Sunday 23 October 2016

Izzah


Alhamdulillah, bersempena hari ketujuh kelahiran, kami mengumumkan nama puteri penyejuk mata ini sebagai Izzah binti Faqih Aqili.

Perkataan izzah daripada bahasa Arab membawa maksud kemuliaan, juga ketinggian harga diri. Beberapa kali perkataan ini diulang dalam AlQuran sebagai peringatan bahawa kemuliaan di dunia ini hanya layak dicari melalui sumbernya iaitulah Allah, pemilik kekuatan, kekuasaan dan kemuliaan.

ولله العزّة ولرسوله وللمؤمنين | Bagi Allah jualah kemuliaan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman [QS 63:8]

Moga Izzah sihat membesar nanti hidupnya berbakti dan membawa izzah pada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.


Saturday 27 August 2016

Ibrah Kemerdekaan Buat Mahasiswa Luar Negara


Perjalanan Yang Panjang
Sudah 59 tahun kita merdeka daripada dijajah kuasa asing. Selama inilah kita bebas menentukan hala tuju negara kita. Tiada lagi cengkaman British, Jepun, Belanda, Portugis juga komunis ke atas negara kita. Kenangkan semula, bukannya sedekad dua kita dijajah, ia tempoh yang panjang iaitu kira-kira 450 tahun.

Tangisan, darah, keringat; semuanya keluar untuk memperjuang nasib tanah bertuah ini. Termasuk juga sepanjang perjuangan membina dan mempertahan kegemilangan tamadun serantau yang bermula berabad-abad sebelumnya. Inilah sejarah panjang kita, ia tidak datang percuma.

Sebab itu dalam menentukan halatuju dan identiti negara kita, saya setuju dengan kata-kata bahawa tidak cukup memerhati zaman selepas kemerdekaan semata-mata. Seolah-olahnya seronok menikmati kemewahan tanpa menginsafi kesusahan yang dialami untuk mendapatkannya.

Tujuan Sejarah Dikenang
Ramai yang bertanya untuk apa sejarah panjang ini dikenang, bukankah yang penting ialah masa kini dan masa hadapan. Jawabnya adalah pada sejauhmana pengajaran dan penelitian yang dapat kita perhatikan melalui sejarah masa lalu. Perpecahan, pengkhianatan, kelalaian daripada agenda dan segala bentuk kelemahan yang wujud pada zaman dahulu sewajarnya menjadi lubang yang diumpamakan Rasul saw, orang beriman tidak boleh jatuh ke dalamnya dua kali.

Merenung semula nasib kita hari ini, kita terpaksa mengakui bahawa simptom penyakit yang meletakkan diri kita bawah penjajahan ini sudahpun ada dan merebak dalam warganegara kita. Siri serangan pemikiran yang melarikan kerangka berfikir muslim daripada neraca syara’ cepat mendapat pengaruh sepantas maklumat di hujung jari. Begitu juga penyakit wahan iaitu cintakan dunia dan takutkan mati – yang disifatkan nabi sebagai sebab umat-umat lain berkumpul mengelilingi kita seperti mengerumuni habuan – kelihatannya merosakkan generasi kita terutamanya golongan muda mudi.

Pengajaran Buat Mahasiswa
Bagi mahasiswa luar negara, cabarannya mungkin lebih terasa. Pantauan ibu bapa yang tidak lagi rapat, hiburan yang mudah diakses, kemewahan wang biasiswa; faktor-faktor ini dirisau melarikan mereka daripada matlamat utama berada di sini – ijazah. Lebih dahsyat jika misi utama sebagai seorang manusia juga muslim terkorban sama. Seperti kata Naquib Al-Attas,
Muslim tergenggam belenggu kafir, akhirat luput dunia tercicir
Budaya jahil luas membanjir, banyak yang karam tiada tertaksir
Al Quran mencatat dalam surah Al Jumuah bahawa bangsa yang berada dalam kesesatan yang nyata, dikembalikan semula ke landasannya melalui peranan utusan rasul yang membacakan ayat-Nya, mensucikan mereka serta mengajarkan Al Kitab dan Al Hikmah. Dari sinilah mahasiswa sebagai aset berharga, lebih-lebih lagi di luar negara, seharusnya sedar mereka mempunyai potensi dan wibawa tersebut. Pada mereka tersandar harapan untuk mengemudikan negara ini.

Tidak ada langkah yang terbaik apabila menyedari penyakit dan simptom penjajahan ini melainkan memberikan rawatannya. Gagal menyedari peranan dan realiti masalah hari ini dibimbangi akan melarikan mahasiswa daripada projek pembinaan negara.

Tuesday 2 August 2016

Saya, Ayah dan Abah

Musim Panas 2013: Perkenalan

Jumaat yang lepas mengingatkan saya pada dua orang bapa yang saya ada. Sengaja menulis di sini untuk mengenang memori apabila duduk berjauhan di UK ini.

Ayah: Cikgu Shuhaili
Jumaat lepas ayah diraikan sempena persaraannya. Sedar tak sedar sudah lebih 30 tahun berada dalam profesyen perguruan dan kini sampai ke hujungnya. Antara tiga sekolah yang ayah mengajar, hanya yang pertama di Manong yang saya kurang jelas memorinya kerana masih kecil. Di sekolah inilah, sebelum saya lahir, ayah dan mak berkenalan dan mula membina rumah tangga.

Ayah merupakan cikgu Bahasa Melayu. Ketika kecil, antara tugas yang ayah berikan ialah mengira patah perkataan karangan pelajarnya supaya tidak melebihi had ditetapkan, juga menjumlahkan markah kertas pelajarnya. Selalu juga ayah minta saya taipkan soalan peperiksaan di komputer. Yang masih dipraktikkan pastilah kemahiran berbahasa Melayu. Ada juga rasa serba salah kalau ayat dan dokumen bertulis pada ayah pada bahasa yang tidak gramatis. Haha. Inilah antara kenangan dengan profesyen perguruan ayah.

Dapat rasakan banyak kebahagiaan hidup saya besar kemungkinannya datang hasil bakti ayah (dan mak) mengajar anak bangsa. Terasa juga seperti bakat mengajar turun daripada mereka. Daripada merekalah saya rasa besarnya erti pendidikan serta kepentingannya pada agama bangsa negara.

A photo posted by Ahmad Fadzil Ahmad Shuhaili (@ahmadfadzil__) on

Projek besar ayah selepas ini ialah menyertai Duyuf ArRahmaan. Moga ibadah yang ayah akan tunaikan ini merupakan haji yang mabrur dan diterima Allah.

Abah: Dr Zain
Jumaat lepas pula tarikh friendversary saya dan abah. Enam tahun sebagai kenalan di Facebook. Haha. Menjadi friend selepas kali pertama berjumpa dan mendengar perkongsian daripadanya pada tahun 2010 di Masjid KLIA beberapa bulan sebelum fly ke UK.

Kami tidaklah selalu bertukar komen di facebook, tetapi yang ada, apabila dibaca semula, terasa segan dan tidak sangka ia membawa kepada hubungan mentua - menantu. Pernah dua kali terlibat dalam team menguruskan program abah di UK. Banyaknya mengenali abah ialah pada memerhati pelbagai misi kemanusiaan dan perubatannya dari jauh secara maya. Hinggalah pada hujung musim panas 2015, saya menikahi anaknya, setelah selesa memerhati abah dan keluarganya. Cuma tak sempat berkenalan dengan lebih mendalam, tiga bulan selepas berkahwin, saya dan isteri terbang ke UK.

Musim Sejuk 2012: alamat kecil mula terasa :)

Sepanjang mengenali abah, saya kira ada tiga nilai utama yang sehingga kini saya kagum padanya serta mahu saya contohi. Peribadi yang berhikmah, merendah diri serta taglinenya "Peduli Ummah". Meneliti pesanannya secara online ketika berfacetime, group chat selain melalui facebook sedikit sebanyak menjadi bekalan untuk memahami dan mencontohi jejak langkahnya. Inilah serba sedikit perkenalan saya dengan abah hingga kini.

Yang pasti, sejarah dan pengalaman bersama mereka berdua akan cuba dimanfaatkan untuk menghadapi zaman kebapaan saya pula akan datang, mudah-mudahan.

"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya." [AtThur, 52:21]

"... dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka)" [alKahf, 18:82]

Thursday 21 July 2016

Masih Tersisakah Nikmat Tarbiah Ramadan?


Ramadan hampir sebulan meninggalkan kita. Bulan yang sinonim dengan bulan Tarbiyyah. Dengan erti kata ia menjadikan diri kita mudah untuk melakukan amal. Berpuasa pada bulan Ramadan tidaklah terasa lapar dahaga berbanding tidak makan minum dalam bulan lain. Bacaan AlQuran pula terasa mudah, seolah-olah helaian mushaf terasa ringan untuk diselak dan dibaca. Bersedekah banyak seolah-olah tidak mengganggu bajet bulanan. Mulut pula terasa berat untuk berkata sia-sia, apalagi timbul rasa bersalah apabila berkata jahat.

Ia sebenarnya mungkin dapat dijelaskan dengan sebuah hadis yang menyebut “Apabila datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, manakala syaitan pula dirantai.” [HR Syaikhan]. Kita termotivasi melakukan kebaikan kerana terbukanya pintu syurga dalam bulan ini. Seolah-olahnya kita tertarik ke arah suasana kebaikan yang banyak. Ruang untuk melakukan kejahatan pula ditutup seolah-olah kita tidak langsung teringin melakukannya. Syaitan pula, menurut AlQadhi Iyadh, ditegah daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman. [muftiwp.gov.my]

Cuma kita perlu tanya pada diri kita, adakah perubahan dalam Ramadan ini berjaya kita teruskan ke dalam bulan Syawal ini dan seterusnya? Tidak rasa bersalahkah kita pada prestasi puasa kita, maka janganlah ditinggalkan langsung, carilah masa untuk berpuasa enam. Tilawah, hafazan dan solat malam; jangan terus dilupakan, cuba untuk teruskan walaupun dengan kadar sedikit. Yang penting ialah konsisten dan istiqamah.

Begitu juga dengan ruang-ruang jahat yang wujud, tahanlah diri agar tidak mudah terjatuh lagi pada lubang yang sama. Teruslah tinggalkan dosa, baik bersifat peribadi atau menzalimi orang lain. Suasana buruk pula jangan didekati. Jika sebulan di masjid pun susah untuk dilazimi, jangan pula mencabar iman dengan konsert hiburan satu hari. Takut-takut tak sempat ketika Ramadan untuk hati basah dengan tarbiyyah, Syawalnya terus sengsara kekeringan dan kegersangan.

Cuma ada tips untuk kita teruskan istiqamah dengan tarbiyyah Ramadan ini. Ia sebenarnya boleh menjadi mudah apabila kita melazimkan diri menyertai program tarbiyyah seperti usrah. Sinonimlah dengan sifat Ramadan sebagai bulan tarbiyyah. Biasakan diri juga dengan majlis ilmu dan sahabat-sahabat yang baik. Isikan masa dengan perkara yang berfaedah. Mudah-mudahan dengan kelaziman ini menjadikan kita masih merasa nikmat tarbiyyah Ramadan, walaupun selepas beberapa bulan meninggalkan kita.

Perbandingan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi . Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi, atau engkau akan membeli minyak wangi darinya, dan kalaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi, mungkin (percikan apinya) mengenai pakaianmu, dan kalaupun tidak engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tak enak. [HR Syaikhan]

Wednesday 6 July 2016

Kemeriahan dalam Ketaatan


#SalamAidilfitri Kemeriahan dalam Ketaatan | تقبّل الله منّا ومنكم

Monday 2 May 2016

Apa Perkaitan Isra’ Mi’raj dan Yahudi Hari Ini?


Isra’ dan Mi’raj merupakan suatu peristiwa perjalanan Rasulullah saw pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa. Selain menjadi salah satu mukjizat teragung Nabi Muhammad saw, peristiwa ini dianggap penting kerana menjadi detik pensyariatan ibadah penting pada umat baginda saw iaitu solat lima waktu.

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [AlIsra’, 17:1]

Jika diteliti peristiwa besar ini, juga ayat-ayat awal surah AlIsra’, dapat dilihat adanya perkaitan rapat antara kita dengan bumi Masjidil Aqsa dan Palestin yang pada hari ini dikuasai oleh golongan Yahudi. Secara tidak langsung, ia sebenarnya mengajak kita untuk merasakan pentingnya bumi tersebut dibebaskan daripada penguasaan musuh dan dikembalikan semula kepada umat Islam. Selain itu, himpunan hadis peristiwa akhir zaman juga turut menunjukkan bahawa bumi ini akan menyaksikan kemenangan akhir umat Islam menumpaskan Yahudi di sana.

Hari ini Yahudi bukan sahaja menguasai dan menimbulkan kerosakan pada Masjidil Aqsa serta bumi Palestin semata-mata, bahkan mereka menjadi pelopor kepada fahaman negatif seperti humanisme dan liberalisme yang turut merosakkan keperibadian muslim. Kehancuran akhlak, berleluasanya riba, media yang berat sebelah merupakan antara hasil tangan mereka. Penyakit ini begitu mencengkam dunia sehingga membawa kerosakan kepada fitrah manusia sejagat. Sehinggakan muslim sendiri sudah terleka daripada pembinaan jati diri dan perjuangan asasi mereka.

Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan ugamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan. [AlHajj, 22:78]

Di Palestin, penduduk di sana tidaklah berdiam diri apabila berhadapan dengan kekejaman golongan Zionis. Siri peperangan Gaza melawan Israel beberapa tahun kebelakangan ini melihatkan umat Islam di sana, meskipun berada dalam kepungan dan kesempitan, mampu untuk menggerunkan musuh dengan kekuatan ketenteraan tersendiri. Ia sebenarnya tidak datang dengan tiba-tiba, melainkan dengan strategi generasi awal kebangkitan mereka yang menitikberatkan unsur akidah dalam pembinaan jati diri masyarakat. Ternyata kekuatan pada hari ini datang melalui persediaan rapi dan penuh strategik yang dilakukan pada masa lalu.

Pastinya pengajaran yang boleh diambil adalah penting bagi kita untuk bersama-sama dalam gerakan dan perjuangan untuk mengembalikan kemuliaan Islam pada diri umat. Sebagaimana umat Islam Palestin bersungguh melawan Yahudi dan Zionis di sana, penting juga bagi kita turut bersama membina dasar yang kukuh dalam diri kita dan juga individu di sekeliling . Dalam perjuangan untuk membebaskan Masjidil Aqsa dan menyediakan dasar yang kukuh iaitu generasi yang kental jati diri dan pegangannya, pastinya kita tidak mahu menjadi mereka yang ketinggalan mengejar kemenangan Islam ini.

Wednesday 13 April 2016

Bagaimana Mahu Berjumpa Keluarga di Syurga?


Banyak peristiwa bermakna yang berlaku pada saya minggu ini. Berbetulan pula khutbah Jumaat beberapa hari lepas bercerita mengenai pentingnya mempunyai sosok peribadi contoh atau model (qudwah) yang baik. Yang untuk rumuskannya, saya teringat pada ayat alQuran dalam atThuur, ayat 21.

Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.

Ayat alQuran ini menggambarkan puncak kegembiraan ahli syurga yang mempunyai talian kekeluargaan, akhirnya dikumpulkan semula sambil menikmati kejayaan bersama. Ia diganjarkan bukanlah disebabkan mereka sekeluarga semata-mata, melainkan juga iman yang diwariskan secara berterusan. Dan ini tidak berlaku andai bapa dan ibunya tidak menunjukkan contoh peribadi yang baik, beserta persiapan dan didikan yang betul.

Dalam soal perubahan ke arah yang lebih baik, ia sebenarnya bermula dengan diri sendiri. Orang lain, baik keluarga mahukan kawan rapat tidak dapat memaksa kita agar menjadi baik kerana yang memahami dan menguasai peribadi kita adalah diri sendiri. Meskipun begitu, persekitaran yang baik seperti kawan yang soleh serta majlis ilmu seperti usrah mingguan dapat memainkan peranan mengubah diri secara tidak langsung.

Jika kita memandang pada masa hadapan pula, dengan menyedari pelbagai gejala sosial dalam masyarakat hari ini, selain gaya hidup terlampau berseronok tanpa agenda dan risalah perjuangan, kita sepatutnya ada rasa risau. Jika kita sendiri masih memilih jalan hidup yang mendedahkan diri pada kelalaian, bagaimana pula perangainya generasi kita akan datang.

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. [AtTahriim, 66:6]

Peribahasa melentur buluh biarlah daripada rebungnya menggambarkan perlunya didikan diterima seawal mungkin kerana apabila buluh sudah keras, membentukkannya menjadi payah dan mudah untuk patah. Inilah gambaran kepada kegagalan unsur kebaikan atau keimanan ini diwariskan, sehingga ia merosakkan generasi seterusnya. Perubahan, yang ketika ini senang dilakukan, pada waktu itu menjadi susah kerana telah menjangkiti orang lain, iaitu generasi sendiri. Ketika itu, tiada sesiapa yang dapat disalahkan melainkan diri sendiri.


Wednesday 30 March 2016

Berorganisasi atau Anarki?


Kerja berorganisasi (amal jamai) umum diketahui memberikan nafas panjang bagi suatu agenda yang mahu diketengahkan. Sudah lumrah kehidupan, hayat perjuangan akan mengambil masa lebih lama daripada tempoh hidup seseorang, apatah lagi masa seseorang itu muda bersemangat. Meskipun begitu, tidak sedikit juga yang masih terikut-ikut gaya perjuangan nafas pendek yang hanya berlandaskan sentimen dan peribadi tertentu serta ikutan membabi buta sahaja.

Kepentingannya lebih terasa terutama dalam membawa agenda Islam. Aspek jamaah dianjurkan dalam kewajipan solat fardu lima kali sehari. Dalam bermusafir beramai-ramai pula, Rasulullah saw memestikan untuk melantik seorang ketua, untuk memudahkan pengaturan perjalanan. Apatah lagi apabila kita mengkaji konsep bermasyarakat dan bernegara dalam Islam.

"Jika tiga orang (keluar) untuk bermusafir, maka hendaklah mereka melantik salah seorang dari mereka sebagai ketua" [HR Abu Daud]

Ia ada disiplinnya yang tertentu agar kerja berorganisasi menjadi tersusun. Organisasi perlu ada seorang ketua untuk dipatuhi perintahnya. Perlu ada sistem mesyuarat juga agar pendapat ahli yang ramai dapat dipertimbangkan. Juga aspek teknikal lain seperti komunikasi yang lancar, disiplin masa yang ketat dan objektif serta target yang realistik.

"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu." [AnNisa' 4:59]

Namun ia akan hilang andai ada sifat pentingkan diri dan ego yang tinggi pada peribadi ahli. Ia mungkin merupakan cabaran yang besar terutama melihat realiti anak muda hari ini yang kebanyakannya suka hidup bersendiri dengan teknologi, tidak suka hidupnya berkorban untuk kepentingan orang ramai, mudah melenting apabila ditegur atau tidak minat dengan komitmen tempoh panjang.

Hari ini, ketika kita sayu melihat tertinggalnya Islam dalam banyak perkara, kita juga wajar memuhasabah sumbangan kita terhadap agama ini. Adakah kita menjadi sebahagian daripada komuniti yang akan menyumbang manfaat kepada orang ramai. Atau kita sibuk dengan urusan diri, keluarga dan kerjaya sendiri semata-mata. Ia wajar difikirkan kerana lidi yang sebatang dan tercerai lebih mudah dipatahkan berbanding apabila ia dikumpul dan disatukan.

Thursday 24 March 2016

Benarkah Islam Ada Unsur Autoriti?


Seekor kerbau membawa lumpur, 
semuanya terpalit

Mereka yang terpengaruh dengan unsur liberalisme biasanya akan memusuhi peraturan dan institusi. Mereka juga selalu mengutamakan kepentingan dan keuntungan diri serta tidak mahu ada pihak lain masuk campur untuk mengawal urusan mereka.

Mereka yang terpengaruh dengan unsur ini, kadang-kadang memandang Islam juga patutnya sebegitu. Islam, bagi mereka, cukup sekadar urusan diri. Atau juga nasihat atau peraturan yang boleh sahaja tidak dipatuhi.

Sedangkan Islam, padanya ada pelbagai peraturan yang bertujuan memastikan urusan manusia dalam keadaan teratur. Dan apa gunanya peraturan yang baik ini diberikan kalau ia tidak perlu dipatuhi. Barulah sini kita nampak relevannya konsep amar maruf nahi munkar. Sebagaimana dalam hadis "sesiapa yang lihat kemunkaran, cegahlah dengan tangan ..."

Hadis ini sebenarnya membawa erti kepentingan autoriti dalam membendung kesalahan melalui istilah "cegahlah dengan tangan". Dengan ada autoriti, manusia akan cuba untuk mengelak daripada mendekati perkara larangan. Bayangkan jika memandu lebih 120 kmh pasti akan didenda, pasti orang akan berhati-hati. Lebih 110 kmh pun dah tak berani.

Tetapi autoriti ini ada panduannya. Autoriti yang Islam gariskan, tidak pernah menzalimi. Ia memberikan garis panduan agar manusia dapat hidup sesama mereka dengan sejahtera. Ada check and balance. Kalau lihat Malaysia, boleh hidup harmoni pelbagai bangsa dan agama, kepentingan masing-masing dirai.

Monday 21 March 2016

Mengapa Berkurang Sedikit Sudah Dikira Bahaya?


​Pasti kamu akan mengikuti mereka sehasta demi sehasta
Hatta ke lubang biawak sekali pun

Prinsip yang diwarisi, pasti ada sejarah di sebaliknya. Juga perjuangan untuk mewujudkan prinsip tersebut, menyebarkannya, mempertahan dan mengukuhkan. Ia tidak dibina seharian seperti kata pepatah "was not built in a day".

Hinggalah sampai pada suatu masa warisan prinsip tersebut sampai pada generasi yang tidak kenal sejarah, tidak juga berjiwa pejuang. Ruh prinsip besar tersebut sudah tidak lagi dirasai. Ia dirasakan hanyalah perkara kecil yang entah wujud tiba-tiba. Lebih teruk lagi apabila datang pula pihak yang mempersoal kewajaran prinsip tersebut tanpa memahami sejarah dan perjuangan di sebaliknya.

Lalu akhirnya prinsip tersebut dicairkan sedikit demi sedikit. Lebih-lebih lagi ketika zaman sekarang yang tergilakan keterbukaan dan suara demokrasi. Perjuangan status quo pula dipandang sepi. Lalu tercabutlah identiti dan prinsip diri. Kononnya mahu dihormati, tetapi orang lain melihat ia sebagai harga diri yang telah dibeli. Esok lusa mungkin akan menjadi murahan lagi.

Di Malaysia ada prinsip Islam sebagai agama persekutuan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan kaum peribumi. Hari demi hari kepentingannya tidak lagi mahu dirasai. Datang arus liberalisme, habis perjuangan berubah.

Semuanya bermula dengan perubahan sedikit demi sedikit. Bidang urusan Islam dipersoal. Institusi Raja yang menaungi negara diperlekeh. Bahasa Melayu dipinggirkan. Hingga suatu hari, membuang kesemua perkara ini langsung tidak terasa sebagai masalah.

Friday 18 March 2016

Kenapa Hilangkan Nilai Islam dalam Dokumen Rasmi Suatu Kerugian?


​Mungkin kita mempunyai "concern" yang baik
Tetapi perubahan sedikit perkataan itulah yang boleh memakan

Ada sesetengah yang berpendapat, tiada salahnya menghilangkan nilai Islam dalam dokumen rasmi / perlembagaan kerana kita mahu kelihatan bertoleransi. Agar orang bukan Islam lihat tiada Islam, mereka terasa "welcomed". Mereka berasa cukup dengan sekadar patuhi nilai moral agar semua agama kelihatan sama.

Sebenarnya ia berbahahaya. Apabila wujud suatu peristiwa yang kelihatan bermoral tetapi bertentangan dengan agama, ia akan memakan diri. Lalu ketika situasi telah menjadi terbalik, dan dokumen yang tiada Islam itu memakan diri sendiri, sudah susah untuk kembali kepada situasi awal.

Sebagai contoh, arak ketika majlis keraian rasmi kadangkala diterima sebagai suatu kebiasaan, sedangkan ia berstatus haram dalam Islam. Tiadanya klausa menghalang perkara ini akan menjemput unsur seperti ini untuk dibiasakan. Sedikit demi sedikit, ia mula diterima ramai, lalu wujud pula persoalan, "perlukah strict sangat, biarkan ada, ia hanya untuk mereka", lalu akhirnya ia menjangkiti orang Islam yang tidak kuat pegangan hatinya.

Sebenarnya ada cara yang lebih baik untuk kelihatan bertoleransi dalam hal ini. Beritahu bahawa di samping kita menjunjung nilai agama yang kita anuti, tekankan kita bersifat toleransi dan terbuka kepada mereka yang bukan agama kita. Kita juga meraikan sensitiviti agama mereka, sebagai contohnya bagi penganut agama Hindu yang tidak memakan daging lembu, kita menyediakan alternatif makanan lain agar mereka terasa turut diraikan.

Lihat pula perlembagaan negara kita. Walaupun ada menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan dan sumpah Yang DiPertuan Agong untuk memeliharanya, ada klausa yang membenarkan bukan Islam untuk mengamalkan agama mereka. Lihatlah level toleransi Islam terhadap agama lain di Malaysia, sesuatu yang tidak dapat dilihat di negara lain yang mendeskriminasikan agama minoriti.

Tuesday 15 March 2016

Apa Kepentingan Islam dalam Dokumen Rasmi? Tidak Cukupkah Sekadar di Hati?


​Agama itu ada penjaganya
Hilang penjaga, terlerailah agama

Islam memang mendidik umatnya agar mementingkan pembentukan dan tarbiyyah dalaman seseorang. Ada banyak ayat alQuran berbicara tentang akhlak diri. Kita juga memahami jika baik dalaman seseorang, baik juga luarannya dan pasti dia akan membenci serta menjauhi perkara yang buruk di luar dirinya.

Ia memerlukan disiplin dan mujahadah yang kuat. Tipulah jika kita katakan nak menjaga diri atau untuk berubah, cukup dengan kekuatan diri sendiri. Mungkin betul cukup, jika suasana sekelilingnya membantu. Tetapi jika kawan yang ada turut menggalak buat jahat, persekitaran pula memberikan peluang kejahatan itu berlaku, memang ucap selamat tinggallah pada keinginan baik tersebut. Tiada yang akan menjaganya dengan rapat.

Lalu datanglah pelbagai unsur pengukuhan dan pencegahan, kebiasaannya ada kaitan dengan kuasa dan autoriti. Kalau dalam negara, kerajaan tak boleh berharap pada disiplin rakyatnya semata-mata agar berkelakuan baik dan bertimbang rasa. Ia perlu ada set peraturan dan undang-undang untuk menjaga, juga hukuman buat mereka yang melanggar undang-undang.

Maka begitulah kepentingan Islam dalam dokumen rasmi seperti perlembagaan. Ia menjadi penjaga agar orang yang tidak kuat mujahadah dirinya tidak terbabas. Tanpa penjaga ini, orang lain boleh sahaja masih bersama agama Islam, tetapi mereka kehilangan sempadan untuk berjaga-jaga. Juga tiada sesuatu untuk berlindung apabila berlaku proses hakisan identiti.

Dalam negara kita, ada Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan. Ada institusi Raja Melayu memelihara agar kedudukan Islam dalam negara tidak mudah hilang. Ada jabatan agama yang memberikan standard untuk urusan agama untuk orang ramai. Ia semua menjadi rangka, setidak-tidaknya agar mereka yang tidak kuat disiplin diri tidak terseleweng akibat pengaruh jahat yang kuat.

Monday 29 February 2016

Perlukah Jadi Muslim untuk Berakhlak Mulia?


Sejarah melihatkan kaum Arab Jahiliyyah berubah apabila menerima Islam. Kaum yang bebas menghilangkan akal melalui arak, bergaul bebas hatta sanggup tidur dengan sesiapa, menindas golongan yang lemah melalui peperangan dan riba, berubah apabila menerima ajaran Islam baginda saw lalu muncul menjadi sebuah tamadun yang cemerlang.

Apabila Rasulullah saw sampai di Madinah, antara hadis awal yang didengari penduduk Madinah ialah “Wahai Manusia, sebarkan salam, berikanlah makanan, sambungkan silaturahim, dirikan solat malam ketika manusia tidur, maka kamu akan syurga dengan kesejahteraan” [HR Ahmad] Ia dilihat sebagai suatu yang menyegarkan mereka lantaran suasana jahiliyyah yang kuat dan masih berbekas.

Teorinya, manusia tanpa agama tidak mempunyai sebarang landasan untuk dia bersikap dan memberi panduan. Lazimnya atas kepentingan diri dan hawa nafsu, melainkan mereka yang diperlihara dengan fitrah yang suci. Nafsu akan membisikkan kejahatan seperti menindas golongan lemah, pentingkan diri sendiri.

Islam datang dengan panduan dan kerangka yang perlu dipatuhi. Juga dengan batasan yang tidak boleh dilanggari. Perbuatan yang baik digalakkan. Manakala perbuatan haram akan dibendung, bahkan ada hukuman berat bagi mereka yang terang-terangan melakukan kesalahan.

Islam juga tidak mengehadkan balasan bagi akhlak dan baik pada dunia sahaja, melainkan akan ada balasan yang adil menunggu di akhirat pula. Ia dapat dilihat contohnya melalui hadis seorang perempuan yang menyeksa seekor kucing mengakibatkan dirinya dimasukkan ke dalam neraka.

Friday 26 February 2016

Nota Program #MuslimFeminist



Pemerhatian:
- Zara mula dengan terus sebut di mana silapnya feminisme
- Marina keep on agree with Zara. Islam diakui terbaik dalam soal wanita berbanding sistem masyarakat lain
- Alasan feminisme dan Islam cuba digandingkan, hanya kerana infrastruktur, bukannya rangka asas Islam
- Lalu Zara mengajak organisasi Marina kepada "purely an islamic-based system"

Perkara yang sama kita akan ucapkan kepada suara-suara "Liberalism & Islam" di Malaysia. Tidak perlu cherry-picking terhadap Islam, perjuangkan keseluruhannya dengan bangga

--

Nota Peribadi Forum Muslim Feminist


Zara

  • Pejuang feminis selalu guna work at ground untuk gandingkan antara muslim dan feminis
  • Berlaku Cherry picking terhadap ayat quran dan hadis yang menyebelahi mereka
  • Konsep taat / obey pada suami bukan bersifat pemujaan / idolatory seperti taatnya anak kepada ibu, patuhnya rakyat pada undang-undang negara
  • Perkataan sama tidak digunakan dalam alQuran untuk lelaki dan perempuan. Ada penggunaan tidak sama / la yastawi untuk membezakan antara kafir dan muslim
  • Feminisme secara antarabangsa, dilihat membantu full inplementation of westernization - iaitu ke arah secular liberalism. Hanyalah umpan sebagaimana evangelis menggunakan alQuran utk memurtadkan umat Islam
  • Kita tertanya apa sebenarnya model yang feminis mahukan, adakah seperti di UK sini? Yang teruk juga domestic abuse dll
Kenapa saksi, rasul, ulama' lebih memihak kepada lelaki? Tidak nampak persamaan
  • Lian tak guna saksi equivalent tu
  • Commercial transaction yg pelru dua - sbb lelaki byk berniaga
  • Women intellectual capacity. Every position allowed except khalfiah.
  • Women jadi ketua pun tak semestinya improve keadaan wanita. Eg pakistan etc. Legally obliged.
Tp mcm perempuan tak dpt tempat zaman skng?
  • Post colonial mess. Lots of corruption
  • Look bigger picture
Marina
  • Reluctant utk lantik perempuan jadi hakim
  • Perempuan tak boleh jd mb? Islamik ke..
  • Harta sendiri, kahwin, cerai, dinamakan harta spencarian.
  • Hukum islam amended hingga jadi gender neutal
  • Non muslim women gaining more rights, muslimah not
  • Implementation berlaku bias
  • Eg nak kawen lagi satu, kena explain d mahkamah. Skng takde kewajipan explain kemampuan. Guna harta isteri pertama utk feed isteri kedua.
  • Laki beli takaful subjected to faraid. Epf dibahagi mengkut faraid, org lain yg dpt benefit lebih. Ambil rumah, halau isteri keluar.
Zara
  • Bagus hukum Islam tntg harta dlm rumahtangga. Siapa mencari, tak boleh ambil harta isteri, dua ratio satu warisan etc
  • The solution always enforcing the system. Not musawah, equality
  • Kita ada sistem wali dan negara yg menjaga wanita. Tak sepatutnya verlaku. Masalah governance yg boleh berlaku di mana-mana
  • Calling for same values is not a solution. Make it worse
Perlukah women ada kuasa penekan?
  • Tak penting:
  • Gender of person.
  • Political power.
  • Yang penting mufti not questionable. Yang penting ikuti quran dan sunnah. Semuanya akan diraikan. Thats why ulama mendekati pemerintah sgt bahaya.
  • Poligami. Ijut kemampuan dan keselesaan.
  • Americans more prefer to polygmy dan takde formal ikatan
  • Provides its consensual
How do we know its fair? Contohnya wife pertama terpaksa kerja. Tak qawwam.
  • Not because of polygamy, but the accessibility to the court / infrastructure. Bygkan takde rule utk byk hubungan
Infrastructure inilah yg kami perjuangkan.
  • Agree Masalah infrastructure. Tapi nama forum ni muslimfeminist
Label muslimfeminst perlu ada? Kat mana2 ada label. Western feminist. They taylor to malaysia culture. Tak perlu hak undi dan gaji. Cuma poligami. Religion is part of law. Thats why we come. We are not secular. We believe islam and god is just. We attribute them to human being.
  • Dont use islam feminst. Take back your right. Dont conflict them as muslim feminist.
  • "Just have purely islamic law."
  • Look at the history. Bukan islam pun mahukan mahkamah cara Islam. Bukan agama mereka.
  • Baca lagi tentang feminism pada zaman khilafah Usmaniyyah

2 Sen KAISER

Apakah cabaran yang biasa dihadapi oleh graduan yang baru BFG ke Malaysia?
# Duit untuk sara hidup, barang keperluan, pengangkutan
# survey kerjaya / sediakan persiapan dan hadiri temuduga
# tiada wang simpanan, boros berbelanja pada penampilan
# duduk lama bersama ibu bapa tanpa kerja / gaji
# tiada perancangan untuk berkahwin / bekerja / tinggal asing dari ibu bapa
# bebanan kerja yang banyak diberikan kepada staf baru / bullying junior in office
# yang baru berkahwin - bina persefahaman / kepercayaan bahawa masing2 berusaha untuk stabilkan keluarga

Apakah yang boleh dilakukan oleh KAISER untuk memberi sokongan kepada para BFG untuk kekal istiqamah bersama gerak amal?
# ziarah ke rumah / mengeteh: bertanya khabar - bina hubungan dan kepercayaan dgn cara santai
# perkongsian pengalaman eg melalui seminar pengurusan kewangan / diri / keluarga
# program reunion eg cuti, majlis perkahwinan, ekspo kerjaya
# tidak bebankan dengan tugasan yang besar seperti yang perlukan kewangan / masa yang tinggi

Proses menstabilkan diri – baru membina kerjaya, kewangan dan keluarga
# banyakkan bertanya orang lebih berpengalaman
# wujudkan wang simpanan / kecemasan
# isi masa pasif (eg rehat / balik kerja) dengan mendengar talk pembangunan diri seperti di youtube / tv atau radio - senang untuk refleks diri. Atau menghadiri seminar pembangunan diri

Segan / Tak tahu nak masuk dengan ikhwah akhawat kawasan
# hadiri program / jemputan walaupun untuk tunjuk muka
# berani untuk ambil tugasan ikut kemampuan
# reply kepada mesej group kawasan walaupun sekadar thumbs up
# masuk dengan minda untuk banyak belajar / cari pengalaman dan adapt dengan suasana
# sedar kepentingan untuk beristiqamah (amal fardi dan amal jamai)

Sunday 14 February 2016

Bagaimana Acuan Membentuk Malaysia?


Ada suatu soalan menarik ditanyakan dalam suatu program pelajar baru-baru ini di sini, Pasca Wawasan 2020: “Bagaimanakah acuan yang mahu kita bentuk untuk Malaysia?”

Mungkin soalan ini sukar bagi yang baru berfikir ketika itu. Bagi warganegara yang peka memerhatikan sejarah, isu semasa dan masa hadapan Malaysia, ada jawapan yang boleh kita persetujui bersama; Perlembagaan Persekutuan, walau melepasi tahun 2020 sekalipun.

Jawapan ini disokong oleh hadirin. Negara kita tidak memerlukan pengimportan budaya asing dari negara-negara luar. Tidak perlu juga membanding-banding lalu mengecilkan negara kita dengan negara asing yang jauh berbatu-batu, sebaliknya kita perlu sedar bahawa negara kita terbina daripada budaya dan perjuangan tersendiri. Ada akar sejarah yang mengukuh kuat yang meyakinkan kita untuk berpaut dengannya.

Jika mahu sebut tentang perpaduan merentasi kaum, lihat sahaja nenek moyang kita zaman kemerdekaan dahulu. Mereka boleh hidup dengan aman dan dalam suasana kekitaan serta kerjasama yang baik. Juga boleh menerima dengan hati terbuka untuk hidup bersama warganegara baru ketika itu. Semangat ini tidak mungkin datang melainkan ada suatu persetujuan bersama untuk membentuk hidup yang harmoni dan untuk maju begerak ke hadapan dengannya. Persetujuan dan persefahaman inilah yang disebut sebagai kontrak sosial atau juga Perlembagaan Persekutuan.

Memerhatikan perlembagan kita, paling tidak, ada empat tiang utama yang perlu berdiri teguh menyokong dinamik negara kita. Ia penting kerana berkait rapat dengan 30 juta warganegara yang mendiaminya. Negara tidak dapat berfungsi andai rakyatnya tidak disusun dan dirukunkan dengan tiang ini, iaitulah Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perakuan kewarganegaraan dan hak keistimewaan bangsa Melayu / bumiputera.

Keempat-empat ini, walau bagaimanapun, tidaklah menjadikan Malaysia milik eksklusif sesebuah kumpulan. Ibarat kata seorang profesor ketika itu, perlembagaan kita sifatnya inklusif, ada nilai keterangkuman. Meskipun agama Islam merupakan agama persekutuan, kebebasan beragama tetap diamalkan. Bahasa Melayu, meskipun merupakan bahasa kebangsaan, tiada larangan dikenakan terhadap bahasa lain. Kewarganegaraan bangsa lain di Malaysia juga diakui dan diterima pada detik kemerdekaan hingga hari ini. “Kedudukan istimewa" orang Melayu dan anak negeri seperti tertulis dalam perlembagaan, ada dipasangkan dengan tanggungjawab Yang DiPertuan Agong untuk memelihara kepentingan sah kaum lain.

Pendek kata, sejak merdeka dahulu, boleh sahaja untuk kita hidup aman dan maju dengan persetujuan bersama ini.

Namun, aneh apabila membincangkan situasi Malaysia hari ini, yang disalahkan ialah bangsa Melayu. Melayu gagal mewujudkan integrasi nasional. Melayu telah membolot universiti di Malaysia, seolahnya bangsa lain langsung tidak menerima hak pendidikan tinggi. Melayu bangsa malas, yang sudah berpuas hati dengan pencapaian diri, seolahnya bangsa lain, semuanya cemerlang belaka. Sekolah Melayu (SK, SMK, MRSM, UiTM) pula tidak berprestasi tinggi berbanding bangsa lain. Semuanya sewenang-wenang dilontarkan, kebiasaannya tanpa “evidence-based”.

Hakikatnya, membangunkan negara kita dan memandunya merupakan tangungjawab bersama. Kalau mahu berikan harapan, berikan pada semua. Kalau mahu salahkan, sedarlah ia merupakan kesalahan bersama. Semua ada peranan dan kekurangan tersendiri untuk dibaiki. Janganlah kerana mahu bajet cool dan nampak harmoni, bangsa sendiri pula diperlekehkan, bangsa lain pula dipandang melangit. Orang seperti ini, eloklah dipesan awal jika nanti diajak bersama memartabatkan nasib bangsa dan agama, jangan pula lari kerana takut dicop rasis dan ekstremis.

Menyentuh soal pelaksanaan pula, apabila tersilap melangkah, tersalah implementasi hingga terlari daripada sasaran, eloklah diakui seawal hari ini. Audit semasa perlu dilakukan, terutamanya dalam bidang pendidikan dan pembinaan generasi akan datang. Walaupun begitu, negara kita beserta dasar dan polisinya perlu terus hidup dengan ruh Perlembagaan Persekutuan yang telah kita setujui secara bersama sebelum ini.

Empat sendi ini, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perakuan kewarganegaraan dan hak keistimewaan bangsa Melayu / bumiputera; bawalah sampai bila-bila, jangan dibiarkan terabai.

Faqih Ahmad Shuhaili
University of Sheffield, UK
Turut diterbitkan di ISMAWeb

Labels