Monday, 31 August 2015

Apa Erti Kemerdekaan?


Seringkali kita tidak mempunyai pilihan dalam menentukan masa depan kita. Tragis jika hanya ada satu perkara yang terpaksa menjadi pilihan. Jika

Lebih menyilaukan apabila ada dua pilihan, namun kedua-duanya merugikan. Hati ajak menipu diri sendiri bahawa salah satu antaranya merupakan yang paling sedikit mudaratnya. Namun ini tak dapat keluar daripada hakikat bahawa kedua-duanya membawa mudarat.

Pilih satu blok, tak peduli dengan pemerkasaan syariat. Nak satu blok lagi, giat membawa arus liberalisme.

Atau ketika Islam mahu muncul di Tanah Arab suatu ketika dahulu. Satu blok bersama Parsi, satu lagi bersama Romawi. Dwisistem ini langsung tidak menguntungkan. Pilihan baru berasas wahyu perlu dibangunkan.

Merdeka adalah ketika salah satu pilihan yang ada ialah Islam. Ia tidak terkongkong dengan kebatilan yang wujud dalam pelbagai jelmaan. Islam dinyala dan didakwahkan, sehingga ia menjadi pilihan yang bersaing dengan pilihan sedia ada.

Jihad berfungsi menghilangkan penghalang kepada kewujudannya. Ia tidak memaksa. Lalu orang yang jernih hatinya akan menjadikan Islam sebagai pilihannya. Dia yakin dengan pilihannya, bersungguh menyebarkannya dan tidak reda cahaya Islam itu cuba dipadamkan.

Friday, 28 August 2015

Melaka Mengajar Erti Merdeka

Gambaran Kota Melaka bertahan melawan Portugis

Musim kemerdekaan ini elok kita ambil pengajaran daripada sejarah panjang negara kita. 1511 Melaka mula hilang kedaulatannya apabila dijajah British.

Mereka yang bijak patut berfikir atas sebab apa hilangnya tanah air berharga ini. Mereka yang berfikir ideal bahawa dunia ini tiada permusuhan dan pertembungan tidak akan mudah mendapat jawapan. Mereka yang memerhati akan melihat bahawa ini tidak lain tidak bukan merupakan hasil pertembungan agenda antara Islam dengan bukan Islam.

Portugis tidak datang untuk perdagangan dan rempah semata-mata. Bukan bunga cengkih, tongkat ali yang mereka cari. Dengan cuaca dan persekitaran berbeza di negara sana, mereka dah ada rempah sendiri.

Rekod sejarah memberikan jawapan. Surat dari pembesar dan raja mereka jelas menyebut tentang proses kristianisasi. Tindakan mereka membongkar nisan dan binaan Islam di Melaka untuk dijadikan kota menambah lagi bukti. Bahawa kaum yang tidak menyiapkan diri dalam menghadapi pertembungan agenda akan berada dalam kehinaan.

Tuesday, 25 August 2015

Bukan Material Semata-mata


Banyak perkara yang nilainya tak perlu dilihat pada sisi material sahaja. Hakikatnya dalam menilai sesuatu, ada unsur bukan material yang kita tak nampak, namun menyumbang utama dalam ketenangan hidup kita.

Dalam kesempitan ekonomi, ramai mencari jalan untuk menambah pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan walaupun terpaksa menipu / korup sedikit dalam pekerjaan seharian. Namun tipu daya itu sedikit sebanyak akan menghilangkan keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Di hujungnya, ternyata dengan menipu tersebut secara keseluruhannya merugikan diri sendiri semula.

Dalam berinfaq, belanja (payung?) dan hadiah sehar-hari, yang dipandang bukan duit yang keluar, tetapi pahala dan ganjaran bukan material yang lebih besar. Begitu juga apabila nak berwalimah satu hari, belanjanya boleh menelan ribuan ringgit. Mungkin terasa rugi mengeluarkan duit banyak, namun jika dipandang dari aspek kesyukuran, meraikan tetamu, menjamu orang lain makan lebih-lebih lagi orang yang soleh dan kurang bernasib baik, pasti akan mendatangkan ganjaran yang Allah telah janji.

Hidup menggerakkan Islam, ada masa perlu rapi bermesyuarat, belanja ke program, penat ke sana-sini, memang terasa penatnya. Lebih-lebih lagi, hasilnya bukan dikutip hari ini. Tetapi kalau betul ukuran minda, bahawa inilah cara terbaik menyedikan ummah yang teguh dan berkualiti, ramai yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan harta atas jalan ini.

Sebab itu tak hairanlah apabila orang kata, kalau material sahaja yang dirisaukan setiap masa, memang tension dan hari-hari sakit kepala.

Saturday, 22 August 2015

Jangan Cari Gaduh


Senario I
Bayi yang merengek menjerit-jerit di tengah orang ramai, ibu bapanya akan cuba cari apa yang dia mahu untuk berikan, supaya tangisan berhenti. Tak ada orang yang buat tak peduli dengan keadaan seperti itu, mesti dicari jalan walaupun memujuknya kelihatan pelik. Apatah lagi cuba beri pengajaran kepada bayi supaya jangan berkelakuan sebegitu di tempat awam. Strict atau tegas tak bertempat.

Senario II
Pengganas atau penculik yang mempunyai tebusan juga ada sedikit persamaan. Berunding pada waktu itu perlukan kita penuhi permintaan mereka. Wajar kerana mereka mengawal suasana ketika itu. Pandai berunding, mungkin kita pula yang mengawal suasana dalam keadaan mereka tidak sedar. Ringkasnya, elakkan berkonfrontasi, boleh makan diri.

Perkaitan dengan Konflik Pertembungan Agenda di Malaysia (Islam vs Bukan Islam)
Senario pertama berhadapan dengan orang yang kita sayangi atau masih tidak mengerti. Memang kita akan hindari berkonflik dengan mereka. Tidak berbaloi. Sesuai diadaptasi apabila berhadapan orang Islam yang membawa agenda bukan Islam.

Keadaan jahil ini mewajarkan lebih banyak penerangan digunakan berbanding menghentam dan bertegas dengan diri mereka. Kalau perlu tak buat apa, biarkan saja. Tetapi apabila agendanya mendapat perhatian orang ramai, keadaan menjadi kurang selesa. Kesulitan berhubung dengan mereka ini amatlah dikesali.

Situasi kedua pula sesuai dianalogikan apabila yang mengawal suasana ialah bukan Islam. Contohnya dalam keadaan umat Islam merupakan minoriti dan tidak memegang tampuk pemerintahan. Jalan konflik yang diambil hanya akan merugikan masyarakat Islam. Ia sesuai walaupun dalam keadaan praktis agama dan syiar agama tidak dapat sepenuhnya ditonjolkan. Ini yang kita perhatikan melalui perkongsian daripada tokoh Islam dari negara tersebut mengenai gerakan mereka di sana.

Namun kedua-dua jenis pendekatan ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Malaysia dalam keadaan masyarakat majmuknya masih menyaksikan Islam menjadi agama majoriti dan memegang tampuk pemerintahan. Perlembagaan yang menjadi undang-undang teratas negara juga meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Undang-undang agama wujud dengan institusi kesultanan menaungi institusi agama. Ia memerlukan kita keluar daripada tersempit memandang konflik melalui dua senario ini.

Tuesday, 18 August 2015

Merdeka Tidak Kenal Sejarah


Sempena bulan kemerdekaan ini, eloklah kita segarkan semula pengetahuan kita terhadap sejarah tanah air ini. Hanya warga yang kenal siapa dirinya akan berbangga, berjuang dan menentukan hala tuju agenda negaranya. Bercakap tentang Malaysia, tidak lain ia merupakan agenda survival agama Islam dan bangsa Melayu sebagai umat majoriti dan pemain utama politik.

Budaya hari ini menyebabkan kita memberikan reaksi hanya kepada isu. Berlaku sesuatu isu dalam negara, keluarlah komen-komen reaktif. Bukan lagi mencipta dan menentukan hala tuju. Salah satu puncanya adalah kerana tidak tahu agenda apa yang mahu dibawa. Tidak ada apa diingat dan terkesan jika sikap ini terus diamalkan, melainkan lawak jenaka dan troll politik masa ini.

Ia tidak akan berlaku jika kita sedar siapa diri kita. Sejarah yang perlu pelajari bukan bermula ketika kita mula kenal apa itu internet, bukan juga ketika era kemerdekaan 1957, tetapi jauh lebih awal lagi. Rantau luas ini dikenali sebagai archipelago Melayu, antara tempat sejarah awal manusia bermula. Kita pernah membina empayar luas Kesultanan Melayu Melaka, bahkan sebahagian daripada keluarga besar tamadun Islam yang menguasai dua per tiga dunia.

Ramai hari ini lantang melaungkan kesamarataan dan demokrasi sebenarnya tidak tahu asas sejarah negara kita. Seolah-olah sejarah sebelum merdeka mahu digelapkan. Yang tidak fasih berbahasa Melayu pun ada berani menentukan hala tuju negara ini, sebab bangga dengan budaya luar dan tidak mahu bercampur untuk berbahasa Melayu. Takkan kita mahu menunggu kerosakan mendatang apabila urusan umat ini diserahkan kepada yang bukan ahlinya.

Ambillah dua tiga jam untuk mula membaca atau mendengar sejarah negara kita. Identiti asas terlebih dahulu. Antara yang sesuai ialah kajian ilmiah bertajuk “The Colour of Inequality”, himpunan dokumen bertajuk “Kontrak Sosial” oleh ITBM. Nak mudah, beli semula buku teks sejarah sekolah menengah.

Thursday, 13 August 2015

Empat #TipsMasukU


1. Cari kawan yang baik. Yang boleh kejar cita sama-sama. Supaya tak terpengaruh dengan budaya pelik. Nanti habis masa duit couple sana sini, main game dan layan movie sampai bengkak mata. Ingat pesan dalam surah alAsr, semua orang rugi kecuali yang beriman, amal soleh, pesan dengan kebaikan dan pesan dengan kesabaran.

2. Ingat pendidikan ni cara untuk bangunkan nasib diri dan keluarga. Nanti senang dapat kerja, kewangan stabil, senang masa depan. Banding sikit dengan kaum lain yang dah terkehadapan. Cuma rileks sikit masa belajar, jangan stress memanjang pulak.

3. Ingat usia ketika ini adalah yang paling berharga, menggambarkan keseluruhan hidup kita. Banyakkan berbakti kepada orang lain. Ini pintu untuk ke hati mereka. Hidup ini sangat berharga, jangan dibazirkan dengan hal diri sendiri sahaja. Kita pernah ditolong orang ketika susah dahulu, sekarang masa menolong orang lain pula.

4. Dan yang terakhir, hidup secara berkumpulan. Cari persatuan yang aktif dan selalu buat amal kebaikan. PEMBINA salah satunya. Bukan sekadar ada matlamat yang jelas, PEMBINA juga menentang penyakit-penyakit yang melanda mahasiswa hari ini. Hidup perlu ada agenda agar tidak diagendakan orang lain.

Sunday, 9 August 2015

Lambat Pick Up


Dalam memahami pertembungan agenda Islam dengan yang lain, perlu ada mindset awal bahawa ia merupakan perkara biasa dan telah dijanjikan akan berterusan berlaku.

Agama Islam memandu kita bahawa musuh utama ialah syaitan. Dia sedaya upaya menggunakan anak Adam agar menyebelahi agendanya agar sesat bersama. Agenda syaitan yang mempertuhankan nafsu diarusperdanakan. Maka sebahagian manusia terikut lalu tersimpang daripada jalan Allah padahal Dia menuntut ketaatan penuh kepada-Nya. Sedar tidak sedar, mereka menjadi tentera-tentera syaitan yang naif, lalu rugi di dunia dan akhirat.

Islam juga menjelaskan ada juga permusuhan kuat daripada golongan manusia iaitulah Yahudi dan Nasrani. Mereka tidak akan reda dengan kaum muslimin sehinggalah orang Islam mengikuti agama mereka. Selama-lamanya Yahudi dan Nasrani berusaha ke arah itu, baik melalui kaedah lembut atau melalui jalan kekerasan.

Tetapi mereka yang cuba sendiri-sendiri untuk membaca pertembungan hari ini akan melupakan asas ini. Lalu ada yang berpendirian agenda Islam tidak perlu berlakunya pertembungan. Juga yang konfius mengapa ada kelompok yang memusuhi mereka. Juga tidak sanggup dan tidak bersedia menghadapi pertembungan kerana tidak memahami mengapa mereka dimusuhi.

Ketinggalanlah mereka dalam perlumbaan pengaruh dan kekuatan ini, lantaran mengetepikan panduan awal daripada alQuran.

Friday, 7 August 2015

Buli


Zaman berubah, tingkahlaku manusia juga berubah. Yang jahat, jika tiada panduan wahyu, walaupun perubahan berlaku, tetap berada dalam ruang lingkup kejahatan.

Media sosial yang berkembang pesat memberikan akses kebebasan bersuara kepada orang ramai. Yang dilihat pendiam tidak bersuara rupanya aktif berkata di ruang sana sini dalam dunia maya. Yang jahil boleh bersuara menghina yang alim. Yang muda dan yang tua, sama sahaja taraf di media sosial hingga menghilangkan budaya menghormati dan berkasih sayang antara mereka.

Salah satu gejala berlaku ialah buli siber. Apabila seseorang disyaki melakukan kesalahan, terus dihukum bersalah. Pelbagai post wujud menghina dan troll, tanpa wujud semangat menegur dalam kerangka berpesan-pesan dengan hak dan kesabaran. Tiada lagi adab menegur pemimpin, menegur yang lebih tua, menegur yang lebih berilmu.

Menegur bukan lagi mencari hujah mana yang lebih bertepatan dengan wahyu. Tiada objektif dan wasilah yang betul. Yang dicari ialah mana like yang banyak, meme mana yang lawak.

Lalu wujudlah apa yang dikatakan sebagai mahkamah facebook. Tidak ada hujah pembelaan, tiada keterangan saksi, kertas pendakwaan pun berdasarkan persepsi masing-masing. Yang bersalah ialah mereka yang dihina ramai atau yang tidak (dapat) merespons.

Tuesday, 4 August 2015

Deskriminasi Kaum di Malaysia



Apabila berdepan dengan topik ini, mereka yang selalu ketepikan persoalan bangsa akan cuba untuk mengelak untuk berbincang. Risau menjadi rasis, seperti yang mereka sendiri ukurkan. Ada juga yang lebih dahsyat lagi yang termakan racun sehingga mengatakan bangsa lain tidak amalkan deskriminasi, hanya anak bangsanya sendiri. Salah satu tanda apolegetik yang melanda.

Betulkah Melayu mendeskriminasi bangsa lain? Orang yang selalu katakan ini berhujah dengan perlembagaan yang letakkan Islam sebagai kedudukan tinggi, ada hak keistimewaan bangsa Melayu dan peruntukan-peruntukan khas lain.

Sebenarnya ini merupakan identiti negara yang tercipta sejak sekian lama. Survival nenek moyang bangsa Melayu sehingga hari inilah yang menjadi punca tercipta negara ini sehingga melahirkan perjanjian yang terdapat dalam perlembagaan tersebut. Dengannyalah negara ini aman dan rakyatnya aman membina kehidupan dan kekayaan. Daripada perlembagaan ini terhasillah undang-undang dan keputusan untuk memelihara identiti ini seperti berlaku dalam kes kalimah Allah.

Dan betulkah tiada deskriminasi kaum di Malaysia. Ia ada, wujud bukti akademik mengesahkannya. Kajian Lee dan Muhammad (2012) merupakan satu contoh wujud deskriminasi bangsa yang sangat tinggi terhadap bangsa Melayu dalam sektor swasta. Buku The Colour of Inequality turut menghuraikan bentuk deskriminasi lain yang menyebelahi Cina dan mengetepikan warga bumiputera. Kesannya, bumiputera khususnya Melayu ketinggalan dalam ekonomi lalu boleh membawa impak lain kepada negara kerana kedudukannya sebagai bangsa utama negara.

Ini licik kerana deskriminasi seperti ini tidak dihitamputihkan seperti wujud ayat “Pengambilan bumiputera dihadkan”. Dokumen rasmi yang nyatakan “Islam sebagai agama bagi Persekutuan” pula dituduh menindas. Yang apolegetik akan termakan dakyah chauvinisme ini hingga tersilap label yang bertolak ansur sebagai rasis, yang rasis pula sebagai yang bertolak ansur.

Popular Posts