Friday 7 August 2015

Buli


Zaman berubah, tingkahlaku manusia juga berubah. Yang jahat, jika tiada panduan wahyu, walaupun perubahan berlaku, tetap berada dalam ruang lingkup kejahatan.

Media sosial yang berkembang pesat memberikan akses kebebasan bersuara kepada orang ramai. Yang dilihat pendiam tidak bersuara rupanya aktif berkata di ruang sana sini dalam dunia maya. Yang jahil boleh bersuara menghina yang alim. Yang muda dan yang tua, sama sahaja taraf di media sosial hingga menghilangkan budaya menghormati dan berkasih sayang antara mereka.

Salah satu gejala berlaku ialah buli siber. Apabila seseorang disyaki melakukan kesalahan, terus dihukum bersalah. Pelbagai post wujud menghina dan troll, tanpa wujud semangat menegur dalam kerangka berpesan-pesan dengan hak dan kesabaran. Tiada lagi adab menegur pemimpin, menegur yang lebih tua, menegur yang lebih berilmu.

Menegur bukan lagi mencari hujah mana yang lebih bertepatan dengan wahyu. Tiada objektif dan wasilah yang betul. Yang dicari ialah mana like yang banyak, meme mana yang lawak.

Lalu wujudlah apa yang dikatakan sebagai mahkamah facebook. Tidak ada hujah pembelaan, tiada keterangan saksi, kertas pendakwaan pun berdasarkan persepsi masing-masing. Yang bersalah ialah mereka yang dihina ramai atau yang tidak (dapat) merespons.

No comments:

Post a Comment

Labels