Tuesday, 5 May 2015

Assalamualaikum Dunia


Assalamualaikum wa rahmatullah wa barakatuh.
Ayat sapaan yang kelihatan saja mudah dan ringkas ini sebenarnya mempunyai maksud yang mendalam.

Pertama, ia suatu bentuk sapaan ketika bertemu dengan seseorang sebagai tanda penghormatan dan mendoakan kebaikan padanya. Salam menjadi mesej awal yang mesra (to communicate friendliness and safety) kepada orang lain sekaligus mengetepikan permusuhan atau perselisihan yang mungkin ada sebelum ini.

Kedua, konsep keselamatan dan keamanan dalam salam itu sebenarnya berkait dengan agama Islam. Dalam bahasa Arab, kedua-duanya mempunyai huruf asas yang sama (sin lam mim). Memberi salam seolah-olah mesej mengajak agar kembali kepada seruan Islam yang dihiasi keamanan dan keselamatan.

Konsep keselamatan yang besar dan umum ini perlu diterjemahkan dalam kerangka Islam. Pelbagai panduan wahyu telah diberikan oleh Allah dan rasul-Nya kepada kita yang tujuan akhir semuanya membawa keselamatan kepada seluruh manusia dan makluk lain.

Kembali kepada Islam bererti mengikuti peraturan yang digariskannya dan menjauhi larangannya. Mematuhinya akan membawa keamanan manakala menyimpang daripadanya akan membawa kepada kemudaratan.

Imam alMaududi menjelaskan dengan baik konsep ini dalam bukunya, Asas-asas Islam. Matahari, bulan, bintang serta bumi yang beredar pada orbitnya sebenarnya mematuhi peraturan yang ditetapkan pada mereka, lalu membawa keselamatan kepada manusia. Bayangkan jika objek ini lari daripada ketetapan tersebut, pasti akan huru-hara dunia.

Konsep keamanan dan keselamatan yang sama juga terpakai pada manusia. Ia mengajak kita agar patuh pada ketetapan yang datang daripada Tuhan sama yang menciptakan matahari, bulan, bintang dan bumi.

Oleh itu ketika salam diberikan kepada anda, fahamilah bahawa ia bukan sekadar sapaan biasa, sebaliknya seruan agar kembali kepada ketetapan yang diberikan Allah kepada makhluknya, agar nikmat keselamatan dan keamanan tersebut dikongsi dengan manusia dan makhluk lain atas dunia.

Popular Posts