Monday 2 October 2017

Pemuda Tak Dikenali Nama

Lebih tiga jam memandu Cork ke Dublin Ireland, sambil Spotify mengalunkan tarannum Surah YaaSiin, kisah pemuda tak dikenali nama yang bersungguh menyampaikan risalah (وجاء من اقصى المدينة رجل يسعى).

Beberapa pelajaran yang boleh diambil. Antaranya, kita mahu membiasakan budaya tidak mengejar nama, pangkat dan harta dalam jalan dakwah ini (لا يسألكم أجرا), sepertimana pemuda dalam ayat ini tidak disebutkan namanya. Kita hanya menjual jiwa dan harta kita ikhlas pada Allah semata-mata.

Kedua, biarpun di mana kita duduk, walau di jauh dan lama perjalanan menemui mad’u, semangat untuk menyampaikan itu jangan terpadam. Iman yang terpelihara baik dalam diri pendakwah akan menggerakkannya untuk beramal dan menyampaikan risalah-Nya (إني آمنت بربكم فاسمعون).

Ketiga, apapun usaha yang telah kita letakkan, semuanya akan dihisab dan diganjarkan oleh Allah, walau mungkin seruan tidak disambut manusia. Seperti lelaki tersebut yang akhirnya dimasukkan kedalam syurga (قيل ادخل الجنة). Meskipun begitu, tidaklah menafikan perlunya kita saling menghargai usaha dan susah payah sesama kita.

Moga kisah dalam surah YaaSiin ini memberikan pengajaran dan semangat dalam diri kita dalam mempraktiskan dan menyampaikan ajaran Islam walau di mana jua.

Monday 25 September 2017

Qudwah

#NotaSemBaru Qudwah

Anjuran untuk mengikut teladan orang yang baik, soleh dan cemerlang (qudwah) dapat difahami melalui ayat uswatun hasanah (لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة) dalam AlQuran.

Perkataan yang sama turut digunakan agar kita mencontohi Nabi Ibrahim as yang dimaklumi teguh dengan prinsip akidah baginda, seperti yang tertulis dua kali dalam surah AlMumtahanah.

Selain pemilihan role model, arah hidup kita turut dipandu berdasarkan dengan siapa kita berkawan. Allah menggambarkan penyesalan mereka yang dahulunya tidak memilih untuk mengikut jalan Rasul (يا ليتني اتخذت مع الرسول سبيلا) dan tidak pandai dalam memilih kawan baik (يا ويلتى ليتني لم أتخذ فلانا خليلا).

Juga terdapat anjuran agar kita menghindari daripada bersama “circle of influence” yang tidak positif (فلا تقعدوا معهم), dirisaukan kita menjadi seperti mereka (إنكم إذا مثلهم) atau setidak-tidaknya terikut-ikut dengan gaya mereka.

Atas jalan tarbiyyah ini, qudwah dijadikan sebagai salah satu komponen yang dititikberatkan. Bukan sekadar cemerlang sebagai dai, juga cemerlang dalam bidang diceburi. Mereka yang pada hari ini tepat dalam mencontohi, esok sampailah pula giliran mereka mencontohkan.

Juga bersempena musim ketibaan pelajar baru ini, eloklah kita merenung dan berpesan pada diri kita dan mereka dengan nasihat ini agar perjalanan ilmu di sini dapat dilangkah dengan baik

* Terima kasih Abah yang menginspirasi - Anugerah Fellowship Royal College Obstetricians & Gynaecologists London

Sunday 17 September 2017

Slogan Indah Bertoksik


#NotaHujungMinggu - Slogan Indah Bertoksik

1. Membaca kisah nabi Adam as dalam Quran, iblis menggoda baginda dengan slogan atau konsep yang indah - kemalaikatan dan kekal dalam syurga.

2. Konsepnya nampak cantik - malaikat bersifat taat dan tidak bermaksiat. Berkelebihan dari sudut rupa bentuk, sayap dan kemuliaan. Digabungkan pula dengan sifat kekal - cukup untuk jadi pakej indah - beribadah di syurga hingga ke akhirat.

3. Dan kita pun tahu apa sebenarnya maksud janji iblis tersebut. Daripada kisah ini juga kita pelajari tabiat "jejak langkah | خطوات" syaitan. Tidak diajak terus pada maksiat, sebaliknya dipancing selangkah demi selangkah dengan perkara yang harus dan indah.

4. Hari ini, giliran anak Adam pula dipancing dengan konsep yang sama cantik - demokrasi, equality, progresif, tolak toksik dan sebagainya. Perlembagaan, manifesto serta sepanduk mereka dihias dengan istilah sebegini untuk menarik penyokong mereka.

5. Golongan yang bijak tidak mudah tertipu dengan keumuman slogan yang dilaungkan. Mereka akan memerhati ke mana sebenarnya slogan itu akan dibawa. Mereka turut menganalisis tindak tanduk pelaung slogan tersebut adakah serupa bikin.

6. Yang melaung demokrasi rupanya bersifat tokong dan mendeskriminasi. Yang laungkan kesamarataan, rupanya mahukan lgbt dan dakyah asing diangkat ke arus semasa. Yang mengaku progresif rupanya melenting apabila dikritik dan menutup ruang berhujah. Yang tak nak politik toksik rupanya mentoksikkan pula akidah dan kemahuan syariah.

7. Janji tinggal janji. Ibarat syaitan yang menjanjikan manusia kebaikan, sedangkan mereka tidak mendapat apa-apa melainkan keburukan | يعدهم خيرا، فلا ينالون إلّا شرّا

8. Cuma yang peliknya, kenapa ada Islamis yang tidak menaikkan sendiri slogan yang mereka ada, tawarkan alternatif pada masyarakat dan ketuai front untuk mengetengahkannya. Sebaliknya mereka selesa menumpang teduh bawah slogan make-up ini. Harapannya mereka tidak terhilang kompas atau malu-malu alah.

Sunday 10 September 2017

Biasakan Diri ke Masjid


#NotaHujungMinggu - Biasakan Diri ke Masjid

* Ini lapan manfaat yang penulis nukilkan apabila kita membiasakan diri ke masjid: Ayat yang berhikmah. Saudara yang memberi manfaat. Ilmu baru. Rahmat yang dinantikan. Perkataan yang membawa pada petunjuk. Perkataan yang menghindar daripada bahaya. Menjauhi dosa kerana malu. Menjauhi dosa kerana takut.

1. Duduk di UK, nak ke masjid lebih mencabar. Azan yang dah tak kedengaran lagi di rumah ditambah lagi waktu solat yang cepat berubah, juga suhu yang selalunya sejuk, tak seperti di Malaysia. 5 minit jarak ke masjid pun seolahnya mencukupkan syarat untuk uzur daripada berjemaah di masjid.

2. Semangat ini boleh dirawat dengan menyedari dan membaca kelebihan yang ada jika melazimkan diri ke masjid. Juga bersahabat dengan mereka yang rajin ke masjid. Dalam surah AtTaubah, Allah menyebut sifat orang yang memakmurkan diri ke masjid sebagai orang beriman dengan Allah dan hari akhirat, menunaikan solat, zakat serta tidak takut melainkan pada-Nya.

إنما يعمر مساجد الله من آمن بالله واليوم الآخر وأقام الصلاة وآتى الزكاة ولم يخش إلا الله

3. Di masjidlah tempat perkumpulan pelbagai bangsa. Tempat berinteraksi dan bertoleransi. Tempat iman disegarkan, tsaqafah agama diluaskan.

4. Seorang dai pula meletakkan kehadirannya ke masjid sebagai ukuran kekuatan peribadinya. Walaupun dia aktif berprogram ke sana sini, manusia juga mengenalinya sebagai pendakwah, tetapi jika kehadirannya ke masjid dalam seminggu boleh dibilang jari, dia berasa malu. Tanda dzatiyyah dirinya tak kuat. Bagaimana pula nak mengharapkan zatiyyah orang lain yang diserunya pula untuk kuat. Jika panggilan Tuhan pun diabaikan, apa pula layaknya bagi manusia lain untuk menyahut seruan dirinya.

5. Moga semangat kita untuk ke masjid sentiasa terus kuat, dan tergolong dalam golongan yang hatinya terpaut pada masjid, sebagaimana dalam hadis mereka yang akan mendapat naungan pada hari akhirat.

* Petikan Pelembut Hati - Muhammad Ahmad ArRasyid



Wednesday 6 September 2017

Ini Negara Perjuangan


“Jika cita-cita perjuangan kita merupakan suatu bangunan, maka kita semua adalah merupakan batu-bata yang disusun menjadi kesatuan bagi mendirikan bangunan itu.”

Sungguh berhikmah kata-kata Dr Burhanuddin Al Helmi ini, seorang tokoh zaman kemerdekaan, dikenali dengan pembawaan naratif mengharmonikan perjuangan Melayu dan Islam. Jika diperhatikan, nada yang sama Allah telah gunakan dalam surah AsSaff ketika berbicara tentang golongan yang Dia cintai.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”

Mesejnya sama; setiap daripada kita merupakan sebahagian daripada perjuangan ini. Menyediakan dan menggabungkan diri dalam kisah perjuangan ini pula akan menghasilkan ketumbukan yang kuat.

Gabungan kata-kata ini juga menimbulkan perasaan yang indah, bahawa perjuangan negara merupakan sesuatu yang selari dengan agama. Terasa gah ketika berjuang untuk negara, lantaran perlembagaannya bersendikan Perkara 3; Islam merupakan agama negara. Terasa manis juga berjuang berlandaskan agama, kerana Islam turut mengiktiraf rasa cinta pada negara, seperti doa Ibrahim dalam surah AlBaqarah, 2:126; agar negeri baginda dikurniakan keamanan dan kemakmuran | ربّ اجعل هذا بلدا ءامنا وارزق أهله من الثمرات

Namun, erti perjuangan perlu dihayati dengan maksud yang betul. Perjuangan anak muda jangan ditafsir dengan berjuang menimbulkan huru-hara dalam majlis, menerbangkan kasut dan kerusi. Bukan juga bertempur antara geng merah dengan geng kuning seumpamanya.

Perjuangan anak muda ialah seperti Musab b Umair ra. yang meskipun kaya, tegar mempertahankan prinsip akidah walau diugut oleh ibunya. Sanggup mengorbankan kemewahan untuk menyediakan asas kukuh untuk pembinaan negara Madinah dan empayar Islam. Di penghujung kesyahidannya di medan Uhud, datang dilemma sama ada memilih untuk mengkafani kepala atau kakinya. Maka terlihat jelas prioriti hidup beliau pada kita.

Atau perjuangan seperti Tokku Paloh, Datuk Bahaman dan Abdul Rahman Limbong – ilmu dan bakti mereka kepada masyarakat menggunung, setinggi semangat juang mereka juga dalam melawan penjajah Inggeris. Atau perjuangan melalui idea dan kepimpinan seperti Tun Perak yang membawa ahli keluarga mengiringi pemuda mereka berperang melawan Siam. Maruah pejuang di depan keluarga perlu tinggi, jika tidak, maruah anak isteri pula yang akan diratah penjajah.

Ataupun jika kita dikaitkan dengan situasi negara pada hari ini, perjuangan kita lebih kepada keluar daripada zon yang selesa dengan kehidupan masing-masing. Tanpa disedari, nilaian agama dan bangsa kita dicabar, rasuah cuba dinormalkan, politik pula diwarnai dengan gaya flip flop, tidak matang dan tidak memenangkan Islam. Maka kita memerlukan generasi baru yang amanah, berpendidikan dan berkebolehan untuk menongkah arus mewujudkan pembaharuan dan tidak terikut-ikut gaya tidak beragenda generasi sebelumnya.

Yang penting, batu-bata generasi baru ini perlulah tinggi nilaian mutunya, ibarat akronim IMAN – perlu ada Ilmu yang bermanfaat, Mujahadah yang istiqamah, Amal yang berterusan dan Nafsu yang terbimbing.

Umur kemerdekaan yang mencecah enam dekad sewajarnya tidak menyebabkan kita semakin lalai dalam nikmat ini, sebaliknya menjadikan kita sedar bahawa perjalanan perjuangan ini masih tidak terhenti. Maka penting untuk kita menjadikan diri siginifikan dalam perjuangan ini lalu menghalakannya secara sehati sejiwa bersama.

Mengenang Pahlawan



Pengajiannya tidak hanya di situ
Dengan Tokku Paloh pernah berguru
Sama Syed Saqqaf, ayahanda tuan guru
menentang Inggeris dalam negeri Terengganu

Sesudah Tokku Paloh tiada
Inggeris cuba bermahajaralela
Tanah dibahagi-bahagi, dicukai pula sesuka hati
Amalan orang kampung semuanya ditegah
Mana lesen untuk meneroka tanah
Kata orang kampung
Ini buluh untuk dibuat lemang
untuk daun palas untuk ketupat
ini sagu ditebang untuk padinya
ini daun mengkuang untuk  dibuat tikar
durian dan petai pun mahu dicukai

Kota Mekah pernah menyambut usia remajanya
Kota Mekah juga menyambut usia penghujungnya

Friday 1 September 2017

Penghalang untuk Berkorban


#SalamAidilAdha
Antara perkara penghalang untuk berkorban - lemah keazaman, cintakan dunia dan pentingkan diri.

Moga Allah menerima segala ibadah dan pengorbanan kita | الله أكبر ولله الحمد

Friday 18 August 2017

Aktivisme dan Tanggungjawab


#NotaJumaat - Aktivisme dan Tanggungjawab

Lanjutan isu Pelajar Luar Negara dan Krisis Makna, ini beberapa persoalan yang dilontarkan oleh penulis, yang wajar difikirkan persatuan yang menghimpunkan pelajar muslim di luar negara.

Isu ini walaupun menimbulkan naratif respons berbeza, namun persoalan utama yang perlu difikirkan ialah tentang aktivisme mahasiswa - adakah ia terpandu dengan baik.

Mengambil isu gereja sebagai contoh, pastinya ada disiplin yang perlu dipatuhi dalam menggunakan rumah ibadat ini. Adakah dengan tiada alternatif, maka ia dikira halal seperti dalam suasana darurat. Begitu juga disiplin dalam aktiviti lain seperti Malaysian Night, konsert hiburan, wacana pemikiran - pasti ia memerlukan "guideline" yang tak boleh halal dilanggar dengan alasan "international".

Mana-mana persatuan pun wajar untuk berjaga-jaga dengan "endorsement" yang mereka berikan. Jawatan yang dimenangi semasa pemilihan bukan sekadar menambah kaliber diri, tetapi turut juga membawa bersama tanggungjawab pahala dosa ahli.

Seperti yang dimaklumi dalam hadis, setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan terhadap ahli masing-masing | كلّكم مسؤول عن رعّيّته

Isu ini timbul kerana masih ada sensitiviti mendahulukan wahyu dan kepentingan Islam sebagai perkara nombor satu dalam perkiraan aktiviti. Tidak dapat dinafikan rasa diri sebagai muslim masih ada dalam mahasiswa di sini. Tetapi jika aktivisme dan "award" yang lebih diutamakan, pertimbangan hukum hakam ini akan dipandang sepi - siapa yang pandai main politik dan logik, ikutlah cara dia bawa organisasi.

Thursday 17 August 2017

Hadis 31: Zuhud

Zuhudlah dengan dunia, maka Allah akan Menyayangimu. Zuhudlah dengan apa yang ada pada manusia, dia akan menyukai kamu [Hadis Hasan riwayat Ibn Majah]


1. Zuhud di dunia, ada banyak ayat Quran memujinya, (selalunya digandingkan juga mencela pada dunia). (Al A'la, AlAnfaal, AlQasas)

2. Makna zuhud pd sesuatu: Menjauhinya agar sedikit dan mencelanya. Zuhud pada dunia bukannya dengan mengharamkan yang halal, bukan mensia-siakan harta.

3. Kamu tak mampu menyaksikan kezuhudan pada diri seseorang, kerana zuhud merupakan perkara hati. Kerana zuhud ditafsirkan melalui tiga perkara -
(a) Menjadikan apa yang ada pada Allah itu lebih dipercayai daripada apa yang ada pada diri sendiri.
(b) Ketika ditimpa musibah sama sahaja ketika tidak ditimpa musibah.
(c) Ketika orang yang memuji kamu sama saja (kamu rasa) dengan orang yang mengutuk kamu.

4. Abu Hazim AzZahid ditanya - tidakkah kamu takut pada kefakiran? Jawabnya, Aku perlu takut kefakiran? Sedangkan Penjagaku, Dia lah jua yang memiliki segala yang ada di langit dan yang ada di bumi serta yang ada di antara keduanya dan juga yang ada di bawah tanah basah di perut bumi.

5. Orang yang zuhud, ketika melihat seseorang, dia berkata, orang ini lebih baik daripada diri aku. Zuhud hakiki ialah ketika zuhud dalam memuji dan mengagumi diri sendiri.

6. Pembahagian zuhud. Sebaik-baik zuhud, zuhud daripada kesyirikan. Kemudian zuhud daripada perkara haram. Kemudian zuhud dalam perkara halal.

7. Zuhri ditanya tentang orang yang zuhud. Iaitulah orang yang perkara yang haram tidak mampu mengalahkan kesabarannya. Sedangkan perkara yang halal tidak menyibukkannya daripada bersyukur.

8. Anak Adam terbahagi dua dalam hal dunia: (a) ingkar adanya hari pembalasan selepas dunia (b) sedar selepas kematian ada pembalasan. (b1) zalim (b2) biasa-biasa (b3) berlumba kejar kebaikan dengan izin Allah

9. Zuhud dengan apa yang ada pada manusia -
(a) Janganlah berharap dengan apa yang dimiliki manusia, nesacaya anda akan menjadi kaya.
(b) Kemuliaan seorang mu'min ialah dengan dia bangun malam dan tidak meminta-minta pada manusia
(c) Sesiapa yang meminta apa yang dimiliki manusia, mereka akan membenci dan menjauhinya, kerana harta disukai oleh nafsu bani Adam. Sesiapa yang meminta apa yang mereka suka, maka mereka membencinya.

10. A'rabi bertanya pada penduduk Basrah: Siapa pemimpin kawasan ini. Mereka menjawab, Hasan. Bagaimana dia memimpin mereka? Mereka menjawab, manusia berharap pada ilmunya. Beliau pula menghindari daripada (harta / hal) dunia mereka.

Saturday 12 August 2017

Zuhud


#NotaHujungMinggu - Zuhud

Salah satu ciri kezuhudan pada diri seseorang ialah dia berasa sama sahaja sama ada ketika orang memujinya atau mencelanya dalam perkara-perkara yang hak.

Sifat ini disebut ketika penulis menukilkan definisi zuhud, iaitulah bukannya dengan mengharamkan perkara yang halal dan mensia-siakan harta, tetapi perasaan percaya yang kuat pada Allah, rasa sama sahaja ketika ditimpa musibah atau tidak, dan ketika dipuji atau dicela.

Kadang-kadang ketika kita menyuarakan kebenaran, akan ada suara yang menentang, sama ada kerana permusuhan atau kejahilan. Tetapi orang yang zuhud tetap kekal pada kebenaran dan tidak mahu mengkomprominya. Dia tidak sanggup menjemput kemurkaan Allah hanya kerana ingin memenangi hati manusia dan disenangi mereka.

Dalam AlQuran, terdapat ayat yang memuji mereka yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut pada celaan orang yang mencela (AlMaidah).

Semoga kita tergolong dalam golongan yang zuhud ini, dicintai Allah, disenangi manusia serta selamat di dunia dan akhirat.

Petikan Jamiul Ulum Wal Hikam - Imam Ibn Rajab alHanbali rhm

Thursday 27 July 2017

Bagai Semalam Baru Bersua


Random Pick. Maaf atas jemputan yang tak terhantar dan tak dipenuhi. Terima kasih semua di Malaysia atas keramahan. Moga kita berjumpa lagi 😁

Friday 26 May 2017

19 Jam Puasa - Terisi dengan Apa?


1. Selamat Memasuki Bulan Ramadan AlMubarak. Bulan yang dijanjikan keampunan bagi mereka yang berpuasa dan mendirikannya dengan keimanan dan pengharapan. Diwajibkan juga berzakat dan dianjurkan banyak bersedekah. Hubungan dengan Allah dan ukhuwwah dengan manusia, kedua-duanya dijaga.

2. UK yang sedang musim panas, tempoh puasanya selama 19 jam. Masa yang panjang ini elok diisi dengan tilawah AlQuran, hafazan, tadabbur dan bacaan ilmu. Kalau tidak dirancang, ia tetap juga terisi, tetapi mungkin dengan perkara yang tidak produktif dan berpahala seperti tidur dan lepak kosong.

3. Pada bulan inilah syaitan dibelenggu dan tiada lagi unsur luar yang menghasut kita untuk melakukan perkara sia-sia-sia dan maksiat. Jika bulan ini kita tidak meningkat dan berhijrah, maka pada masa yang bila lagi. Bak kata pepatah moden, "Ini Kalilah!"

Ramadan Karim
Jumaat 26 Mei 2017

Thursday 25 May 2017

Pesanan di Meja Makan


* Luangkan masa bersama kenalan, santuni orang sekeliling
* Biasakan sembang tentang amal - bagaimana untuk tingkatkannya
* Set perancangan diri, selarikan dengan jamaah

Moga USC terus cemerlang. Dakwah Merentas Benua

Tuesday 23 May 2017

Kubur Kamu Sedang Digali

#NotaJumaat Apa perasaan kamu, kalau pada waktu ini kubur kamu sedang digali? | كيف بك إذا حُفر لك من الأرض اربع أذرع

Pernah suatu ketika Abu Darda r.a. melihat seorang lelaki ketawa terbahak-bahak, lalu dia mengungkapkan perkataan ini, lalu lelaki tersebut berhenti bergelak.

Nasihat seperti ini menyebabkan kita tersedar daripada kelalaian, memikirkan apa nasib dan bekalan yang akan dibawa ke alam akhirat kelak.

Ketika Jumaat malam sudah dilapangkan untuk hiburan, timeline fb pula padat dengan klip lawak dan ketawa, nasihat seperti ini mungkin dipandang sentap atau kacau daun.

Tetapi bagi yang sedar, mereka melihat bahawa hatinya tidak boleh berada dalam kelalaian. Perubahan tidak berlaku melainkan dengan hati yang bersemangat, perancangan yang teliti dan pelaksanaan yang kemas. Jika tidak, berpadalah dengan apa yang ada, cita-cita hanya akan tinggal angan-angan.


Tuesday 18 April 2017

Kapal dan Pengajaran Hidup


1. Rasulullah saw umpamakan pendirian masyarakat terhadap undang-undang Islam ibarat penumpang kapal. Ada yang berada di atas dan terima akses pada dunia luar. Ada yang berada di bawah, yang memerlukan bantuan orang di atas untuk mendapatkan air. Kalau seandainya orang di bawah mahukan air dengan cara menebuk lubang di bawah kapal, pasti kapal akan tenggelam. Tindakan pentingkan diri ini perlu dihalang, kerana yang akan lemas dan tenggelam bukan sahaja orang di bawah, tetapi juga di atas.

2. Manusia jika diberi nikmat kesenangan akan mudah untuk terlalai dan tidak mensyukuri Allah. Dia menjadi sebaliknya apabila ditimpa kemudaratan atau bencana. Ibarat penumpang kapal, apabila Allah menghantar angin yang kuat, kapal terumbang-ambing, ombak meninggi, maka ketika inilah hatinya menjadi paling dekat dengan-Nya. Tetapi apabila bencana menghilang, nikmat pula mendatang, ketika itulah dia melupakan-Nya dan menjadi lalai.

3. Ada lagu yang mengibaratkan perjuangan seperti pelayaran kapal di lautan. Angin, gelombang, hujan dan badai merupakan ujian yang datang menerpa penumpang kapal. Kapal yang baik merupakan kapal yang terbina atas dasar dan prinsip yang betul, dipandu oleh nakhoda yang bijak dan berpandangan jauh dan dibantu oleh pasukan anak kapal yang komited. Apapun ujian yang datang, baik kelalaian terhadap dunia ataupun ancaman daripada musuh, keseluruhan mereka dalam kapal akan pertahankannya agar kapal tidak tenggelam, mereka tidak lemas.

4. Ada kisah kapal milik orang miskin yang sengaja ditebuk oleh Nabi Khidr as. Nabi Musa as yang berada bersama ketika itu sangat terkejut. Ini perbuatan yang salah. Sebenarnya situasi ketika itu dibaca baik oleh Khidr as, bahawa raja yang zalim akan merampas kapal rakyatnya. Mujur kapal orang miskin ini rosak sedikit, tidaklah langsung terus dirampas, dan dapat terus dibaiki dan digunakan. Menyelamatkan diri daripada cabaran yang besar melalui kesediaan untuk mengorbankan perkara yang kecil.

5. Membina bahtera di atas bukit dipandang sebagai tindakan yang gila pada pandangan manusia. Tetapi oleh sebab itu perintah Allah, Nabi Nuh as berterusan membinanya, walaupun diganggu dan dicerca.

Tuesday 11 April 2017

Bukan Semata-mata Good Governance


Perjuangan kita bukan semata-mata tentang good governance. Dan perjuangan kita tidak bermatlamat good governance sahaja.

Kita mahukan Islam tertegak di bumi ini beserta penghayatan yang baik dalam kalangan masyarakat. Islam yang berdaulat akan memelihara kebajikan rakyat dan masyarakat yang mendokongnya.

Inilah sebabnya memelihara akidah / agama sentiasa menjadi tanggungjawab nombor satu pemerintah Islam dalam mana-mana literature.

Kita mengejar kedaulatan Islam, good governance juga akan kita terima.

Monday 10 April 2017

Selesaikan secara Bersama


Meminta hutang merupakan soal peribadi. Bukannya soal agama. Tiada salahnya bukan Islam meminta hutang daripada orang beragama Islam. Yang salah apabila keinginan orang Islam untuk berhukum dengan agama Islam dihalang oleh ahli Parlimen bukan Islam.

Menaikkan gaji bukannya dibincang di parlimen. Isu kali ini adalah untuk bincang utk pinda had hukuman, ia mesti dibincang di parlimen.

Betul, isu rasuah, integriti, kesukaran hidup dan sebagainya merupakan isu rakyat yang perlukan penyelesaian. Tetapi menyelesaikan isu ini tidaklah bermakna isu pemerkasaan undang-undang Islam perlu terus dilupakan. Tiada masalahnya selesaikan secara bersama. Tiada isu alih pandangan atau aulawiyyat, dua-dua kita akan kejar. Kalau sekarang sedang bincangkan 355, aulanya sokong 355. Nanti bincang isu kesukaran sara hidup, akan aula untuk sokong isu selesaikan cara hidup.

Mempersoalkan dwistandard hukuman, seperti tidak menghukum ahli parlimen atau kerabat raja yang berzina dan meminum arak, merupakan hanya soalan retorik. Ia telah dijawab sejak sekian lama. Sekiranya anak baginda mencuri, sudah pasti dihukum potong tangan. Prinsipnya sudah jelas. Pelaksanaannya akan dibuat seperti itu.

Sunday 9 April 2017

Tarbiyyah - Sujud Merdeka


Masing-masing daripada kita mempunyai pintu masuk tarbiyyah yang berbeza. Lazimnya pintu ini sekitar aktiviti ukhuwwah ataupun melalui fikrah. Ada yang melalui program ukhuwah seperti makan bersama, rehlah bersama. Ada juga melalui fikrah seperti kesatuan

Lalu tarbiyyah mencorakkan diri kita dan kita merelakan diri dicorakkan tarbiyyah. Aslih nafsak, wad'u ghairak. Ini antara pepatah yang kita jumpa; menyuruh kita membaiki diri daripada segala negatif jahiliyyah, juga menyeru orang lain agar kembali mendekat kepada Allah dan agama-Nya.

Kita dibentuk untuk komited dengan amal peribadi. Sifat mazmumah dan sia-sia dibuang. Yang merokok cuba berhenti. Muzik yang lagha digantikan dengan lagu mengingatkan pada Allah. Yang merangkak membaca Quran mula menjadi laju. 12 jam sehari bermain game / menonton movie dikurangkan sedikit demi sedikit. Masa lapang diisi dengan bacaan Quran, hafazan, terjemahan atau tazkirah ilmu.

Dalam masa yang sama, kita juga diajar untuk berkongsi juga apa yang dipelajari kepada orang lain. Begitulah tarbiyyah. Ramuan antara islah nafsak, wad'u ghairak ini membentuk sifat pendakwah dalam diri. Yang masuk pintu tarbiyyah melalui amal aktivisme, diajar untuk menambah kualiti diri melalui bahagian "islah nafsak". Begitu juga sebaliknya, yang kenal pintu tarbiyyah melalui amal ruhani, diajar untuk giat beraktivisme melalui seruan "wad'u ghairak".

Proses Berterusan
Proses mengubah ini berterusan. Daripada seorang yang lemah, malas, culas atau kekurangan lain seumpamanya, tarbiyyah mengajar kita untuk menjadi kuat, rajin, peka dan sebagainya.

Di pertengahan jalan, ada pula yang memerli, "ikut usrah, tapi result tak cemerlang. Masa tak tepati. Rumah tak kemas". Lalu kita memujuk diri. Tarbiyyah inilah cara mengubah diri. Perubahan tidak datang secara drastik. Yang ikut tarbiyyah ini bukannya malaikat yang sepenuh masa beribadat, tetapi manusia yang penuh kesilapan, namun mahukan pembaikan.

Saturday 11 March 2017

Perkara Utama pada AB


Dalam proses mengenalkan jalan dakwah pada AB, kita meletakkan fokus pada perkara asas untuk pembinaan jatidirinya, bukan pada perkara ranting yang terdedah kepada khilaf atau perdebatan.

Antara yang utama ialah membangunkan keimanan dengan cara mengingatkannya pada tujuan utama hidup, realiti masalah umat hari ini beserta pentingnya syariat Allah dibumikan. Atas sebab ini kita sedarkan tentang tanggungjawabnya pada syahadah yang dilafazkan, beserta pentingnya tarbiyyah untuk membentuk dirinya secara berterusan. Kita juga menunjukkan jalan perubahan yang akan kita lakukan dan memberitahu bahawa bahawa untuk lakukannya perlu dibuat secara berkumpulan, iaitulah dengan menyertai agenda perubahan yang telah kumpulan kita lakukan.

Inilah "pintu" masuk AB dalam mengenal Islam dan dakwah. Bukannya masuk melalui "tingkap" atau "bumbung" yang akan mengundang kerunsingan AB dalam berfikir dan memandang Islam.

Sunday 5 March 2017

Tiada Kehidupan Melainkan Akhirat


Ini yang Rasulullah sabdakan kepada sahabat Muhajirin dan Ansar ketika bertungkus lumus menggali parit sebelum perang Ahzab. Ada antara mereka yang mengikat perut dengan batu kerana sudah lama tidak menjamah makanan.

Allahumma, tiadalah kehidupan, melainkan kehidupan akhirat. Ini yang patut menjadi slogan kita dalam melihat kehidupan seharian. Bahawa dunia merupakan tempat penuh ujian, kesenangan, kesulitan; yang memerlukan kita bersabar menghadapinya dengan baik.

Sesuatu yang dilihat secara pandangan kasar tidak memberikan keuntungan duniawi, patut juga dilihat melalui jendela ukhrawi. Akhirnya kita sedar bahawa dunia ini tiada apa-apa, sedangkan akhiratlah segala-galanya.

Friday 3 March 2017

Komited dengan Jalan Dakwah


Jalan dakwah merupakan jalan yang panjang dan mengambil masa yang lama. Sifatnya bertahap-tahap, bermula dengan kita mengenalkan manusia kepada dakwah, kemudian membentuknya dengan acuan yang baik, kemudiannya berpindah pada fasa melaksanakan projek-projek dakwah pada umum.

Kita pastinya pernah melalui tahap ini. Dikenalkan dengan amal dakwah, belajar untuk membuang perkara negatif dalam diri, dibentuk dengan tata amal jamai, ditajamkan dengan kemahiran yang berkaitan, hingga diberi kepercayaan menerajui projek dakwah kepada masyarakat. Kitaran yang sama perlu dan akan kita lakukan pada mad'u kita pula nanti.

Akhirnya kita sedar bahawa ia memerlukan kepada tenaga berkumpulan. Jalan panjang ini banyak proses, senarai tindakan dan cabarannya, tak mampu diurus oleh seorang manusia. Betullah kata pepatah, "kalau mahu pergi jauh, pergilah beramai-ramai"

Thursday 2 March 2017

Pertandingan DOTA Mahasiswa


Dota merupakan permainan yang mudah membawa ketagihan. Masa senang terbuang di hadapan komputer tanpa bersosial bertemu dengan orang sekeliling. Faedahnya, jika adapun, sangat sedikit berbanding kesia-siaaan waktu yang terbuang.

Mahasiswa kalau bermain dota, biar sesama mereka, tanpa dijadikan suatu festival besar-besaran yang dianjurkan persatuan. Ia akan berikan gambaran salah terhadap kehidupan dan gelaran mahasiswa, yang waktunya patut menambah ilmu, membina jatidiri dan turun ke padang.

Nak merawat ketagihan ini amat payah, ibarat anak kecil yang dijauhkan permainan. Kalau didekati melalui aspek buang masa, tak membina diri, boleh juga, namun akan ada justifikasi yang serong oleh mereka yang ketagihan.




Tetapi kalau masalah ini dirawat melalui pintu akidah dan iman, kemungkinan besar ia akan berkekalan. Bahawa hidup ini Allah tidak jadikan bermain-main dan sia-sia. Ada misi sebagai hamba dan pemimpin atas muka bumi. Bahawa masanya ketika muda akan dipersoal, barulah kakinya boleh bergerak di akhirat. Diri perlu dibentuk sebagai khalifah membimbing manusia kepada Islam, amar makruf nahi munkar.

Ketika melihat melalui pintu ini, dota akan kelihatan seperti sampah dan bangkai yang ternilai. Pandang pun tak menyelerakan.

Wednesday 1 March 2017

Penilaian Superficial


Ketika menilai kesungguhan dan kelayakan anak buah, perlu untuk kita menilai secara tepat dan objektif.

Kesungguhan anak buah untuk berubah didapati melalui perakuan bahawa dia perlukannya. Anda bersembang dengannya tentang faktor-faktor perlunya perubahan lalu nampak dia menginsafi, lalu buat "finishing" dengan memastikan dia sendiri berkata dia akan berubah.

Penilaian secara objektif melihat secara keseluruhan keinginan berubah tersebut. Contohnya jika dia merokok dan mahu berhenti, ia dapat dilihat dengan tidak merokok secara terbuka dan meninggalkan circle kawan yang merokok.

Tapi kalau sekadar melihat dari jauh atau secara maya, ukhuwah gembira-gembira, berpandukan dengan kehadiran ke program sahaja (yang entah apa yang menyebabkannya datang), besar kemungkinan penilaian itu sifatnya superficial. Perubahan masih sukar untuk dilakukan.

Tuesday 28 February 2017

Bermuayashah Jumpa Masalah


Ada masanya ketika bermuayashah, pendakwah terjumpa sisi negatif yang ada pada anak buahnya. Baik secara tidak sengaja ataupun anak buahnya sendiri membuka cerita kerana mempercayai pendakwah tersebut. Antara isu sering dijumpai ialah ketagihan dan bercouple.

Pendakwah yang sangat bercita-cita membawa masuk anak buahnya ini dalam amal dakwah, akan berusaha merawat masalah tersebut. Ia perlu berjalan serentak dengan keinginan anak buah tersebut untuk berubah, juga untuk terlibat dengan jalan tarbiyyah ini.

Kalau kemahuan anak buah itu tinggi, pendakwah pula pandai merawat, harapan itu pasti ada, walaupun dalam tempoh masa yang lama. Namun jika anak buah tersebut sendiri tidak menunjukkan kemahuan, tak wajar untuk timbulkan persoalan "orang baik duduk sesama mereka".

Semua orang kan asalnya baik, dan mahukan kebaikan.

Monday 27 February 2017

Pertembungan Iman dan Jahiliyyah


Keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya menuntut untuk kita taat kepada perintah dan larangan yang ditetapkan

Jahiliyyah pula dipelopori oleh syaitan yang berjanji sejak sekian lama untuk menyesatkan anak Adam as daripada jalan Allah. Syaitan dan tenteranya berusaha menggelincirkan manusia daripada keimanan dan ketaatan kepada kemaksiatan.

Setiap hari kita terdedah kepada pertembungan antara dua perkara ini: iman menarik ke arah syurga, ketaatan dan kebaikan, sedangkan jahiliyyah menarik ke arah neraka, kemaksiatan dan keburukan.

Sunday 26 February 2017

Berjalan dalam Kalangan Manusia


Antara perumpamaan bagi seruan seorang pendakwah ialah dia mempunyai cahaya untuk membawanya kepada manusia yang berada dalam kegelapan.

Dengan AlQuran dan Hadis pada tangannya, dia menyedarkan mereka pada kepentingan iman yang mendalam, Islam yang syumul dan kepentingan untuk berjemaah untuk menegakkan Islam. Dengannya masyarakat akan berubah daripada kegelapan kepada cahaya.

Hikmah, kebijaksanaan dan kemahiran yang ada pada pendakwah tidak sia-sia. Dia mengguna dan memanfaatkannya dengan cara yang terbaik untuk mengumpul manusia dan menyentuh hati mereka untuk bersama jalan dakwah dan tarbiyyah ini.

6:122 Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?

Saturday 25 February 2017

Sasaran Awal Dakwah Fardiah


Seorang pendakwah ketika mengajak orang lain ke arah jalan tarbiyyah dan dakwah, tidak perlu untuk terlalu ketat dan tergesa-gesa mengharapkan mereka berubah.

Memadai bagi sasaran dakwahnya itu disedarkan tentang imannya yang lesu, Islam yang syumul dan kepentingan untuk beramal secara berkumpulan untuk menegakkan Islam.

Sampai satu tahap, akan keluar dari mulut sasaran dakwahnya bahawa realiti umat ini dalam keadaan yang membimbangkan, lalu dia berusaha mengubahnya dengan cara membaiki dirinya terlebih dahulu. Lalu pendakwah menyalurkannya pada wasilah-wasilah tarbiyyah untuk membantunya berubah dan meningkatkan keupayaan diri.

Mungkin sedikit praktikal yang boleh diharapkan ialah dia mengisi borang keahlian untuk menggabungkan dirinya secara rasmi dalam aktiviti dakwah.

Semua ini (kesedaran hati, persetujuan mulut dan tindakan anggota) tidak akan mudah untuk dicapai melainkan dengan hubungan yang rapat atau muayashah mesra antara pendakwah dengan mad'unya.

Mengharamkan yang Haram


Salah satu tuntutan ke atas kita ialah menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram (Hadis 22 Imam AnNawawi). Ia mempunyai perkaitan dengan konsep dakwah sebenarnya. Mengharamkan perkara yang haram berkait dengan salah satu komponen dakwah iaitu menghalang perkara munkar.

Contohnya Allah mengharamkan riba (AlBaqarah, 2:275). Orang beriman bukan sahaja tahu bahawa riba merupakan perkara haram bagi dirinya, tetapi juga mengharamkan ia daripada berleluasa dalam masyarakat melalui nasihat atau bidang kuasa. Begitu juga dengan dosa-dosa yang lain seperti zina, arak, judi, pembunuhan.

Apabila kita tahu sesuatu itu haram, kita bukan sahaja mengharamkannya pada diri sendiri, sebaliknya kefahaman bahawa perkara haram itu akan membawa mudarat akan menggerakkan diri kita untuk mengelakkan orang ramai juga terkena mudaratnya.

Faqih Ahmad Shuhaili
Rabu 22 Feb 2017

Friday 24 February 2017

Motivasi Berdakwah


Manusia menerima motivasi untuk berdakwah melalui pelbagai cara. Biasanya boleh dikelaskan dalam dua motivasi utama: secara teori atau secara emosi.

Teori pada maksudnya apabila seseorang faham kewajipan dakwah secara dalil, fakta akademik dan seumpamanya. Dia rela mengkaji dan berhujah secara mendalam tentang hujah kepentingan berdakwah. Dia melihat itu merupakan perkara yang dia mesti lakukan secara akalnya.

Sedangkan orang yang menyedari kewajipan secara emosi, dia melihat kerosakan yang berlaku sekelilingnya lalu sedar bahawa ia perlukan pembaikan. Perasaan marah kasihan sayang bersilih ganti ketika dia melihat dan membaca realiti umat. Atau keinginannya yang mahukan syurga tertinggi di akhirat nanti. Perasaan ini menolaknya untuk melakukan perubahan.

Kedua-duanya mempunyai bahagian untuk menyumbang agar seseorang bermotivasi untuk berdakwah. Ada yang lebih terkesan disebabkan hujah teori, ada yang lebih terkesan kerana hujah emosi. Pendakwah yang berpengalaman biasanya boleh tahu bahagian mana dia akan mendekati anak buahnya.

Thursday 23 February 2017

Tak Perlu Dakwah, Hanya Mahu Solat dan Puasa


Cukup dengan solat puasa, tak berminat dengan dakwah. Kefahaman seperti ini biasanya datang kerana mahu melakukan perkara fardu ain sahaja tanpa mahu menyumbang kepada fardu kifayah, sedangkan kedua-duanya perkara fardu.

Solat puasa merupakan perkara yang berkait dengan amal kewajipan peribadi. Dalam Islam, ada juga kewajipan yang bersifat kemasyarakatan seperti solat berjemaah, penguasaan sesuatu bidang ilmu dan kemahiran, yang memerlukan penglibatan individu untuk menyumbang bahagian padanya.

Melihat realiti umat yang berada dalam masalah pada hari ini, pastinya keperluan untuk berdakwah menjadi semakin penting. Kebejatan yang berlaku sedikit sebanyak akan memalit diri kita sendiri atau orang di sekeliling kita.

Paling tidak, lihatlah fardu kifayah sebagai suatu kelebihan. Sebagaimana kita berasa lebih dengan ilmu atau kemahiran fardu kifayah yang kita miliki, maka begitu juga dengan kelebihan berdakwah. Pahala dan syurga yang kita kejar di akhirat nanti bukannya yang rendah-rendah, tapi yang tinggi, berdekatan dengan kekasih-Nya saw.

Tuesday 21 February 2017

Bakal Isteri yang Memahami


Kepentingan mempunyai isteri yang memahami dakwah boleh dilihat melalui sirah baginda saw. Ketika peristiwa wahyu yang pertama, Rasulullah pulang dalam keadaan ketakutan lalu ditenangkan oleh Khadijah ra. Beliau meyakinkan baginda melalui keperibadian baginda menyantuni masyarakat sekeliling, sudah pasti Allah tidak akan mensia-siakan baginda saw.

Khadijah ra menjadi tulang belakang kepada baginda, membantu dan menguatkan suaminya, Rasulullah saw, baik secara harta mahupun diri. Sehingga dikisahkan ketika hampir meninggal dunia, yang dipesan ialah jika tulang belulangnya boleh ditukar dengan harta, buatlah sedemikian untuk kebaikan jalan dakwah juga.

Atas sebab inilah kita menyeru pendakwah memilih pasangan yang memahami dakwah ini juga. Untuk memudahkan perkenalan dan kesefahaman. Sinergi lebih mudah dijana jika masing-masing sudah disediakan awal dengan tsaqafah baitul muslim. Juga agar bebanan dakwah suami dan isteri dapat ditanggung secara bersama.

Monday 20 February 2017

Fokus Organisasi


Organisasi dakwah pasti memberikan tumpuan pada keperibadian dan kemenjadian ahlinya. Fokusnya pada mengumpulkan ahli baru dan membina mereka berdasarkan paksi tarbiyyah. Hingga akhirnya ahli tersebut berasa selesa dengan organisasi dan komited dengan program.

Ada masanya ada permintaan agar organisasi merespon terhadap pertembungan idea yang di luar bidang, aktif dengan kegiatan lapangan atau mana-mana aktiviti yang tidak melibatkan keperluan mendesak ahlinya. Ia sewajarnya direspons dengan baik. Seperti hanya mengkhususkan sebahagian ahli untuk tujuan tersebut. Atau menyalurkan keperluan tersebut pada circle luar yang lebih besar eg jika cawangan tak mampu, minta bantuan cawangan lain atau organisasi pusat.

Organisasi yang jelas matlamatnya, pasti mempunyai fokus yang ingin dicapai pada sesuatu masa. Kecenderungan mengejar semua perkara dikhuatiri akan menyebabkan organisasi lari fokus dan tidak bertahan lama.

Konsep yang sesuai dalam perkara ini ialah prioriti. Dharuriyyat. Hajiat. Tahsiniat. Atau matriks urgent dan important.

Sunday 19 February 2017

Pemuda yang Keanak-anakan


Banyak hadis menyebut mengenai masa muda. Salah satunya ialah saranan baginda saw untuk merebut masa muda sebelum tua. Ada hadis lain tentang jaminan bahawa salah seorang yang akan menerima perlindungan Allah pada hari akhirat ialah pemuda yang membesar dalam suasana beribadah kepada Allah. Selain golongan ini, juga disebut tentang seseorang yang digoda wanita cantik dan berkedudukan untuk bermaksiat, yang besar kemungkinannya berlaku pada orang muda. Begitu juga ketika hari akhirat, kaki tidak berganjak sehingga ditanya tentang bagaimana kita menghabiskan masa muda.

Cuma sayang kematangan dan jiwa pemuda banyak yang tidak kelihatan hari ini. Tiada identiti tetap yang boleh mendefiniskan mereka. Budaya seperti raver, rempit, lepak cepat mendapat sambutan. Apabila diajak untuk serius, mereka lebih suka yang santai dan bermain-main. Hiburan dikejar setiap masa untuk mengisi masa dan hati yang kosong. Perwatakannya seolah-olah keanak-anakan, sedangkan ada hadis bahawa Allah kagum pada pemuda yang tiada padanya sifat shabwah (keanak-anakan) ini.

Anak-anak, antara sifatnya adalah tidak terdedah pada tanggungjawab. Harinya diisi dengan kitaran main, makan dan tidur. Emosi mereka tidaklah terkawal dengan baik, ada masanya mudah melenting, ada masa seronok bergelak ketawa. Apabila buat sesuatu, terkadang pentingkan diri. Jika membuat kerja, hasilnya mahu cepat diterima walaupun usaha diletakkan tak banyak mana. Sifat-sifat ini kelihatan comel dan boleh diterima jika yang melakukannya ialah kanak-kanak. Tapi kalau dewasa, ia perlukan rawatan kematangan.

Contoh baik dalam penggunaan masa muda sudah tentunya pada Rasulullah saw. Digelar AlAmin ketika usia muda. Mampu menyelesaikan pertelingkahan ketat kabilah untuk meletakkan Hajarul Aswad. Tanda baginda berfikiran jauh dan diterima baik oleh masyarakat setempat. Ketika baginda dirisik oleh Khadijah ra, terserlah kematangan dan kehebatan baginda dalam berniaga. Pernah juga baginda ditawarkan wanita jika berhenti berdakwah, yang pastinya tidak diterima. Jenaka baginda pula, sifatnya mendalam penuh makna seperti kenyataan bahawa orang tua tiada di dalam syurga. Bukan seperti gelak tawa kosong seperti rancangan di tv dan radio.

Maka ini yang kita cuba contohi sebagai umatnya. Peribadi pemuda yang mampu serius dalam laksanakan ketaatan pada Allah dan baik dalam memposisikan dirinya sesama manusia.

Saturday 18 February 2017

Apabila Lebih Banyak Bergaul dengan Bukan Islam


Asalnya umat Islam diseru menjadikan sesama mereka sebagai kawan rapat. Ia bukannya melarang mereka berhubung dengan orang bukan Islam, sebaliknya hubungan rapat, kesetiaan dan kecenderungan hendaklah diberatkan kepada saudara seislam terlebih dahulu. Ini merujuk kepada konsep wala dan bara dalam Islam.

Bagi orang Islam, mereka seharusnya ada mindset bahawa mereka, dengan nikmat agama Islam sebagai agama kebenaran, perlu membimbing manusia lain untuk merasai rahmat agama Islam. Hidayah daripada Allah menjadikan umat Islam ini unggul dengan syariat yang memajukan dunia dan bermatlamatkan akhirat.

Dua perkara ini jika bergabung akan membentuk umat dakwah yang kuat. Tetapi apabila terbiasa bergaul rapat dengan bukan Islam, mindset ini akan mula mencair. Kecenderungan mula beralih pada bukan Islam disebabkan "empati yang berlebihan". Pendapat mereka ditoleransikan sedikit demi sedikit sehingga pada kadar mengorbankan kepentingan masyarakat Islam.

Hingga akhirnya budaya bukan Islam yang tidak berfaedah juga diterima. Minum arak, judi, bersekedudukan tanpa ikatan sah, lgbt; diterima atas dasar toleransi. Peranan umat Islam sebagai khair ummat ukhrijat linnas (umat terbaik dikeluarkan untuk manusia) (Ali Imran, 3:110) akhirnya tenggelam. Tiada lagi nasihat, tiada lagi polisi mengurangkan kebejatan sosial. Semua manusia kini menjadi sama.

Friday 17 February 2017

Qiamullail Seorang Pendakwah


Qiamullail menjadi suatu ibadat yang penting bagi seorang pendakwah. Setiap malam tidak dibiarkan berlalu melainkan ada masa untuk sesinya bersama Tuhan segala makhluk.

Dengan melazimkan diri dengan qiamullail, pendakwah membina disiplin rohani dan pergantungan dirinya pada Allah. Ini juga masa untuk bertabattul dan memesrakan lagi hubungannya dengan AlQuran (Surah AlMuzzammil).

Mengikut Sheikh Munir Ghadban (Manhaj Haraki), penting juga bagi pendakwah mempunyai hafazan yang banyak untuk memaknai qiamullailnya. Jika sedikit hafazan, qiamnya tidak akan lama kerana hanya mengulang surah lazim yang pendek. Apabila banyak hafazan, banyak yang akan direnungkan. Dan moga bertambah juga kemanisan untuk berqiamullail setiap hari.

Thursday 16 February 2017

Pendakwah Mengelak Syubhah


Allah telah menjadikan perkara yang halal dan haram jelas melalui firman-Nya dan sunnah Rasulullah. Namun antara keduanya ada perkara yang tidak diputuskan nas yang dikenali sebagai perkara syubhah.

Seperti dalam hadis keenam daripada Hadis 40 Imam AnNawawi, perkara syubhah seeloknya dihindari supaya kita tidak terjatuh pd perkara haram ibarat kawasan larangan seorang raja. Namun dalam kehidupan seharian kita tidak terlepas daripada perkara syubhah dalam perkataan dan perbuatan seharian. Lebih-lebih lagi jika hidup bersama masyarakat barat, kerap juga perkara syubhah dilanggar dalam pilihan yang dibuat seharian.

Bagi seorang pendakwah, wajar baginya menghindari perkara syubhah dan apa sahaja yang boleh menimbulkan keraguan pada kewarakan dirinya. Pendakwah bukan sahaja perlu memelihara diri daripada halal dan haram, tetapi juga menunjukkan teladan yang baik dalam menghindari apa-apa perkara yang membawa jalan kepada perkara syubhah dan haram. Teladan atau uswah hasanah ini yang dicontohkan baik oleh sebaik-baik pendakwah iaitu Rasulullah saw (AlAhzaab, 33:21).

Selain perkataan perbuatan sehariannya di hadapan manusia, teladan pendakwah dilihat melalui penampilan dalam media sosial. Di sini pentingnya dia menghindari arus hedonisme dan perkara sia-sia secara berlebihan seperti berbual dan menonjolkan gaya hidup artis yang tidak berimej baik, filem yang tidak bermanfaat dan seumpamanya. Tiada nas yang melarangnya secara spesifik namun waraknya seorang pendakwah melarangnya daripada perkara itu. Jika pendakwah turun ke level itu di hadapan kawannya, bagaimana pula level masyarakat yang lain, ibarat pepatah guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

Wednesday 15 February 2017

Valentine Day Hari Hawa Nafsu

Valentine Day ini sebenarnya sudah menjadi hari dan sambutan untuk seks, menurut Stokely (2013). 85% lelaki dan perempuan berharap untuk melakukan hubungan seks pada 14 Februari hinggakan 40% daripada 2000 koresponden seorang kaunselor di CNN ini berharap untuk lakukan seks dengan siapa sahaja asalkan tidak keseorangan.

Beginilah arus hawa nafsu menundukkan manusia. Hinggakan kempen menentang valentine turut dibantah, sebagai kesan deras arus hawa nafsu ini (AlJatsiyah, 45:23). Siapa yang melawan arus ini akan dianggap ekstremis dan tidak memahami kepelbagaian.

Valentine Day bukan lagi perayaan, sambutan atau budaya yang perlu dihormati atas sebab toleransi dan kemajmukan masyarakat, sebaliknya hari masyarakat memuaskan nafsu; suatu yang bertengangan dengan fitrah manusia, baik beragama Islam atau tidak.

Faqih Ahmad Shuhaili
Selasa 14 Feb 2017

Dakwah Peribadi dan Dakwah Berjamaah


Jika seseorang memilih untuk berdakwah secara berseorangan bukan berkumpulan, sampai suatu masa ia akan tersekat pada had tertentu dan tidak dapat pergi jauh.

Berdakwah secara jamai membentuk kekuatan hasil gabungan individu yang berkumpul dalamnya (AlAnfaal, 8:72). Spektrum kekuatan ini pula luas; ada yang menghasilkan kekuatan yang sedikit, ada yang banyak. Kekuatan gerakan dakwah di negara barat pastinya tak sama dengan kekuatan gerakan dakwah di negara Islam.

Contohnya dalam hadapi kemunkaran arak, jika duduk di negara barat yang membenarkannya, seseorang pendakwah hanya mampu untuk menasihati dengan lisan. Namun kerosakannya terjadi meluas, menimbulkan ketidaktenteraman dan menghabiskan kewangan negara dengan tidak berhemah.

Namun jika pendakwah tersebut berkumpulan, bahkan hingga mampu membentuk kedaulatan agama dan negara, maka undang-undang membanterasnya boleh dikuatkuasakan. Berdakwah tidak hanya terhad pada nasihat lagi yang boleh diendah tak endahkan.

Contoh lain ialah dalam berurusan dengan lgbt yang diterima secara meluas di peringkat antarabangsa. Negara yang kukuh dengan pendirian berhak untuk melarang dan mencegah, walaupun wujud tekanan daripada luar. Pendakwah di negara barat pula, walaupun bergerak dalam kumpulan, kekuatan mereka terhad pada menasihati. Itupun terkadang diugut dengan undang-undang deskriminasi. Apatah lagi jika seseorang itu berdakwah atas kapasti peribadi. Skop pandangannya terhad, tidak meluas dan tidak ke mana.

Kapasiti terhad ini juga berlaku ketika berhadapan maksiat dan penyakit lain seperti budaya zina, yang kadang-kadang diindahkan melalui konsep Valentine Day (VD). Apabila VD berubah menjadi budaya, pendakwah yang keseorangan hanya mampu menasihat dan usaha kecil-kecilan. Jika dilakukan oleh kawannya yang bukan Islam, dia hanya mampu diam "redha". Tetapi pendakwah berkumpulan, dengan amanah kekuatan yang ada pada mereka, melancarkan kempen, mengeluarkan fatwa dan menguatkuasakannya supaya bahaya zina terhindar. Ada juga negara yang bertindak mengharamkan VD ini secara terus.

Di sini pentingnya untuk kita hidup dan terlibat dengan amal jamai. Kumpulan melahirkan kekuatan. Ada hadis berkenaan tangan Allah pada jamaah. Pendekatan yang diambil oleh individu akan berbeza dengan kumpulan kerana kapasiti dan kekuatan mereka berbeza. Berkumpulan penting supaya kebaikan sekitar dapat diluaskan manakala kemunkaran pula dapat dibanteras (AtTaubah, 9:71).

Tuesday 14 February 2017

Buang Bangsa Agama, Semua Dikenali Rakyat Malaysia?


Ada pendapat mengatakan untuk menjadi masyarakat majmuk yang harmoni, ahlinya tidak patut dikenali melalui bangsa dan agama, sebaliknya sebagai rakyat Malaysia. Tiada lagi orang Melayu, Cina, India, Islam dan seumpamanya. Nampak macam bagus, tapi sebenarnya tak ikut fitrah dan tak menguntungkan, terutama pada Melayu dan Islam.

Jika melihat pada Islam dan sejarahnya, identiti melalui bangsa ini diiktiraf sebagai satu cara untuk kita saling mengenali (AlHujuraat, 49:13). Namun kelebihan seseorang bukan pada bangsanya, tetapi melalui kadar ketakwaannya. Sekaligus menolak dakwaan kita perlu dikenali sebagai beragama Islam sahaja, tidak perlu identiti Melayu.

Cuma jika identiti ini tidak mahu lagi digunakan, ia akan hilang bersama sejarah yang telah dicapai bangsa tersebut. Jika dia berbangsa Melayu dan mahu identitinya ini dibuang, ia akan hilang bersama sejarah kegemilangan dan ketamadunan sejak berkurun lama. Sebaliknya bangsa Malaysia hanya bermula pada 1963 jika mahu mengambil tarikh penubuhannya secara rasmi.

Identiti agama sudah tentu ada perintah Allah untuk pertahankan (AlAnaam, 6:161-163) (Hadis Islam agama tertinggi). Identiti bangsa pula, jika ikut konteks Malaysia akan berbalik pada agama. Apabila identiti Melayu dibuang, identitinya sebagai rakyat asal di Tanah Melayu, raja-rajanya, kedudukannya sebagai majoriti beserta perkaitannya dengan agama Islam akan turut hilang. Jika menilai daripada kedaulatan Islam di Malaysia, ia merupakan suatu langkah yang ke belakang.

Cuma retorik tentang bangsa Malaysia ini sebenarnya dah lama. Namun sekolah vernakular masih ada, tak pandai cakap bahasa kebangsaan pun ramai, deskriminasi terhadap bangsa melayu dalam pemilihan pekerja pun jelas buktinya. Kalau lihat pada parti DAP, bias kaum nampak jelas dalam pemilihan central comittee walaupun mereka kuat perjuangkan bangsa Malaysia ini.

Membuang identiti bangsa sebenarnya merugikan, lebih-lebih lagi bagi yang berbangsa Melayu di Malaysia. Ibarat diajak bertempur dengan membuang senjata. Dibimbangi usaha membuang identiti bangsa sebenarnya mahu menghilangkan identiti Melayu secara khusus, sehingga memberi kesan pada Islam di Malaysia. Sebenarnya tiada salahnya mengambil kedua-dua identiti dan menyumbang atas kapasiti dan pada kedua-duanya, seperti yang mahu dimaksudkan dengan asal perkataan bangsa Malaysia.

Monday 13 February 2017

Menjawab Kritikan Terhadap Kempen Tolak Hari Valentine


Apabila 14 Februari tiba, pastinya akan diadakan kempen untuk menolak Hari Valentine, hari yang sinonim dengan bermesra antara kekasih. Ia menjadi bahaya apabila diraikan oleh pasangan yang tidak mempunyai ikatan perkahwinan yang sah kerana dikhuatiri akan membawa kepada zina dan buang anak. Maka tidak ada salahnya kempen ini, kerana ia merupakan suatu seruan agar masyarakat menjauhi perkara munkar seperti dalam surah AlIsra’, 17:32 – Janganlah kamu menghampiri zina. Namun ada kritikan juga pada Kempen Tolak Valentine ini.

“Tak ke Kempen ni Ganggu Perasaan Bukan Islam?”
Ada yang mengatakan ia mengganggu perasaan mereka yang bukan Islam. Mereka akan “terasa” kerana itu budaya mereka dan mereka tidak terikat dengan hukum Islam. Menjawab kritikan ini, sebenarnya kempen ini bertujuan agar masyarakat terhindar daripada hubungan bebas lelaki perempuan, yang kebiasaannya akan membawa kepada hubungan luar nikah. Bahayanya merentas agama. Tidak ada budaya dan agama yang membiarkan jalan-jalan kepada zina. Juga tidak ada faedahnya (AlMu’minuun, 23:3) berhubungan intim tanpa ikatan sah. Selain membazir masa dan menjejas komitmen, mereka yang terlibat dengan hubungan tanpa tanggungjawab ini akan mudah menjadi mangsa eksploitasi terutamanya wanita. Atas sebab inilah Islam menutup jalan kepada zina dan menggalakkan perkahwinan. Faedahnya membawa manfaat kepada semua (rahmatan lilalamin AlAnbiyaa, 21:107) termasuk yang bukan beragama Islam.

“Tak Perlulah Kita Buat Kempen Ni. Baik Senyap Je”.
Kritikan lain mengatakan kita perlu senyap sahaja tentang perayaan ini, tidak perlu adakan kempen, seolah-olah kempen akan mengingatkan masyarakat pada Hari Valentine. Hakikatnya siang malam hari ini dikempenkan di media cetak, media elektronik, internet, pasar raya, jalanan dan di mana-mana sahaja. Diam tidak berkempen hanya akan menderaskan lagi arus negatif Hari Valentine ini. Meriahnya kempen menggalakkan Hari Valentine sewajarnya dilawan dengan magnitud yang sama oleh pihak yang sensitif terhadap kemungkaran di sekeliling. Selari dengan hadis apabila kita melihat kemunkaran, kita hendaklah mencegahnya dengan tangan, mulut dan hati.

“Isyh, Korang Ni Asyik Haram, haram, haram”.
Kritikan lain yang diberikan ialah tiada alternatif yang diberikan untuk menggantikan Hari Valentine ini. Seolah-olahnya pendakwah hanya pandai melarang. Sebenarnya tiada alternatif kepada hubungan tanpa ikatan perkahwinan melainkan dengan cara berkahwin dan berusaha ke arahnya (ArRuum, 30:21). Sebagai alternatif kepada kekasih, raikan kemesraan anda terhadap ibu bapa sendiri, adik beradik dan kawan sekeliling; mereka ini yang lebih wajar dikasihi. Bagaimana pula prestasi kasih kita terhadap junjungan nabi (Ali Imran, 3:31), ini juga perlu lebih dirisaukan. Bahkan kasihkan mereka ini tiada had masa seperti ketika 14 Februari sahaja, tiap-tiap masa boleh dicurahkan dengan cara yang sah. Ia lebih baik daripada terlibat sama dengan sambutan Hari Valentine yang tidak memberi faedah ini, bahkan berpotensi untuk menggalakkan hubungan yang tidak sah, zina, juga buang anak.

“Nanti Bila Dah Habis Valentine Nanti Kahwinlah”
Kritikan lain pula cuba membenarkan sambutan jika pasangan tersebut sudah ada niat untuk berkahwin suatu hari nanti. Ia nampak baik, namun dirisaukan sebagai satu cara syaitan menghiaskan amal buruk tersebut (AlAnkabuut, 29:28). Selagi belum berkahwin, apatahlagi belum bertunang, selagi itulah hukum berkaitan hubungan antara ajnabi terpakai. Ada adab syariat yang perlu dipatuhi, bukannya berdua-duaan meluahkan kasih secara bebas tanpa peraturan.

“Apa Pulak Kena Mengena Valentine dengan Aqidah?”
Ada juga yang mengkritik menyambut Hari Valentine tidak menggugat akidah seseorang. Sebenarnya pemikiran simplistik ini berbahaya seolah-olah apabila akidah sudah rosak barulah ia akan disesalkan. Pada ketika itu sudah susah untuk kembali ke pangkal jalan. Cuma betulkah ia tidak menggugat akidah walau sedikit? Bukankah akidah beriman kepada Allah menyuruh hamba-Nya taat perintah Allah agar menjauhi zina. Apabila syariat dilanggar, ikatan akidah akan menjadi longgar dan sedikit demi sedikit sensitiviti untuk menjauhi maksiat itu akan hilang. Lalu keluarlah alasan ini seolah-olah yang mengucapkannya sudah yakin akidahnya terlalu kuat mengakar.

Buat penutup, masa muda merupakan masa emas yang perlu diluangkan pada eksplorasi potensi diri dan berbakti pada masyarakat, bukannya dilalaikan dengan sambutan yang tidak meningkatkan diri ini. Agenda hidup perlu jelas dalam membina diri, keluarga dan masyarakat supaya selari dengan agama, kerana jika kita tidak jelas dengan agenda sendiri, kita akan mudah untuk diagendakan oleh orang lain dengan sia-sia.

Labels