pun, jika ia boleh menggugat kedudukan politik mereka, mereka akan cuba halangi. Oleh kerana budaya politik di negara ini telah lama tercemar dengan budaya tuduh menuduh, kecam mengecam, hina menghina, fitnah memfitnah maka kenyataan-kenyataan yang tidak berasas ini bukanlah sesuatu yang pelik. Kepada mereka yang berfikiran sebegini, saya menasihatkan supaya lebih matang dalam berfikir. Saya ingin tegaskan HIMPUN tidak ada lain tujuan melainkan ingin membawa isu aqidah dengan lebih tegas dan jelas. Ia tidak ada kena mengena dengan politik.
2. HIMPUN akan menimbulkan kekecohan.
Ada yang berpandangan bahawa HIMPUN ini akan menimbulkan ketegangan antara agama sedangkan Islam adalah agama kedamaian. Bagi mereka ini saya sarankan lihatlah sejarah negara. Adakah di sana ada insiden orang Islam menimbulkan permusuhan dengan bukan Islam? Malah orang Islam sangat toleransi. Apa tidaknya, lihat betapa banyak gereja yang ada, ada ribuan kuil dan tokong yang wujud, orang India, Cina dan lain-lain boleh merayakan perayaan mereka dengan aman. Sebaliknya pihak lainlah yang sentiasa cuba untuk menggugat orang Islam. HIMPUN bukan mengajak orang Islam untuk memusuhi orang bukan Islam tetapi hanya sekadar untuk mengajak umat Islam bersatu mempertahankan aqidah dari serangan musuh.
3. HIMPUN cuba menggugat kepimpinan negeri.
Adakah berhimpun untuk memperkatakan soal aqidah boleh menggugat kedudukan pimpinan negeri? Ini pemikiran yang sangat pelik dan tidak masuk akal. Jelas sekali kepada mereka yang berfikiran demikian melihat segala-galanya dengan kekuasaan. HIMPUN mendapat sokongan dari jutaan umat dari pelbagai latar belakang, samada orang bandar mahupun orang kampung, yang kaya juga yang miskin, yang tua juga yang muda. Mereka menyokong kerana sedar kepentingan menjaga aqidah umat kerana mereka sentiasa berhadapan dengan usaha musuh yang cuba memurtadkan umat Islam. Mereka diserang, dipukul dan difitnah semata-mata kerana ingin membantu umat Islam dari terpesong aqidahnya. Adakah kita tergamak untuk mengatakan mereka ini cuba untuk menjatuhkan kepimpinan negeri? Kecualilah kepimpinan negeri memang tidak kisah soal aqidah dan membiarkan aqidah umat rosak. Kalau begitu keadaannya maka tidak hairan mereka rasa tergugat.
Walau bagaimanpun saya yakin suara-suara seperti ini sangat minoriti. Majoriti umat Islam sangat menyokong perhimpunan ini. Jadi sekali lagi saya menyeru kepada umat Islam untuk hadir beramai-ramai ke HIMPUN.