Friday, 29 May 2015

Bukan Sekadar Wang dan Ekonomi


Duit bukan segala-galanya bagi kita. Masyarakat kita pun mungkin dah dibiasakan lama dengan nilai ini.

Sebab itu ikut fahaman kita, seorang ayah, tanggungjawabnya bukan sekadar memberikan duit kepada keluarga dan memastikan ekonomi yang sejahtera. Dia juga mengisi rumah tangga dengan kasih sayang, wujudkan budaya ilmu pengetahuan, menjamin keselamatan, menerapkan nilai-nilai agama.

Apabila mula fikiran dipusing untuk utamakan wang dan ekonomi, seorang ayah yang gajinya berpendapatan rendah atau sederhana tidak disyukuri. Rasa hormat anak terhadapnya mula hilang, sehingga anak boleh lupa siapa yang bersusah menjaga dia sejak kecil sehingga boleh nampak dunia. 

Menjadi kurang ajar apabila anak yang menyara ibu ayahnya mula mengherdik dan perlekehkan ibu bapa sendiri, mungkin sebab dah terasa cukup membalas budi. Hingga akhirnya, ada yang tergamak membuang ibu bapa sendiri mereka dengan harapan akan ada badan kebajikan akan mengambil alih urusan menjaga mereka.

Perkara sama juga berlaku apabila isteri mula naik kepala dengan suami sendiri.

Hari ini, apabila ada orang sebut dia sumbang banyak duit kepada negara kita, kemudian rasa berhak nak corak negara kita, kita faham bagaimana cara pandang dan permainan mereka. Orang bijak tidak akan terikut game lawan, tetapi untuk menang, dia akan keluarkan kadnya yang tersendiri.

Kata kawan, kalau orang Melayu terkejar-kejar nak jadi negara maju, mereka tidak perlu susah-susah tuntut kemerdekaan, elok duduk saja bawah penjajah British. Tapi kita ada nilai tersendiri, kita mahu mencorak negara ini mengikut cara sendiri.

Perkara utama di sini ialah duit bukan segala-galanya. Juga pentingnya budaya hormat. Bila dah mula persoalkan perjanjian, menuntut balasan, itu tanda suasana sesama kita mula tidak sihat.


Di waktu kita masih miskin maka tokoh yang popular, atau laku di pasaran mata rakyat, ialah seorang yang berusaha mencari jalan untuk membasmi kemiskinan. Di waktu kita masih kuraang ilmu pengetahuan maka pejuang bangsa yang mementingkan usaha meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan rakyat menjadi jaguh yang di cintai oleh rakyat. Di waktu iman kita masih lemah maka guru-guru dan pemimpin-pemimpin institusi ugama dipandang mulia di kalangan rakyat. Di waktu kita mempunyai ramai sasterawan dan budayawan maka perjualangan mereka juga dipandang mulia oleh masyarakat.

Malangnya, kerana tumpuan kita pada berbagai jenis bidang perjuangan, khususnya ekonomi dan pendidikan, secara terpisah dari ilmu sejarah bangsa dan nilai-nilai murni dalam ugama kita maka kejayaan kita dalam bidang pelajaran telah membuat manusia yang dulunya mencuri telor ayam kini sudah pandai mencuri khazanah dan kekayaan negara.

Sanusi Junid, Wang Itu Raja, 2015, Demi Agama, Bangsa dan Tanah air

Tuesday, 26 May 2015

#Malaysia #NegaraIslam #SembangSantai #PEMBINA #SeriIskandar


* Snapshot BBC News semalam, 25 Mei 2014

PM UK David Cameron pada April baru ini mengisytiharkan "we are still a Christian country". Ia kemudiannya menjadi isu dan pertanyaan. "With number of people calling themselves Christian in the UK in decline, is religion in crisis?" Nombor menjadi ukuran jatuh bangun status agama negara ini, "Christians will fall from 64% in 2010 to 45% by 2050.” Pada hari yang sama juga BBC Magazine bawakan pengalaman seorang lelaki yang melawat 46 gereja selama 46 hari, yang menurutnya pengunjung gereja digambarkan sebagai "the average age must be somewhere in the seventies."

Malaysia pula? Adakah ia Islamic country?

Kata-kata Pemerintah
PM Mahathir pernah sebutkan pada 2001 bahawa Malaysia negara Islam. Tahun 2014 baru ini, Dato Sri Jamil Khir selaku menteri kabinet menegaskan sekali lagi perkara tersebut. Namun dari sudut sahnya, kenyataan mereka bukanlah kata pemutus kerana mereka berada dalam bidang kuasa eksekutif (pelaksana), bukannya perundangan.

Perundangan
Dalam hal ini, selain Perkara 3 Perlembagaan (Islam agama Persekutuan) dan Perkara 37(1) (sumpah Agong memelihara agama Islam), ada beberapa keputusan mahkamah yang boleh dirujuk selaku badan berautoriti menafsirkan undang-undang. Antaranya termasuklah penegasan dalam keputusan hakim dalam kes Meor Atiqulrahman pada 2001 (Islam duduk di atas, berjalan dahulu) dan yang terbaru pada 2013 semasa kes Kalimah Allah (Article 3 imposes positive obligation on the Federation to protect, defend, promote Islam and to give effect by appropriate state action).

Syariah
Ikutkan syarak pula, ada banyak ukuran boleh digunakan, berdasarkan pelbagai ayat alQuran. Ia boleh dirumuskan sebagai dominannya hukum Islam pada pemerintahan muslim yang baik. Kuasa penentu pada orang Islam. Hukum yang tertinggi dan menjadi rujukan ialah hukum-Nya.

Situasi Semasa
Realitinya, pemerintah kita masih orang Islam, dan tidaklah sejahat diktator membunuh ramai rakyat negara sendiri. Negara kita juga mempunyai paling ramai mufti dalam sebuah negara untuk dijadikan rujukan; semua mereka berhubungan rapat dengan sultan selaku ketua negeri. Kita juga ada mahkamah syariah, selain adanya Majlis Fatwa Kebangsaan. Ada syiar azan, badan mengurus zakat, perisytiharan puasa, tabung haji dan pelbagai lagi yang menunjukkan agama Islam tersebar ke seluruh negara.

Ikutkan demografi juga, lebih 60% rakyat Malaysia beragama Islam, dan tiada tanda peratusan tersebut akan berkurangan dengan drastik. Yang memakmurkan masjid kita bukan yang berpurata umur sekitar 70-an. Majlis ilmu dan penceramah agama bertebaran di serata negeri. Semua ini merupakan tanda yang banyak bahawa Malaysia sudah berjiwa Islam. Cuma mungkin saja ada cacat cela dalam pelaksanaan dasar dan polisi negara.

Bukan Sekular
Semua ini ditunjuk agar label negara sekular pada Malaysia dapat dibuang. Ia tidak pernah sekular dan tidak patut dibawa ke arah itu. Juga untuk menyedarkan bahawa Malaysia kita ini sudah rapat dengan Islam, maka sewajarnya projek Islam digiatkan lagi. Kita tidak perlu menjadi liberal, tidak perlu juga sertai ISIS untuk diterima dan kelihatan gah di pentas dunia.

Majunya projek Islam ini penting agar kita dapat berkongsi manfaat agama ini dengan semua yang lain, termasuklah mereka yang bukan beragama Islam.

Thursday, 21 May 2015

Islam yang Terhakis


Hari ke hari, makin banyak konsep yang terungkai daripada umat Islam. Mahu tidak mahu kita terpaksa melihat ia sebagai cubaan daripada luar untuk menjauhkan umat ini daripada ajarannya.

Semangat asabiah, penting untuk mengumpul kekuatan majoriti umat Islam untuk mendaulatkan syara. Namun ia dimomokkan sebagai rasis. Lebih dahsyat lagi Islam tidak mengiktiraf pengelasan manusia berasaskan bangsa.

Perasaan marah, penting ketika melihat sesuatu kemunkaran. Juga tanda sensitiviti iman ketika agama diperlekahkan. Namun ada yang bukan Islam cuba mengajar kita bahawa Islam hanyalah tentang ramah semata-mata.

Nahi Munkar merupakan petanda kecemerlangan umat seperti dalam Ali Imran, 3:110. Pelaksanaannya sering dikritik. Halang pesta arak dikatakan ganggu keharmonian kaum. Sekat LGBT tanda tak mesra hak asasi.

Negara Islam merupakan negara dakwah dan risalah. Bukan sekadar dapatkan kerajaan, kemudian bawa kebajikan kepada rakyat. Tetapi istilah ini sudah dirampas pengganas di Iraq, Syria. Ada juga yang sanggup menjadi liberal semata-mata mahu lari dari istilah ini.

Jihad, merupakan kemuncak amal, dengannya hilanglah penghalang sampainya risalah kepada bukan Islam. Namun umat malu untuk menyebut perkara ini. Kata mereka, jihad merupakan kekerasan, kekerasan itu jihad. Apa dibuat orang kafir perlu ditoleransi, walau menghakis hak syara.

Apabila syarak mencela satu-satu perkara bukan bererti ia mahu mencabutnya dari akar umbi tetapi menghalang daripada digunakan untuk tujuan yang salah.

Tuesday, 19 May 2015

Budaya Setempat


1. Asalnya manusia dicipta dengan pelbagai pendapat. Perbezaan pendapat diraikan selagi mana dalam kerangka syara. Fiqh sendiri yang berlandaskan kehidupan Rasulullah pun sudah beribu-ribu khilaf wujud yang perlu ditoleransikan. Apatah lagi dalam soal kehidupan seharian yang ada pelbagai warna-warni dan gaya.

2. Apabila masuk dalam sesuatu kawasan dan masyarakatnya, perlu untuk kita untuk memahami kebiasaan atau praktis di situ untuk tidak menimbulkan situasi pelik dan konflik. Manusia makhluk yang bersosial dengan masyarakat, sebab itu sebolehnya pertembungan dengan masyarakat ramai perlu dielak.

3. Orang yang berfikiran terbuka akan menerima budaya setempat walaupun ia bertentangan dengan pendapat dirinya. Adab sopan kebiasaan akan dihormati. Apatah lagi kalau ia berbentuk peraturan yang ditetapkan di tempat tersebut. Dia tidak akan memperlekeh masyarakat tersebut kononnya atas alasan pendapatnya lebih unik, cool dan mahu kelihatan terbuka.

4. Contohnya berselfie ketika menerima ijazah daripada Naib Cancellor universiti. Kalau itu peraturannya patuhi saja. Lebih-lebih lagi yang memberinya ialah tokoh yang lebih berusia daripada kita. Dalam upacara yang penuh adat istiadat. Ikut suka mereka nak buat apa dan tentukan, itu majlis dan tempat mereka.

5. Dalam fiqh, ada banyak contoh. Qunut, zikir jahar ramai-ramai, qiraat berbeza. Ada ustaz bercerita, ketika dia mahu solat subuh di surau airport, tiba-tiba meluru seorang lelaki mahu menjadi imam. Lalu lelaki tersebut berikan pengumuman bahawa dia bermazhab hanafi, tidak membaca qunut. Sedangkan jika kita memahami khilaf fiqh dan bersifat terbuka, ia bukanlah sesuatu yang sesat dan salah. Imam mazhab sendiri berikan teladan yang baik dengan ketepikan sementara pendapatnya ketika bersama kelompok bermazhab lain. Inilah namanya budaya menghormati dan toleransi.

6. Duduk di negara arab yang tidak kisah lampu isyarat, hon sini sana. Balik Malaysia nak pakai perangai sama konon nak nampak hebat bawak kereta, mestilah dapat saman bertimbun-timbun, orang pun snap tangkap gambar condemn dan tak suka. Takkan nak guna alasan lampu isyarat tiada dalilnya dalam Quran dan Sunnah.

7. Apabila bercampur dengan masyarakat, kita tak perlu untuk rigid dan menangkan pendapat kita. Apa yang dah menjadi kebiasaan dalam masyarakat tersebut dan tidak bertentangan dengan syara, terimalah saja. Jangan salahkan sesiapa ketika anda nak kekal rigid dan menangkan pendapat cool itu jika nanti masyarakat tidak menerima anda atau kenakan tindakan tatatertib.

8. Nak kekal juga dengan pendirian sebegitu, buat di tempat yang lain atau bina susana baru menggunakan pengaruh anda. Bukannya dengan ceroboh masuk tempat dan budaya orang lain.

Friday, 15 May 2015

Bukan Sekadar Gabung Parti Bentuk Majoriti


Kuasa dan pemerintahan negara merupakan topik yang serius dan perlukan penelitian panjang. Ia bukan semudah melantik ketua kelas atau group discussion. Ada beberapa aspek perlu diberi perhatian.

Asasnya, pemerintah mestilah beragama Islam. Begitu juga orang kanan di sekelilingnya. Kerana pemerintah akan mencorak dan menentukan hala tuju, bentuk pengamalan serta sihat majunya syiar Islam dalam sesebuah negara. 

Pemerintah yang kafir pula pasti tidak menghirau ataupun tahu terhadap pentingnya usaha mendaulat agama Islam. Sejahat-jahat orang Islam, pasti akan ada masa terdetik terhadap tanggungjawab ibadah dan imarah yang diamanahkan kepadanya.

Dan ia perlu stabil. Bertukar-tukar pemerintah dalam tempoh masa yang sekejap, lebih-lebih lagi melalui cara yang keras merupakan sesuatu yang tidak sihat terhadap negara dan rakyatnya. Sebab itu gandingan pasukan pemerintah dan kestabilannya perlu diberi perhatian. Syaukah perlu kuat.

Melihat pada situasi di negara kita, boleh dibaca bahawa ia bukan sekadar siapa yang boleh gabung undi parti dapatkan undi popular semata-mata. Apa guna undi popular lebih 50% majoriti, tetapi ideologi parti bertentangan. Satu mahukan Islam, satu lagi pemimpinnya kafir, ideologinya pula sekular. Satu mahukan hudud, satu lagi menentangnya dengan alasan mudah melawat ke Mesir, Jordan dan menyebut nama alQardhawi. Juga tidak dapat sepakat tentang siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Atau ketua sedia ada tidak serlah qawi dan aminnya. Dengan institusi kesultanan pun, ingkar pada arahan. Langkah Kajang salah satu bukti ketidakserasian mereka.

Tulisan ini bukan untuk menaikkan sesebuah pihak. Hakikatnya negara kita terpaksa memilih antara dua kemudaratan, mana satu yang lebih ringan, itulah yang diterima walau terpaksa. Tinggal kita sahaja sama ada mahu mencipta alternatif atau mendesak parti sedia ada agar lebih prihatin pada nasib agama dan bangsa.

Tuesday, 12 May 2015

Tarbiyyah Basah


Bagi yang terlibat dengan dunia tarbiyyah, “basah” merupakan perkataan yang biasa didengar. Tarbiyyah basah merupakan impian dan cita-cita mereka. Hati akan rasa terketuk, mata mula seperti dimasuki habuk, kepala mula tertunduk; ini antara tanda-tanda program tarbiyyah atau tazkirah tersebut bersifat basah.

Tarbiyyah pada mulanya memang bersifat basah. Pada fasa awal, naqib banyak bercerita mengenai iman, perbaikan diri, sirah nabi dan sahabat, serta peristiwa di akhirat. Ayat-ayat alQuran yang sebelum ini hanya dibaca dan dihafal, sekarang mula difahami dan terasa rapat. Sememangnya perkara asas ini mudah dihayati kerana lazimnya ia sudah dibiasakan seawal masa kecil kita.

Namun, semakin lama berada atas jalan ini, tarbiyyah mula seolah-olahnya menjadi kering. Realiti mula berpisah daripada ideal. Tarbiyyah mula meminta untuk berfikir mengenai perancangan gerak kerja selain persiapan menghadapi agenda musuh. Dalil alQuran pula tersirat disampaikan dalam perbincangan dan analisis. Keadaan menjadi lebih kering dan kusut lagi apabila berlaku konflik sesama rakan tarbiyyah.

Hakikatnya walaupun basah merupakan suatu keperluan dalam tarbiyyah, ia bukannya sebegitu sepanjang masa. Keseronokan tarbiyyah juga perlu diusahakan sendiri (tarbiyyah zatiyyah), bukannya mengharap pada sesiapa untuk membasahkannya.

Dan basah bukannya objektif akhir terlibat dalam bidang ini. Adakah apabila tarbiyyah tidak lagi basah, jalan ini terus ditinggalkan. Salah siapakah jika tarbiyyah tidak lagi seperti diharapkan. Sebenarnya kita bukan sahaja dituntut untuk menjadi rahib pada malam hari sahaja, tetapi juga pejuang di siang hari.

Ada masanya keseorangan, ada masanya ramai. Sekejap di luar negara, sekejap kembali ke dalam negara. Ada masa menjadi ketua, ada masa menjadi pengikut. Ada rasa gembira, ada rasa tercabar dengan cabaran hidup. Pernah dapat naqib ceria, pernah juga yang garang. Semuanya ini diharapkan menjadi asam garam dalam melalui jalan ini.

Hakikatnya jalan tarbiyyah ini panjang (sehingga ke akhir hayat). Objektifnya besar (tertegaknya kalimah Allah atas muka bumi). Moga banyak perkara yang dapat dipelajari dan dimanfaat sepanjang jalan ini.

Friday, 8 May 2015

Persekitaran Mempengaruhi Pilihan


Dalam memilih kebenaran, persekitaran ada kesannya dalam mempengaruhi pilihan. Orang yang kenal kebenaran sekalipun, boleh membuat pilihan yang sebaliknya lantaran dipengaruhi oleh orang sekelilingnya.

Sebab itu ada kata-kata masyhur "kenali kebenaran, baru kenali orangnya.” Ia mengingatkan kita bahawa jika orang yang dikenali dahulu, ada kemungkinan yang datang nanti ialah fakta yang bias, bukan lagi kebenaran. Ini yang perlu dipegang kuat dalam menilai pelbagai perbezaan dan pertembungan pada hari ini

Ada beberapa kisah daripada sirah yang berkaitan asas ini:

1. alMughirah b Syu’bah merupakan orang berpengaruh kalangan Quraisy dan menguasai bidang sastera. Dia memahami ketinggian bahasa alQuran lalu tertarik padanya. Dalam tafsir alMuddassir, diceritakan Abu Jahil memprovokasinya agar tidak memeluk agama Islam. Hingga akhirnya dia terpaksa mencari perkataan yang sesuai mengenai nabi Muhammad saw, lalu dia berkata, “alQuran ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari daripada orang lain”.

2. Utbah b Rabiah tokoh Quraisy yang berpandangan jauh, melihat bahawa dakwah Rasulullah perlu disekat agar tidak "menjejas perpaduan" Mekah. Dia lalu berjumpa Rasulullah membawakan pelbagai tawaran berupa harta, kemuliaan, raja atau tabib jika baginda sakit. Namun Rasulullah mengambil kesempatan tersebut dengan membacakan surah Fussilat kepadanya. Lalu akhirnya Utbah berjumpa semula dengan pembesar Quraisy, berpesan kepada mereka agar membiarkan nabi Muhammad serta memberikan peluang kepada baginda untuk berdakwah.

3. Hercules yang merupakan Kaisar Rom, ketika sampai surat daripada Rasulullah saw agar dia memeluk agama Islam membawa perkara tersebut dalam perbincangan bersama para menterinya. Malah Hercules mengenali peribadi, agama dan pengikut nabi Muhammad saw dengan terperinci melalui dialognya dengan Abu Sufian. Hampir-hampir saja raja tersebut beriman, namun kerana pengaruh pembesarnya dan takutkan kehilangan kuasa, seruan iman tersebut tidak kesampaian.

Tuesday, 5 May 2015

Assalamualaikum Dunia


Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Ayat sapaan yang kelihatan saja mudah dan ringkas ini sebenarnya mempunyai maksud yang mendalam.

Pertama, ia suatu bentuk sapaan ketika bertemu dengan seseorang sebagai tanda penghormatan dan mendoakan kebaikan padanya. Salam menjadi mesej awal yang mesra (to communicate friendliness and safety) kepada orang lain sekaligus mengetepikan permusuhan atau perselisihan yang mungkin ada sebelum ini.

Kedua, konsep keselamatan dan keamanan dalam salam itu sebenarnya berkait dengan agama Islam. Dalam bahasa Arab, kedua-duanya mempunyai huruf asas yang sama (sin lam mim). Memberi salam seolah-olah mesej mengajak agar kembali kepada seruan Islam yang dihiasi keamanan dan keselamatan.

Konsep keselamatan yang besar dan umum ini perlu diterjemahkan dalam kerangka Islam. Pelbagai panduan wahyu telah diberikan oleh Allah dan rasul-Nya kepada kita yang tujuan akhir semuanya membawa keselamatan kepada seluruh manusia dan makluk lain.

Kembali kepada Islam bererti mengikuti peraturan yang digariskannya dan menjauhi larangannya. Mematuhinya akan membawa keamanan manakala menyimpang daripadanya akan membawa kepada kemudaratan.

Imam alMaududi menjelaskan dengan baik konsep ini dalam bukunya, Asas-asas Islam. Matahari, bulan, bintang serta bumi yang beredar pada orbitnya sebenarnya mematuhi peraturan yang ditetapkan pada mereka, lalu membawa keselamatan kepada manusia. Bayangkan jika objek ini lari daripada ketetapan tersebut, pasti akan huru-hara dunia.

Konsep keamanan dan keselamatan yang sama juga terpakai pada manusia. Ia mengajak kita agar patuh pada ketetapan yang datang daripada Tuhan sama yang menciptakan matahari, bulan, bintang dan bumi.

Oleh itu ketika salam diberikan kepada anda, fahamilah bahawa ia bukan sekadar sapaan biasa, sebaliknya seruan agar kembali kepada ketetapan yang diberikan Allah kepada makhluknya, agar nikmat keselamatan dan keamanan tersebut dikongsi dengan manusia dan makhluk lain atas dunia.

Popular Posts