Thursday 29 January 2015

Geopolitik Malaysia 2015


2015 tahun Malaysia menjadi pemain politik antarabangsa yang penting. Dalam ASEAN, Malaysia dilantik sebagai pengerusi bermula awal tahun ini. Melihatkan track record sejak penubuhan ASEAN, Malaysia mempunyai pencapaian dan strategi yang baik dalam hubungannya sesama negara anggota. Dan ada kalanya, langkah diplomasinya terkehadapan berbanding yang lain. Maklum balas baik yang diberikan Menteri Luar ASEAN semalam merupakan salah satu contoh terdekat yang menunjukkan mereka mengalu-alukan kepimpinan Malaysia kali ini.

Dalam hubungan antarabangsa, Malaysia terkenal sebagai negara yang mengutamakan pendekatan aman dalam menghadapi sesuatu konflik serantau. Dan 2015 akan menyaksikan bagaimana Malaysia terutamanya sebagai pemimpin ASEAN akan kekal teguh dengan pendekatan tersebut dalam keadaan pelbagai konflik berpotensi berlaku, sama ada berbentuk dalaman sesebuah negara anggota atau sesama mereka.

2015 juga menyaksikan Amerika Syarikat (US) akan terlibat dengan kawasan Asia Tenggara lebih dekat. Dalam laporan Preventive Priorities Survey 2015, konflik di Laut China Selatan diletakkan dalam kumpulan satu; dijangkakan pasti berlaku dan memberi kesan besar kepada US. Konflik di sini melibatkan pertelingkahan sempadan antara negara China dengan negara ASEAN (termasuk Malaysia) yang tidak mengetepikan kemungkinan akan berlaku konflik bersenjata untuk merebut kawasan dan kepulaun di situ.

US walaupun tidak terlibat dalam menentukan kawasan sempadan, mempunyai kepentingan dalam bentuk laluan perdagangan dan hubungan rapat dengan negara terlibat seperti Filipina dan Vietnam. Dan mereka sudah pun melobi sokongan dan menunjukkan keinginan untuk terlibat sama  dalam konflik di sini terutamanya memberikan tekanan kepada China. Inilah sebahagian kisah pertembungan kuasa besar dunia hari ini.

Dalam soal TPPA pula, US sedang berusaha keras menekan Malaysia untuk menandatanganinya. Rakyat Malaysia pula giat mengusulkan bantahan agar Malaysia tidak terlibat dengannya agar kepentingan dan peluang rakyat tidak diganggu syarikat luar yang berskala besar. Anak di  buaian jangan sampai dibiarkan kelaparan gara-gara menyusukan beruk di hutan.

MH370 pula masih belum dijumpai dan sudah diisytiharkan sebagai nahas kemalangan. Begitu juga MH17, siasatan masih dijalankan dalam keadaan Malaysia selaku pemilik kapal terbang tidak terlibat dalam jawatankuasa penyiasatan. Dua insiden penerbangan ini menjadikan Malaysia terlibat rapat dengan banyak negara termasuklah kuasa-kuasa besar yang bertembung demi kepentingan masing-masing. Takut nanti gajah sesama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.

Apa pula yang Malaysia perlu buat? Kena pandai bermain tarik tali dengan negara-negara yang berkaitan. Politik kerajaan PM Najib dilihat cemerlang dalam soal hubungan diplomatik bilateral ini. Bipartisan Malaysia terhadap kuasa besar dunia dilihat seimbang. Kemahiran berunding dan memujuknya tinggi. Pun begitu, kerajaan perlu terus didesak agar tidak menggadaikan kepentingan 30 juta rakyatnya dalam berurusan dengan negara luar. Terutamanya agenda Melayu-Islam yang menjadi teras kestabilan negara. Makin kuat soal dalaman ini dicabar, tidak ke mana juga projek antarabangsa kerajaan ini nanti.

Dan kita selaku umat Islam, entah bila akan mula menjadi pengatur peristiwa untuk politik antarabangsa, setelah lama sangat kita berada di posisi dicatur. Sepak terajang yang berlaku sekarang ni perlu diperhatikan, dikumpulkan datanya dan dianalisis, kemudian dirumus untuk menjadi polisi. Moga inilah cita-cita kita, tidak lagi menjadi reaktif, tetapi proaktif beraksi di pentas antarabangsa. Lain nanti rasanya apabila laa takuuna fitnah, wa yakuun diin kulluhu lillah (tiada lagi fitnah terhadap umat Islam, dan agama semuanya menjadi milik Allah)

Monday 26 January 2015

Perangkap (Kelemahan Dialog Bahagian III)


Mereka yang tidak bersetuju dengan pihak pengkhianat tetapi cenderung pada dialog umumnya berjiwa lembut dan berhati jujur. Lebih-lebih lagi pertelingkahan yang berlaku bertahun-tahun sangatlah merunsingkan sedangkan bagi mereka, masyarakat secara umumnya mahukan suasana yang harmoni tanpa pertelingkahan.

Dialog makin menjadi pertimbangan pejuang apabila pengkhianat kerap dan lantang bersuara menyuarakan tuntutan mereka dengan menggunakan semua pengaruh yang ada. Media pula memainkan peranan dengan melaporkan setiap pandangan yang diutarakan, kadang-kadang meletakkan tajuk dan memilih kandungan dengan bias ke arah agenda pihak pengkhianat. Pihak yang berada di sisi mereka diangkat dan dikuatkan suara mereka, walaupun tidak mempunyai kredibiliti. Semuanya agar agenda pihak pengkhianat kelihatan ramai dan mempunyai sokongan kuat.

Lalu di pihak pejuang ada yang sanggup melunakkan sedikit pendirian mereka agar pertembungan idea tidak jelas kelihatan selain menjaga suasana agar tetap harmoni. Masuklah pejuang ke perangkap pengkhianat. Harmoni yang dijaga sebenarnya hanyalah gambaran yang diberikan media pengkhianat, sedangkan masyarakat mahukan agar hak dan perjuangan mereka dipertahankan.

Pengkhianat yang menawarkan dialog secara terbuka pula umumnya boleh disifatkan hanya bersandiwara. Salah faham mereka terhadap Melayu / Islam boleh dijernihkan dengan banyak mengkaji dan merujuk secara individu dengan pakar berbanding mengkontroversikan sesuatu perkara dalam media massa. Apabila wujud kontroversi, mudahlah nanti mereka untuk menawarkan peluang dialog agar dapat kelihatan jujur dan berniat mulia.


Kadang-kadang kita tertanya takkanlah mereka tidak berusaha terlebih dahulu memahami dan menghormati pengamalan agama, hak istimewa bangsa Melayu di negara kita. Dan jika mereka tersalah, paling tidak mereka perlu menarik semula kenyataan dan memohon maaf kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi dengan kedudukan mereka, patutnya mereka memahami budaya setempat. Sepatutnya isu sensitif dibincangkan secara dalaman dan tertutup terlebih dahulu dengan lumat dan matang sebelum dibawa ke masyarakat untuk mengelakkan kontroversi dan ketidakselesaan masyarakat, lalu ditimbangkan salah atau betulnya, perlu atau tidak.

Namun tindakan seperti ini dilihat sepi di pihak mereka.

bersambung

Bahagian I | Bahagian II | Bahagian III

Thursday 22 January 2015

Batasan Dialog (Kelemahan Dialog Bahagian II)


Sharp seterusnya mula mengutarakan pandangannya bahawa dialog merupakan alat yang sangat berguna dalam menyelesaikan konflik tertentu. Ia juga tidak patut diabaikan ketika suasana memerlukan seperti konflik yang tidak melibatkan prinsip utama. Ketika itu kompromi merupakan jalan terbaik menyelesaikan konflik. Contoh terbaik bagi keadaan seperti ini ialah rusuhan melibatkan gaji pekerja. Namun situasi menjadi berbeza apabila melibatkan pertembungan antara pengkhianat dalam sesebuah negara dengan pejuang yang mempertahankannya.

Bagi Sharp, contoh prinsip utama yang tidak patut dirundingkan atau dikompromi termasuklah hal berkaitan agama, kebebasan manusia dan pembangunan masyarakat pada masa hadapan selain beberapa isu asas lain. Prinsip / asas utama ini hanya sesuai dipertahankan dengan kuasa yang dimiliki. Isunya bukanlah dialog atau rundingan tidak perlu diadakan, namun ia menjadi tidak relevan apabila berhadapan dengan pengkhianat yang licik dan pandai berhelah sementara pejuang pula dalam keadaan yang naif atau tidak bersedia.

Ada beberapa perkara menarik di sini. Pertama, selain menjunjung kebebasan manusia dan nasib masa hadapan masyarakat, Sharp turut memahami kedudukan penting agama dalam sesebuah masyarakat yang mampu membangkitkan semangat juang sesebuah masyarakat untuk mempertahankan kepercayaan mereka. Mungkin kerana agama berkait rapat dengan kehidupan seharian seseorang dan ia diamalkan oleh semua lapisan masyarakat, maka kepentingan dan kedudukannya senang untuk disedari. Berkompromi terhadap isu ini pula akan menimbulkan rasa tidak selesa dalam masyarakat. Sharp boleh memahami, mustahil kita tidak. 

Malang sekiranya pejuang sanggup mengorbankan perkara berkaitan agama untuk dilihat lunak dalam menghadapi sesebuah konflik. Isu Kalimah Allah yang mahu direbut pihak gereja melalui kuasa mahkamah merupakan contoh yang menampakkan perbincangan tidak lagi menjadi medium untuk menyelesaikan konflik. Tindakan mahkamah perlu dilawan dengan tindakan mahkamah. Begitu juga dalam tuntutan COMANGO terhadap pengamalan dan penguatkuasaan agama dalam masyarakat. Berdialog tidak berguna lagi dengan mereka yang sudahpun menyediakan laporan dan aduan untuk dilobi semasa sesi semakan hak asasi manusia antarabangsa di PBB.

Kedua, kebangkitan masyarakat dapat dilihat apabila perkara berkaitan agama mereka dicabar. Masyarakat majoriti yang sebelum ini senyap bangkit berhimpun di mahkamah sehingga mendapat perhatian hakim. 740 000 tandatangan rakyat awam juga memberikan signal jelas permintaan COMANGO tidak perlu untuk wujud di negara ini. Tamatnya kedua-dua sketsa ini diharapkan memberi pengajaran kepada kerajaan bahawa mereka perlu bertindak dengan berani dan tanpa ragu-ragu mengekang agenda pengkhianatan kepada negara kerana rakyat negara berdiri teguh bersama mereka. Lebih-lebih lagi wujud sesetengah pengkhianat yang menganggap peperangan mereka masih belum selesai dan berdegil mahu tetap bertindak berlawanan dengan keputusan mahkamah.

Ketiga, pihak pejuang perlu memastikan mereka mempunyai kuasa dominasi dalam majlis dialog dengan pengkhianat. Tidak cukup dengan hanya membaca doa ketika majlis atau mengurus teknikal penganjuran atau berucap dalam satu slot sahaja sedangkan 90% slot yang lain menjadi tempat pengkhianat menyebar dakyah mereka. Dialog pula tidak wajar hanya menjadi sesi berkenalan agenda antara kedua-dua belah pihak, sebaliknya patut menjadi medan pejuang mengalahkan hujah-hujah golongan pengkhianat dan membuktikan apa yang mereka perjuangkan itulah yang terbaik.

Sebab itu wajar sahaja pihak pejuang menarik diri daripada berdebat seandainya mereka tidak bersedia untuk berdebat golongan pengkhianat. Kekuatan perlu dibina terlebih dahulu. Ini tidaklah menghalang pejuang menggunakan kuasa untuk mengekang kejahatan pengkhianat buat sementara waktu. Setidak-tidaknya, agenda jahat mereka dapat dicegah.

Tambah Sharp seterusnya, dialog hanyalah umpan ketika golongan tersebut (pengkhianat) dalam keadaan lemah. Namun apabila mereka berasa selamat dengan kedudukan yang mereka ada, mereka akan menutup pintu dialog dengan pihak pejuang.

Lihat sahaja kes COMANGO dan Kalimah Allah, cabaran tersebut dilakukan tanpa berdialog terlebih dahulu dengan pihak pejuang, kerajaan atau masyarakat awam. Wujud sahaja peluang menghakis pengamalan Islam, pantas golongan pengkhianat ini mengambil kesempatan. Jika mereka merasakan boleh menang, mereka akan mengetepikan dialog. Namun ketika mereka lemah, mereka bersuara seolah-olah hak bersuara pula yang diketepikan. Inilah "permainan mangsa” yang dimainkan mereka dengan licik sehingga golongan pejuang pun boleh terpedaya dan terikut-ikut dengan rentak mereka.

bersambung

Bahagian I | Bahagian II

Monday 19 January 2015

Kelemahan Dialog (Bahagian I)

Sesiapa antara kamu yang melihat sesuatu kemunkaran, maka cegahlah dengan tangannya (kuasa). Jika dia tidak mampu, maka cegahlah dengan lisannya (dialog atau perundingan). Jika dia tidak mampu juga, maka cegahlah dengan hatinya (rasa benci). Dan itulah keimanan yang paling lemah. [HR Muslim]


Gene Sharp (2002) dalam buku From Dictatorship to Democracy (Mengubah Kuku Besi Menjadi Demokrasi) ada menulis satu bab bertajuk The Dangers of Negotiations (Bahaya Berunding). Saya rasa elok bab ini diulas ketika ada antara kita mengagungkan pendekatan berunding atau dialog dalam menghadapi konflik seolah-olah itulah kunci penyelesaian utama yang akan membawa suasana harmoni.

Saya cuba membandingkan kandungan buku tersebut dengan situasi hari ini memandangkan kedua-duanya melibatkan pergelutan dalam menentukan siapa dan agenda (ideologi) apa yang akan mendominasi sesebuah negara. Walaupun buku tersebut membayangkan keganasan pemerintah yang sanggup membunuh rakyatnya, ia tidak patut melarikan perhatian kita dari objektif utama Gray dalam menyarankan penggunaan kuasa berbanding berunding atau berdialog untuk memenangkan ideologi yang diperjuang.

Untuk memudahkan pemahaman pembaca, saya menyamakan pihak demokrat dalam buku tersebut dengan mereka yang mempertahankan asas negara kita (perlembagaan, bangsa Melayu, agama Islam dan institusi raja) dan menggelar mereka sebagai pejuang. Hal ini disebabkan kedua-duanya membawa agenda yang perlu dimenangkan selain mereka juga selalu dipujuk dengan tawaran berunding. Diktator kuku besi pula disamakan dengan mereka yang mencabar dan menghakis asas tersebut, dan dipanggil juga di sini sebagai pengkhianat dan penjahat. 
Dalam buku ini, Sharp menegur mereka yang berharap bahawa dengan mengalah, berkompromi dan berunding boleh menyelindung atau menyelamatkan nilai positif yang diperjuangkan untuk dimenangkan di waktu akhir konflik (penyelesaian). Bagi Sharp, golongan tersebut berfikir sedemikian disebabkan ketidakmampuan mereka mencipta pilihan jalan lain dalam menghadapi penentangan tersebut.

Dalam pemikiran golongan ini, pertembungan secara kuasa bukanlah jalan yang harmoni, sementara meredah jalan tersebut bukanlah suatu pilihan. Mereka amat berharap agar kedua-dua belah pihak berfikiran waras dengan mencari jalan berdialog dan berunding untuk merungkai konflik yang berlaku. Golongan pejuang diharapkan mempengaruhi pihak pengkhianat dan menyakinkan mereka agar mengurangkan tekanan mereka sedikit demi sedikit seterusnya memberikan peluang kepada agenda perbaikan mengambil tempat. 
Ada pepatah mengatakan kebenaran itu tidak semestinya pada satu pihak semata-mata. Maka bagi mereka, pihak pejuang boleh sahaja tersilap dalam memahami golongan pengkhianat, yang mungkin cuba bertindak atau bersuara tanpa ada motif jahat. Atau mungkin pengkhianat akan berhenti menggasak apabila pejuang mengorbankan sedikit apa yang mereka ada. Strategi menang-menang dianggap sesuai kerana memberikan pulangan kepada kedua-dua belah pihak. Risiko dan kesan buruk pertelingkahan akan berkurang jika mereka dengan rela hati menyelesaikan konflik dengan rundingan dialog. Inilah yang patut dipilih menurut kata mereka.

Perkara yang sama juga terjadi di Malaysia. Tindak-tanduk seperti menghina agama Islam di media sosial, mengusulkan penghapusan keistimewaan bangsa Melayu, tidak menghormati institusi raja sering diketepikan sebahagian pejuang (swept under the carpet) atau minta didialogkan. Seolah-olahnya mereka yang melakukannya wajar dibiarkan kerana jahil agama, kurang arif undang-undang perlembagaan dan tidak tahu sejarah serta adat setempat. 

Ia sebenarnya merupakan perkara pelik kerana memberi gambaran bahawa mereka baru menjadi rakyat Malaysia (tidak memahami adat dan asas negara), tidak pernah bersekolah di sini (belajar sejarah) dan tidak pernah bergaul dengan orang Melayu (untuk mempelajari bangsa dan bahasa Melayu). Jahilnya mereka sepatutnya menghindarkan mereka daripada bersuara di khalayak ramai, namun apabila mereka membawa sesuatu isu sensitif ke perbincangan umum, pasti ada mileage sasaran yang mahu mereka capai.

Lebih menambahkan sangsi, tindakan seperti ini dilakukan mereka yang berjawatan dalam sesebuah organisasi, berlaku berulang kali atau dibuat secara terbuka. Lihat kes seperti
  • penderhakaan komponen Pakatan Rakyat terhadap permintaan Sultan Selangor
  • cadangan ahli parlimen PKR supaya menghapuskan budi bicara sultan
  • mengatakan titah Agong tidak terpakai kepada bukan Islam
  • tuduhan jahat Eric Paulsen terhadap kandungan khutbah
  • mengaitkan Islam dengan ekstremisme di media massa
  • Namewee menghina lagu Negaraku
  • niat menghapuskan keistimewaan bumiputera dalam web DAP
  • tuntutan Tony Pua DAP menghapuskan diskaun bumiputera dalam pemilikan rumah
  • tetap degil mahu menggunakan kalimah Allah sebagai Tuhan walaupun Mahkamah Persekutuan berkata sebaliknya
  • tuntutan hak asasi melamau oleh COMANGO
Semua ini menggambarkan adanya agenda tersusun untuk mencabar dan menghakis identiti negara agar menjadi republik, negara tanpa agama dan sejarah.

bersambung

Thursday 15 January 2015

Dialog Lagi


Dialog dan Karangan Sekolah
Belajar di sekolah kecil dulu, apabila diminta buat karangan dialog, situasi yang diberikan semuanya harmoni. Hari ini dah berbeza. Suasana harmoni negara kita sebenarnya makin hilang, asas negara Malaysia ini (Islam, Melayu, Raja) dicabar hari ke hari. Peliknya ada juga permintaan dialog untuk keadaan seperti ini.

Kalau minta murid sekolah buatkan dialog dalam situasi ini, pasti mereka pun pening. Jiran anda mencuri motosikal dalam pagar rumah anda, tuliskan dialog anda bersama dengannya tidak kurang 180 patah perkataan. Fitrah bersih mereka pun mesti hairan, soalan itu pun dah tak kena. Bukan dialog sepatutnya yang ditulis, sepatutnya format laporan polis, ataupun karangan keperihalan tindakan polis terhadap jiran tersebut.

Dialog dan Kuasa
Ada saranan agung Rasul saw untuk kita yang terjumpa kesalahan. Gunakan tangan / kuasa yang ada terlebih dahulu. Kalau tak mampu dengan lidah berdialog berhujah. Kalau tak mampu juga benci dengan hati, itu selemah-lemah iman. Ketidakmampuan dengan itu rupanya mendekatkan kepada keadaan iman yang lemah.

Orang pandai-pandai ni biasanya suka berdialog / berhujah. Mungkin sebab dia kuasai tajuk dialog tersebut atau mungkin juga dia pandai bercakap, dia rasa itulah kunci penyelesaian semua masalah. Dia rasa dengan berdialog, hujah tertegak, pencuri, penagih dadah, perasuah semuanya akan insaf lalu aman dunia. Tidak juga. Entah siapa-siapa yang bagi formula tersebut. Mungkin dia lupa masukkan bahagian awal saranan tersebut

Seronok ajak dialog sana sini, takut nanti terlupa apa objektif sebenarnya; mencegah dan mengubah kesalahan / kemunkaran tersebut. Paling tidak, kalau dah masukkan pencuri dalam penjara, terkurunglah dia tidak mencuri lagi. Kalau berdialog dengan dia waktu pagi, waktu malam nanti dia pergi mencuri. Siap boleh tweet bagitau dan ajak ramai-ramai mencuri lagi.

Monday 12 January 2015

Perluasan Sempadan China di Laut China Selatan

Agenda Barat dan Suara Setempat

Untuk menyebarkan ideologi luar ke dalam sesebuah negara, pendekatan berurusan secara terus (direct / head-to-head) merupakan langkah yang tidak efektif. US memahami perkara ini. Lihat bagaimana laporan 2007 RAND, “Building Moderate Muslim Network” dalam usaha mereka merosakkan fahaman Islam sebenar dan mengangkat tokoh yang mesra fahaman barat dan liberalisme dengan menggunakan tenaga setempat. Mereka terlibat di belakang tirai dengan manyalurkan dana kepada organisasi dalam negara tersebut agar dapat memberikan pulangan kepada agenda dan kepentingan mereka.

Organisasi didanai NED (National Endowment for Democracy) dari US selain KiniTV Sdn Bhd

Dana seperti ini sudah tentu tidak diberi secara percuma melainkan dengan tugas tertentu seperti bersuara atau mencari dan menguatkan suara yang selari dengan agenda mereka. Walaupun nanti akan dilabel probarat atau diperkuda agenda asing, rasa malu perlu diketepikan. Agenda mempromosikan nilai barat lebih perlu diutamakan berbanding imej organisasi yang nanti akan diburukkan.

Lalu beroperasilah organisasi seperti ini dengan (1) mengutarakan pandangan yang selari dengan agenda liberal demokrasi barat, (2) dikuatkan dengan media yang juga mesra mereka, (3) lalu menyelinaplah fahaman asing ini ke dalam masyarakat Malaysia, (4) terus disambut segelintir rakyat yang nipis tapisan fahaman Islam dan budaya setempat, dan (5) media melaporkan sambutan terhadap pandangan tersebut. Cukup satu kitaran untuk diulang dan ditambah perisanya. Tidak cukup dengan itu, definisi “moderate”, “fundamantal”, “extremist” yang diberikan oleh Barat diimport masuk, lalu peninglah masyarakat. Golongan yang dahulunya membawa fahaman aneh, kini dilabel sederhana, manakala pihak berkuasa agama yang menjadi rujukan sekian lama, dipaparkan sebagai berfahaman ekstremis.

Cara ini terbukti hari ini. US yang mempunyai tentera ramai, peralatan canggih, teknologi maju tak perlukan perkara sedemikian untuk menyebar pengaruh liberal demokrasi barat mereka dalam negara ini. Ada aset yang lebih berkesan dan halus daripada itu. Cubalah cari dalam media seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Malay Mail atau persatuan seperti IRF, SIS (Sisters in Islam), Lawyers in Liberty mahupun 25 Melayu.

Thursday 8 January 2015

Katak bawah Tempurung Liberal

Katak bawah tempurung, tertinggal kereta api. Dua-duanya bawa maksud ketinggalan zaman dan tak update info semasa terkini. Zaman teknologi maju macam sekarang ini pun masih ada orang seperti ini. Orang sebegini ada dua kategori; yang tak disengajakan (mangsa keadaan) dan sengaja (ignorant, beragenda jahat).

Contohnya waktu banjir, keluar artikel “Where were they during the floods?” di Malaysian Insider, mempersoalkan organisasi Islam - Melayu yang langsung tidak kelihatan menolong mangsa di sana. Sesuailah pepatah katak untuk penulis sebegini, juga media yang menyiarkannya. Artikel yang sama juga menonjolkan kepada pembaca mengenai bantuan bangsa Cina yang banyak, seolah-olahnya mereka penyumbang utama. Lalu mereka yang berpada dengan media beragenda jahat untuk disuap mengenai keadaan semasa, akhirnya akan diperdaya mudah lalu mempercayai propaganda mereka.

Pesan saya, nak cari perkara baik mengenai organisasi Islam - Melayu, jangan tunggu disuap media seperti ini. Sebaliknya cari sumber asal daripada organisasi tersebut. Orang yang bijak, mereka cuba mencari sisi positif - negatif sesuatu perkara lalu ditimbangkannya dengan baik. Kalau awal-awal dah pilih maklumat apa nak didengar, maka tak ke mana analisisnya boleh pergi nanti.

Sama juga ketika terima sesuatu berita kontroversi, telitikan juga siri peristiwa yang mengiringi perkara tersebut. Contoh mudah, David menceroboh rumah Abu mencuri barang berharga lalu Abu memukulnya, tetapi media hanya melaporkan Abu memukul David. Sudah pasti berita tersebut tidak adil, begitu juga analisis berdasarkannya. Dan inilah yang terjadi negara kita ketika hak Islam - Melayu diceroboh di negara kita. Media hanya highlight bantahan dan amaran keras gerakan Islam serta memaparkan mereka sebagai rasis dan ekstremis tanpa melaporkan provokasi dan tindakan jahat yang dilakukan sebelumnya lagi.

Kalau dua pesanan ini tidak diambil, makin ramailah katak di bawah tempurung liberal di sekeliling kita nanti. Dunia mereka akan hanya berlegar dalam suapan agenda media jahat. Baik dikatakkan, mahupun diliberalkan, kedua-duanya sangatlah menyedihkan.

Monday 5 January 2015

Maulidur Rasul, Rahmat ke Suluruh Alam


Sambutan tahun ni dalam mood banjir seluruh Malaysia. Wajar pada setiap tahun kita diingatkan secara khusus pada peribadi dan perjuangan baginda saw yang membawa dan mewariskan mesej Islam hingga hari ini. Lebih-lebih lagi bila dalam keadaan musibah ini ramai juga yang mengabaikan hubungan mereka dengan Allah disebabkan kesulitan mereka. Kata khutbah Jumaat lepas, lihat di pusat penempatan mangsa banjir, berapa ramai yang datang bersolat jemaah di surau, kalau ditolak bilangan sukarelawannya.

Maulidur Rasul tahun ini, sayangnya retorik rahmatan lil alamin (sebagai rahmat ke seluruh alam) dimainkan sekali lagi. Kasihan juga pada golongan yang “gagal" melihat Rasulullah lebih daripada lemah lembut baginda sehingga terlupa ada masanya baginda pernah marah, jatuhkan hukuman dan berperang juga. Tak sempurna manusia kalau tidak mempunyai sisi berani, tegas dan berprinsip pada peribadinya. Maka begitu juga baginda saw.

Ada beberapa soalan mudah untuk mereka yang "gagal" ini. Kalau orang ceroboh rumah kita, rampas hak kita, adakah wajar kita berdiam sahaja. Atau sekadar nasihat? Adakah dikira eksremis jika kita bersungguh-sungguh melawan penceroboh tersebut. Adakah yang menasihat dalam diam ketika rompakan tersebut berlaku dikira “moderate” kerana mengelak konflik daripada berlaku. Sebenarnya itulah yang berlaku di negara kita kalau kita teliti memerhatikan tindak-tanduk politik dan gerak kerja sosial golongan bukan Islam dan mereka yang kononnya moderate di negara kita.

Tahun ini, harapnya masyarakat umum kita mula belajar mengenali dan memahami
  • apa maksud sebenar rahmatan lil alamin, tak cukup dengan terjemah dan anggap mudah sahaja. Baca: Ustaz Hazizi, Membetulkan silap faham pejuang liberal Melayu terhadap konsep ‘Rahmatan lil Alamin’
  • konsep jihad dalam Islam, bagaimana keadaannya, apa mewajibkannya, di mana batasannya. Baca: Sayyid Qutb, Petunjuk Sepanjang Jalan
  • tak tertipu dengan label ekstremis / moderate diberikan kepada orang Islam. Entah yang melabelnya tidak memahami konsep-konsep dalam Islam.
Moga maulidur rasul kali ini menggerakkan kita memahami perjuangan baginda secara keseluruhannya. Perpaduan Nadi Transformasi Negara.

Thursday 1 January 2015

The Tribe have Spoken



2014 baru sahaja berlalu. Seronok juga baca komentar golongan yang kononnya "moderate" memberikan rumusan peristiwa tahun lepas. Kumpulan Islam-Melayu seperti ISMA pasti di"highlight" kerana lantang menyuarakan pandangan mereka. Seolah-olahnya yang moderate ini rasa terancam agenda jahat mereka dalam negara ini dinampakkan dan ditentang.

Gaya yang selalu mereka gunakan untuk melekehkan (intimidate) kumpulan Islam-Melayu ialah "bilangan mereka sedikit", "majoriti rakyat yang diam sebenarnya tidak bersama mereka", "mereka tidak mewakili suara akar umbi rakyat Malaysia".

Tertanya juga kita, berapa ramai pula mereka ada? Antara taktik mereka
  • gelarkan diri 25 Melayu, kemudian hilang seorang, tambah seorang, tambah 11. Entah lepas ni tinggal sorang. Melayu, tapi tak endah perkara mengancam Melayu
  • wujudkan gabungan NGO yang banyak, tapi entah berapa ramai ahli dalamnya. Ada juga yang tidak berdaftar.
Namun, setakat 25 orang, atau 36 mahupun 100 orang sekalipun, masih tak boleh lawan 740 000 suara akar umbi rakyat Malaysia yang menolak gabungan liberal COMANGO dan agenda yang mereka bawa. "The tribe have spoken. It's time for you to go."

Labels