Thursday 5 March 2015

Pengkhianatan yang Dibiarkan (Kelemahan Dialog Bahagian V)

Jika dipandang secara keseluruhan, siri-siri tindakan pengkhianat sedikit sebanyak menampakkan pelbagai niat mereka seperti merebut kuasa politik, mengubah pemikiran masyarakat, melunakkan nilai agama dalam negara atau sebagainya. Semua objektif ini tidak akan tercapai jika mereka tidak mendesak dan menimbulkan keraguan agar dapat menghakis perkara asas negara ini sedikit demi sedikit. Dan apabila topik tersebut dibawa ke dalam dialog, mereka akan mempromosi, menghias tindakan mereka dan tegar mempertahan hujah agar motif ini tercapai nanti.

Perlu disedari bahawa apapun hasil atau persetujuan yang mereka mahu bincangkan ketika sesi dialog, tujuan asal mereka melakukan perkara tersebut adalah agar agenda besar mereka (dalam konteks Malaysia iaitu mencairkan agama Islam / bangsa Melayu / perlembagaan) tercapai sedikit demi sedikit. Medium dialog tersebut digunakan untuk melontar dan menyebar luas propaganda mereka kepada orang ramai.

Lebih membahayakan jika dialog tersebut dapat diakses oleh orang ramai yang naif mengenai percaturan pengkhianat ini. Disebabkan inilah, sesi dialog berkenaan perkara sensitif negara wajar dilakukan secara dalaman agar kekeliruan yang timbul dalam sesi tersebut dapat segera diselesaikan sebelum merebak kepada orang ramai.
Sharp seterusnya memberi amaran kepada para demokrat (pejuang) bahawa mereka akan kecewa sekiranya berhenti / bertangguh menggunakan kuasa terhadap diktator (pengkhianat). Baginya jarang tindakan tersebut dapat mengurangkan tekanan daripada mereka. Sebaliknya, apabila pejuang berhenti menggunakan kuasa, para pengkhianat akan bertindak lebih agresif mencabar dan menimbulkan kegusaran masyarakat sesuka hati mereka. Sharp memetik kata-kata penulis Krishnalal Shridharani “Diktator kuku besi hanya berkuasa menindas apabila kita tidak mempunyai kekuatan untuk melawan mereka”.

Penentangan dengan kuasa (bukan dialog / rundingan) sangat penting dalam berhadapan dengan konflik yang melibatkan perkara asas negara. Hampir dalam semua keadaan, penentangan mestilah berterusan untuk mengelak golongan pengkhianat ini mendapat kuasa. Tambah Sharp, kejayaan sesuatu agenda tidak ditentukan dengan cara berhujah sebaliknya melalui penggunaan kuasa yang bijak dan tepat (wise and powerful).

bersambung

No comments:

Post a Comment

Labels