Thursday, 26 February 2015

Apa Salahnya Dosa Sendiri-sendiri


Kesalahan ada degree (tingkatan) yang berbeza. Dalam Islam, ada dosa besar, dosa kecil. Ada kesalahan melibatkan diri sendiri, ada kesalahan melibatkan orang (makhluk) lain. Ada kesalahan secara sembunyi, ada kesalahan yang orang lain nampak. Ada kesalahan yang sengaja, ada yang tidak sengaja.

Apapun jenis, bentuk dan kesan kesalahan tersebut, ia tak sepatutnya menanggalkan sifat malu dari dalam diri pelakunya. Sejahat mana sekalipun seseorang itu, perlu sedaya upaya timbulkan sifat kekesalan apabila melakukan kesalahan, supaya kesalahan tersebut tidak lagi berulang lagi pada masa akan datang.

Hari ini ada trend pelik berbangga dengan kesalahan yang dilakukan. Mungkin disebabkan sensitiviti yang semakin menghilang dan terpengaruh dengan ideologi hak asasi. Lalu timbul kata-kata seperti “semalam ada pesta arak, lupa pulak nak ajak”, “kami berzina atas kerelaan kami, dalam rumah sendiri, tiada siapa paksa”, “apa salahnya berjudi / lgbt etc, bukannya melanggar hak asasi” atau juga “apa salahnya berikan ruang agama lain berdakwah dalam media utama”.

Hakikatnya, ia tetap dosa dan kesalahan meskipun dalam apa keadaan sekalipun. Sebagaimana dosa ada tingkatannya, begitu juga akibat dan hukuman dosa tersebut, ada tingkatannya yang berbeza. Sebab itu ada hukuman hudud yang berat hukumannya untuk kesalahan yang berat dan terbuka. Ia dikira mencabar peraturan yang Allah tetapkan untuk hamba-Nya. Jika tidak jatuh pada hukuman hudud, ada ta’zir mengikut pihak berkuasa. Jika tidak di dunia, mungkin di akhirat nanti akan kena. Hukuman juga, mungkin bentuk yang setimpal, mungkin juga dalam bentuk yang berbeza seperti kesihatan dan kebahagiaan yang terancam.

Sebab itu kita perlu sedar dan kembali pada asas. Bumi ini Allah yang cipta, begitu juga diri kita, semuanya merupakan milik-Nya, dan Dia telah tetapkan peraturan bagi setiap perkara. Peraturan-Nya, sifatnya membawa kebaikan. Melanggar peraturan-Nya bererti mengundang keburukan. Maka sikap kita adalah menjauhi kesalahan sebagaimana analogi hadis yang mengingatkan agar menjauhi masuk ke sempadan kawasan larangan.

Popular Posts