Sunday 14 February 2016

Bagaimana Acuan Membentuk Malaysia?


Ada suatu soalan menarik ditanyakan dalam suatu program pelajar baru-baru ini di sini, Pasca Wawasan 2020: “Bagaimanakah acuan yang mahu kita bentuk untuk Malaysia?”

Mungkin soalan ini sukar bagi yang baru berfikir ketika itu. Bagi warganegara yang peka memerhatikan sejarah, isu semasa dan masa hadapan Malaysia, ada jawapan yang boleh kita persetujui bersama; Perlembagaan Persekutuan, walau melepasi tahun 2020 sekalipun.

Jawapan ini disokong oleh hadirin. Negara kita tidak memerlukan pengimportan budaya asing dari negara-negara luar. Tidak perlu juga membanding-banding lalu mengecilkan negara kita dengan negara asing yang jauh berbatu-batu, sebaliknya kita perlu sedar bahawa negara kita terbina daripada budaya dan perjuangan tersendiri. Ada akar sejarah yang mengukuh kuat yang meyakinkan kita untuk berpaut dengannya.

Jika mahu sebut tentang perpaduan merentasi kaum, lihat sahaja nenek moyang kita zaman kemerdekaan dahulu. Mereka boleh hidup dengan aman dan dalam suasana kekitaan serta kerjasama yang baik. Juga boleh menerima dengan hati terbuka untuk hidup bersama warganegara baru ketika itu. Semangat ini tidak mungkin datang melainkan ada suatu persetujuan bersama untuk membentuk hidup yang harmoni dan untuk maju begerak ke hadapan dengannya. Persetujuan dan persefahaman inilah yang disebut sebagai kontrak sosial atau juga Perlembagaan Persekutuan.

Memerhatikan perlembagan kita, paling tidak, ada empat tiang utama yang perlu berdiri teguh menyokong dinamik negara kita. Ia penting kerana berkait rapat dengan 30 juta warganegara yang mendiaminya. Negara tidak dapat berfungsi andai rakyatnya tidak disusun dan dirukunkan dengan tiang ini, iaitulah Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perakuan kewarganegaraan dan hak keistimewaan bangsa Melayu / bumiputera.

Keempat-empat ini, walau bagaimanapun, tidaklah menjadikan Malaysia milik eksklusif sesebuah kumpulan. Ibarat kata seorang profesor ketika itu, perlembagaan kita sifatnya inklusif, ada nilai keterangkuman. Meskipun agama Islam merupakan agama persekutuan, kebebasan beragama tetap diamalkan. Bahasa Melayu, meskipun merupakan bahasa kebangsaan, tiada larangan dikenakan terhadap bahasa lain. Kewarganegaraan bangsa lain di Malaysia juga diakui dan diterima pada detik kemerdekaan hingga hari ini. “Kedudukan istimewa" orang Melayu dan anak negeri seperti tertulis dalam perlembagaan, ada dipasangkan dengan tanggungjawab Yang DiPertuan Agong untuk memelihara kepentingan sah kaum lain.

Pendek kata, sejak merdeka dahulu, boleh sahaja untuk kita hidup aman dan maju dengan persetujuan bersama ini.

Namun, aneh apabila membincangkan situasi Malaysia hari ini, yang disalahkan ialah bangsa Melayu. Melayu gagal mewujudkan integrasi nasional. Melayu telah membolot universiti di Malaysia, seolahnya bangsa lain langsung tidak menerima hak pendidikan tinggi. Melayu bangsa malas, yang sudah berpuas hati dengan pencapaian diri, seolahnya bangsa lain, semuanya cemerlang belaka. Sekolah Melayu (SK, SMK, MRSM, UiTM) pula tidak berprestasi tinggi berbanding bangsa lain. Semuanya sewenang-wenang dilontarkan, kebiasaannya tanpa “evidence-based”.

Hakikatnya, membangunkan negara kita dan memandunya merupakan tangungjawab bersama. Kalau mahu berikan harapan, berikan pada semua. Kalau mahu salahkan, sedarlah ia merupakan kesalahan bersama. Semua ada peranan dan kekurangan tersendiri untuk dibaiki. Janganlah kerana mahu bajet cool dan nampak harmoni, bangsa sendiri pula diperlekehkan, bangsa lain pula dipandang melangit. Orang seperti ini, eloklah dipesan awal jika nanti diajak bersama memartabatkan nasib bangsa dan agama, jangan pula lari kerana takut dicop rasis dan ekstremis.

Menyentuh soal pelaksanaan pula, apabila tersilap melangkah, tersalah implementasi hingga terlari daripada sasaran, eloklah diakui seawal hari ini. Audit semasa perlu dilakukan, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pembinaan generasi akan datang. Walaupun begitu, negara kita beserta dasar dan polisinya perlu terus hidup dengan ruh Perlembagaan Persekutuan yang telah kita setujui secara bersama sebelum ini.

Empat sendi ini, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perakuan kewarganegaraan dan hak keistimewaan bangsa Melayu / bumiputera; bawalah sampai bila-bila, jangan dibiarkan terabai.

Faqih Ahmad Shuhaili
University of Sheffield, UK
Turut diterbitkan di ISMAWeb

No comments:

Post a Comment

Labels