Wednesday, 30 March 2016

Berorganisasi atau Anarki?


Kerja berorganisasi (amal jamai) umum diketahui memberikan nafas panjang bagi suatu agenda yang mahu diketengahkan. Sudah lumrah kehidupan, hayat perjuangan akan mengambil masa lebih lama daripada tempoh hidup seseorang, apatah lagi masa seseorang itu muda bersemangat. Meskipun begitu, tidak sedikit juga yang masih terikut-ikut gaya perjuangan nafas pendek yang hanya berlandaskan sentimen dan peribadi tertentu serta ikutan membabi buta sahaja.

Kepentingannya lebih terasa terutama dalam membawa agenda Islam. Aspek jamaah dianjurkan dalam kewajipan solat fardu lima kali sehari. Dalam bermusafir beramai-ramai pula, Rasulullah saw memestikan untuk melantik seorang ketua, untuk memudahkan pengaturan perjalanan. Apatah lagi apabila kita mengkaji konsep bermasyarakat dan bernegara dalam Islam.

"Jika tiga orang (keluar) untuk bermusafir, maka hendaklah mereka melantik salah seorang dari mereka sebagai ketua" [HR Abu Daud]

Ia ada disiplinnya yang tertentu agar kerja berorganisasi menjadi tersusun. Organisasi perlu ada seorang ketua untuk dipatuhi perintahnya. Perlu ada sistem mesyuarat juga agar pendapat ahli yang ramai dapat dipertimbangkan. Juga aspek teknikal lain seperti komunikasi yang lancar, disiplin masa yang ketat dan objektif serta target yang realistik.

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." [AnNisa' 4:59]

Namun ia akan hilang andai ada sifat pentingkan diri dan ego yang tinggi pada peribadi ahli. Ia mungkin merupakan cabaran yang besar terutama melihat realiti anak muda hari ini yang kebanyakannya suka hidup bersendiri dengan teknologi, tidak suka hidupnya berkorban untuk kepentingan orang ramai, mudah melenting apabila ditegur atau tidak minat dengan komitmen tempoh panjang.

Hari ini, ketika kita sayu melihat tertinggalnya Islam dalam banyak perkara, kita juga wajar memuhasabah sumbangan kita terhadap agama ini. Adakah kita menjadi sebahagian daripada komuniti yang akan menyumbang manfaat kepada orang ramai. Atau kita sibuk dengan urusan diri, keluarga dan kerjaya sendiri semata-mata. Ia wajar difikirkan kerana lidi yang sebatang dan tercerai lebih mudah dipatahkan berbanding apabila ia dikumpul dan disatukan.

Popular Posts