Wednesday, 30 March 2016

Berorganisasi atau Anarki?


Kerja berorganisasi (amal jamai) umum diketahui memberikan nafas panjang bagi suatu agenda yang mahu diketengahkan. Sudah lumrah kehidupan, hayat perjuangan akan mengambil masa lebih lama daripada tempoh hidup seseorang, apatah lagi masa seseorang itu muda bersemangat. Meskipun begitu, tidak sedikit juga yang masih terikut-ikut gaya perjuangan nafas pendek yang hanya berlandaskan sentimen dan peribadi tertentu serta ikutan membabi buta sahaja.

Kepentingannya lebih terasa terutama dalam membawa agenda Islam. Aspek jamaah dianjurkan dalam kewajipan solat fardu lima kali sehari. Dalam bermusafir beramai-ramai pula, Rasulullah saw memestikan untuk melantik seorang ketua, untuk memudahkan pengaturan perjalanan. Apatah lagi apabila kita mengkaji konsep bermasyarakat dan bernegara dalam Islam.

"Jika tiga orang (keluar) untuk bermusafir, maka hendaklah mereka melantik salah seorang dari mereka sebagai ketua" [HR Abu Daud]

Ia ada disiplinnya yang tertentu agar kerja berorganisasi menjadi tersusun. Organisasi perlu ada seorang ketua untuk dipatuhi perintahnya. Perlu ada sistem mesyuarat juga agar pendapat ahli yang ramai dapat dipertimbangkan. Juga aspek teknikal lain seperti komunikasi yang lancar, disiplin masa yang ketat dan objektif serta target yang realistik.

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." [AnNisa' 4:59]

Namun ia akan hilang andai ada sifat pentingkan diri dan ego yang tinggi pada peribadi ahli. Ia mungkin merupakan cabaran yang besar terutama melihat realiti anak muda hari ini yang kebanyakannya suka hidup bersendiri dengan teknologi, tidak suka hidupnya berkorban untuk kepentingan orang ramai, mudah melenting apabila ditegur atau tidak minat dengan komitmen tempoh panjang.

Hari ini, ketika kita sayu melihat tertinggalnya Islam dalam banyak perkara, kita juga wajar memuhasabah sumbangan kita terhadap agama ini. Adakah kita menjadi sebahagian daripada komuniti yang akan menyumbang manfaat kepada orang ramai. Atau kita sibuk dengan urusan diri, keluarga dan kerjaya sendiri semata-mata. Ia wajar difikirkan kerana lidi yang sebatang dan tercerai lebih mudah dipatahkan berbanding apabila ia dikumpul dan disatukan.

Thursday, 24 March 2016

Benarkah Islam Ada Unsur Autoriti?


Seekor kerbau membawa lumpur, 
semuanya terpalit

Mereka yang terpengaruh dengan unsur liberalisme biasanya akan memusuhi peraturan dan institusi. Mereka juga selalu mengutamakan kepentingan dan keuntungan diri serta tidak mahu ada pihak lain masuk campur untuk mengawal urusan mereka.

Mereka yang terpengaruh dengan unsur ini, kadang-kadang memandang Islam juga patutnya sebegitu. Islam, bagi mereka, cukup sekadar urusan diri. Atau juga nasihat atau peraturan yang boleh sahaja tidak dipatuhi.

Sedangkan Islam, padanya ada pelbagai peraturan yang bertujuan memastikan urusan manusia dalam keadaan teratur. Dan apa gunanya peraturan yang baik ini diberikan kalau ia tidak perlu dipatuhi. Barulah sini kita nampak relevannya konsep amar maruf nahi munkar. Sebagaimana dalam hadis "sesiapa yang lihat kemunkaran, cegahlah dengan tangan ..."

Hadis ini sebenarnya membawa erti kepentingan autoriti dalam membendung kesalahan melalui istilah "cegahlah dengan tangan". Dengan ada autoriti, manusia akan cuba untuk mengelak daripada mendekati perkara larangan. Bayangkan jika memandu lebih 120 kmh pasti akan didenda, pasti orang akan berhati-hati. Lebih 110 kmh pun dah tak berani.

Tetapi autoriti ini ada panduannya. Autoriti yang Islam gariskan, tidak pernah menzalimi. Ia memberikan garis panduan agar manusia dapat hidup sesama mereka dengan sejahtera. Ada check and balance. Kalau lihat Malaysia, boleh hidup harmoni pelbagai bangsa dan agama, kepentingan masing-masing dirai.

Monday, 21 March 2016

Mengapa Berkurang Sedikit Sudah Dikira Bahaya?


​Pasti kamu akan mengikuti mereka sehasta demi sehasta
Hatta ke lubang biawak sekali pun

Prinsip yang diwarisi, pasti ada sejarah di sebaliknya. Juga perjuangan untuk mewujudkan prinsip tersebut, menyebarkannya, mempertahan dan mengukuhkan. Ia tidak dibina seharian seperti kata pepatah "was not built in a day".

Hinggalah sampai pada suatu masa warisan prinsip tersebut sampai pada generasi yang tidak kenal sejarah, tidak juga berjiwa pejuang. Ruh prinsip besar tersebut sudah tidak lagi dirasai. Ia dirasakan hanyalah perkara kecil yang entah wujud tiba-tiba. Lebih teruk lagi apabila datang pula pihak yang mempersoal kewajaran prinsip tersebut tanpa memahami sejarah dan perjuangan di sebaliknya.

Lalu akhirnya prinsip tersebut dicairkan sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi ketika zaman sekarang yang tergilakan keterbukaan dan suara demokrasi. Perjuangan status quo pula dipandang sepi. Lalu tercabutlah identiti dan prinsip diri. Kononnya mahu dihormati, tetapi orang lain melihat ia sebagai harga diri yang telah dibeli. Esok lusa mungkin akan menjadi murahan lagi.

Di Malaysia ada prinsip Islam sebagai agama persekutuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan kaum peribumi. Hari demi hari kepentingannya tidak lagi mahu dirasai. Datang arus liberalisme, habis perjuangan berubah.

Semuanya bermula dengan perubahan sedikit demi sedikit. Bidang urusan Islam dipersoal. Institusi Raja yang menaungi negara diperlekeh. Bahasa Melayu dipinggirkan. Hingga suatu hari, membuang kesemua perkara ini langsung tidak terasa sebagai masalah.

Friday, 18 March 2016

Kenapa Hilangkan Nilai Islam dalam Dokumen Rasmi Suatu Kerugian?


​Mungkin kita mempunyai "concern" yang baik
Tetapi perubahan sedikit perkataan itulah yang boleh memakan

Ada sesetengah yang berpendapat, tiada salahnya menghilangkan nilai Islam dalam dokumen rasmi / perlembagaan kerana kita mahu kelihatan bertoleransi. Agar orang bukan Islam lihat tiada Islam, mereka terasa "welcomed". Mereka berasa cukup dengan sekadar patuhi nilai moral agar semua agama kelihatan sama.

Sebenarnya ia berbahahaya. Apabila wujud suatu peristiwa yang kelihatan bermoral tetapi bertentangan dengan agama, ia akan memakan diri. Lalu ketika situasi telah menjadi terbalik, dan dokumen yang tiada Islam itu memakan diri sendiri, sudah susah untuk kembali kepada situasi awal.

Sebagai contoh, arak ketika majlis keraian rasmi kadangkala diterima sebagai suatu kebiasaan, sedangkan ia berstatus haram dalam Islam. Tiadanya klausa menghalang perkara ini akan menjemput unsur seperti ini untuk dibiasakan. Sedikit demi sedikit, ia mula diterima ramai, lalu wujud pula persoalan, "perlukah strict sangat, biarkan ada, ia hanya untuk mereka", lalu akhirnya ia menjangkiti orang Islam yang tidak kuat pegangan hatinya.

Sebenarnya ada cara yang lebih baik untuk kelihatan bertoleransi dalam hal ini. Beritahu bahawa di samping kita menjunjung nilai agama yang kita anuti, tekankan kita bersifat toleransi dan terbuka kepada mereka yang bukan agama kita. Kita juga meraikan sensitiviti agama mereka, sebagai contohnya bagi penganut agama Hindu yang tidak memakan daging lembu, kita menyediakan alternatif makanan lain agar mereka terasa turut diraikan.

Lihat pula perlembagaan negara kita. Walaupun ada menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan dan sumpah Yang DiPertuan Agong untuk memeliharanya, ada klausa yang membenarkan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka. Lihatlah level toleransi Islam terhadap agama lain di Malaysia, sesuatu yang tidak dapat dilihat di negara lain yang mendeskriminasikan agama minoriti.

Tuesday, 15 March 2016

Apa Kepentingan Islam dalam Dokumen Rasmi? Tidak Cukupkah Sekadar di Hati?


​Agama itu ada penjaganya
Hilang penjaga, terlerailah agama

Islam memang mendidik umatnya agar mementingkan pembentukan dan tarbiyyah dalaman seseorang. Ada banyak ayat alQuran berbicara tentang akhlak diri. Kita juga memahami jika baik dalaman seseorang, baik juga luarannya dan pasti dia akan membenci serta menjauhi perkara yang buruk di luar dirinya.

Ia memerlukan disiplin dan mujahadah yang kuat. Tipulah jika kita katakan nak menjaga diri atau untuk berubah, cukup dengan kekuatan diri sendiri. Mungkin betul cukup, jika suasana sekelilingnya membantu. Tetapi jika kawan yang ada turut menggalak buat jahat, persekitaran pula memberikan peluang kejahatan itu berlaku, memang ucap selamat tinggallah pada keinginan baik tersebut. Tiada yang akan menjaganya dengan rapat.

Lalu datanglah pelbagai unsur pengukuhan dan pencegahan, kebiasaannya ada kaitan dengan kuasa dan autoriti. Kalau dalam negara, kerajaan tak boleh berharap pada disiplin rakyatnya semata-mata agar berkelakuan baik dan bertimbang rasa. Ia perlu ada set peraturan dan undang-undang untuk menjaga, juga hukuman buat mereka yang melanggar undang-undang.

Maka begitulah kepentingan Islam dalam dokumen rasmi seperti perlembagaan. Ia menjadi penjaga agar orang yang tidak kuat mujahadah dirinya tidak terbabas. Tanpa penjaga ini, orang lain boleh sahaja masih bersama agama Islam, tetapi mereka kehilangan sempadan untuk berjaga-jaga. Juga tiada sesuatu untuk berlindung apabila berlaku proses hakisan identiti.

Dalam negara kita, ada Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan. Ada institusi Raja Melayu memelihara agar kedudukan Islam dalam negara tidak mudah hilang. Ada jabatan agama yang memberikan standard untuk urusan agama untuk orang ramai. Ia semua menjadi rangka, setidak-tidaknya agar mereka yang tidak kuat disiplin diri tidak terseleweng akibat pengaruh jahat yang kuat.

Popular Posts