Tuesday 14 April 2015

Untuk Apa


Lingkungan ada pengaruhnya pada diri kita. Kalau dapat suasana yang tekejar-kejar mengejar dunia, memang akhirnya seseorang itu akan larut dengan mereka lalu menjadi sebahagian daripada mereka. Walaupun pada asalnya dia membenci dunia. Perubahan itu bermula sedikit demi sedikit, sehingga akhirnya ia sampai ke titik hujung ekstrim (cintakan dunia).

Biasanya ia bermula dengan hati. Sebab itu niat memainkan peranan yang penting. Perkara yang baik boleh berubah sifatnya menjadi buruk atau sia-sia apabila salah niat melakukannya. Niat boleh sahaja tergelincir ketika awal, ketika pertengahan atau di penghujung.

Asalnya bekerja adalah merupakan perkara yang harus. Boleh menjadi sunat dan wajib apabila ada niatnya sebagai ibadah dan mengarahnya pada kebaikan agama. Namun akibat pengaruh suasana, seseorang itu mungkin melakukannya kerana larut dengan dunia (harta dan status). Setiap hari concern dirinya adalah mahukan tambahan harta untuk kesenangan dan kemegahan dirinya sahaja.

Berkahwin merupakan fitrah suci. Tapi kalau hidup dalam lingkungan nak menunjuk siapa yang paling cepat kahwin, paling cepat dapat anak atau paling grand majlisnya, perkara baik seperti inipun boleh menjadi cacat akhirnya. Niat yang baik - seperti cepat kahwin untuk mengawal nafsu atau tamakkan pahala berganda, mahukan anak sebagai penerus risalah Nabi atau sumber kebanggaan baginda saw, menjemput ke walimah untuk meraikan tetamu dan mengharapkan doa mereka - jangan sampai tenggelam timbul akibat mengejar expectation manusia.

Gunakan Facebook untuk bersosial juga tiada masalah pada asalnya. Ia menjadi penyakit apabila terkejar-kejar like, komen dan share. Asalnya ia sebagai media sosial tetapi bagi sebahagian kita menjadi tempat berbangga. Ada kereta. ia suatu keperluan. Lingkungan akhirnya mengubah niat asalnya kepada ingin bergaya, walaupun terpaksa papa. 

Perkara sebegini perlukan latihan hati. Seawal-awalnya lagi perlukan niat yang ikhlas, tahu ke mana tujuannya. Kata orang, pengakhiran yang cemerlang datangnya daripada permulaan yang suci (ikhlas niatnya) - صفاء النهاية من صفاء البدايه.

No comments:

Post a Comment

Labels