Tuesday 29 December 2015

Fokus: Artikel-artikel Pilihan Sepanjang Tahun 2015


Berikut adalah artikel-artikel pilihan Focus sepanjang tahun 2015 ini yang mendapat rating tertinggi daripada pembaca.

4. Perluasan Sempadan China di Laut China Selatan
Artikel mengenai perluasan sempadan China di Laut China selatan, ditulis oleh saudara Faqih Aqili yang juga merupakan pelajar PHD di University of Manchester. Dalam artikel ini beliau menceritakan perancangan China untuk menguasai Laut China Selatan secara ringkas. Anda boleh membacanya di sini. Jika anda ingin membaca analisis, dan perkembangan berita terbaru mengenai isu ini, anda boleh teruskan setia bersama FOCUS.

Web: Fokus.my

Tuesday 1 December 2015

Menapak Semula

Menapak semula di tempat lama untuk perjalanan yang baru. Moga Dia bekalkan ketabahan dan keberkatan dalam menuntut ilmu di sini. Bismillah.


Friday 11 September 2015

Berikan Kebaikan kepada Kami

Wahai Tuhan kami, berikan kebaikan kepada kami di dunia, juga kebaikan di akhirat, dan jauhkan kami daripada azab neraka | ربّنا آتنا في الدّنيا حسنة وفي الأخرة حسنة وقنا عذاب النّار














Tuesday 8 September 2015

Pengumuman Perkahwinan


Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani | بسم الله الرحمن الرحيم
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Jemputan Majlis Perkahwinan Faqih Ahmad Shuhaili dan Zahra' bt Zainurrashid

Dengan penuh syukur dan hormat kami menjemput anda semua ke majlis perkahwinan ini nanti.

Sabtu 19 Sept 2015 (11:30 AM - 3:30 PM)
Perkarangan Surau An Nur Fasa 1D Seri Manjung, Perak
GPS: 4.1984, 100.6749 (http://goo.gl/maps/7rbrL)




--



--
Manusia mengetahui perasaan mereka terhadap jantina yang berbeza. Hubungan antara lelaki perempuan itu membuatkan saraf dan perasaan mereka bergerak. Perasaan yang berbeza bentuk dan arah antara lelaki dan perempuan itu menggerakkan langkahnya dan mendorong aktivitinya.  
Namun sedikit sekali mereka mengingat tangan kekuasaan Allah yang telah menciptakan pasangan mereka untuk mereka daripada diri mereka itu, dan menganugerahkan perasaan dan rasa cinta itu dalam jiwa mereka. 
Juga menjadikan dalam hubungan itu rasa ketenangan bagi jiwa dan sarafnya, rasa tenang bagi tubuh dan hatinya, memberikan kedamaian bagi kehidupan dan penghidupannya, penghibur bagi ruh dan hatinya serta membuat bahagia lelaki dan wanita. 
Sehingga mereka memahami hikmah Sang Pencipta dalam menjadikan dua pasangan tersebut dalam bentuk yang sesuai bagi satu sama lain. Untuk memenuhi keperluan fitrahnya; hati jiwa, daya fikir dan fizikal. Sehingga mereka mendapat rasa tenang, damai dan tenteram padanya. Kedua-duanya mendapati rasa tenang dan saling melengkapi dalam pertemuan mereka, juga cinta dan kasih sayang. Kerana susunan jiwa, saraf dan fizikal bersifat saling memenuhi keperluan masing-masing terhadap pasangannya. 
Lalu kesatuan serta pertemuan kedua-dua mereka pada akhirnya adalah untuk memulakan kehidupan baru yang tercermin melalui generasi baru. 
Sayyid Qutb, Fi Zilal alQuran, Surah arRuum

Mohon doakan dan berikan nasihat agar rumah tangga yang bakal dibina ini dilimpahi keberkatan, ketenangan dan kasih sayang serta berkekalan hingga ke syurga. 

Terima kasih, wassalam.


Thursday 3 September 2015

Selalukah Percaturan Islamis Menang?

"Nak solat, silakan. Nak laksana syariat, jangan."
Apabila kita order makanan di kedai, pekedai akan sediakan seperti yang kita minta. Nampak seperti makanan itu disediakan disebabkan kita, tetapi sebenarnya ia turut disediakan kerana pekedai itu mahukan keuntungan melalui perniagaan makanan tersebut.

Kita mungkin untung sedikit datang ke kedai tersebut kerana tak perlu masak, tetapi yang untung banyak ialah pekedai tersebut kerana menjual makanan bukan hanya untuk kita, tetapi orang lain yang lebih ramai.

Pekedai juga, bukan sedikit yang tujuan asalnya membuka kedai untuk memberi orang makan, tetapi motivasi utama membuka kedai ialah keuntungan melalui perniagaan makanan yang dilakukannya.

Ini konsep biasa dalam perhubungan seharian kita. Menang-menang. Ada yang menang besar. Ada yang menang kecil.

Dalam berhubung dengan mereka yang menentang Islam, ada kalanya kelihatan mereka memberi keuntungan kepada islamis. Pertolongan dan budi mereka yang sedikit kadang-kadang dijaja meluas seolah-olah mereka telah berjinak hati dengan Islam.

Padahal rupanya itu hanya sebahagian daripada konsep menang-menang tadi. Boleh jadi mereka untung lebih besar daripada kita. Mereka lebih bijak berpolitik. Bilangan mereka lebih kuat dan berpengaruh. Bacaan mereka lebih terkehadapan. Strategi mereka mahu merampas perkara lebih besar daripada apa yang kita dapat.

Lalu kalahlah percaturan islamis ini, hanya menjadi budak suruhan. Mungkin kerana tidak jelas dengan agenda sendiri. Atau disebabkan mengecilkan agenda jahat pihak lawan. Kalau dah sedar, alhamdulillah, walaupun sudah bersama beberapa siri. Untuk yang belum, fikir-fikirkan.

Win the war, not only the battle.

Tuesday 1 September 2015

Demo Bagaimana Terkawal? LGBT Angkat Bendera?


Demonstrasi yang dianjurkan bertujuan menarik masyarakat ramai agar turut bersama dengan agenda penganjur. Apabila ramai yang datang, kebiasaannya kawalan akan menjadi longgar melainkan ada langkah berjaga-jaga daripada penganjur.

Demo yang baik akan mengalukan sesiapa pun datang. Daripada sesoleh ahli hinggalah kepada simpatisan yang bergelumang dengan dosa, namun tertarik dengan demonstrasi. Dengan cara begini, ia sedikit sebanyak merupakan dakwah dalam bentuk massa kepada masyarakat serta mengalu-alukan penyertaan mereka bersama agenda Islami.

Mereka yang baik akan memimpin perjalanan dan suasana tersebut. Apabila wujud unsur luar yang cuba menonjolkan agenda asing, ia segera ditahan dan diberikan amaran. Orang beriman akan cemburu melihat bendera kebatilan cuba bersaing dengan bendera kebenaran. Dia pasti tidak membiarkan kebatilan bangkit, walaupun sedikit.

Demo yang tidak terkawal akan membiarkan sesiapa sahaja untuk merampas perjalanan dan suasana. Gambar pemimpin syiah diangkat, slogan berbentuk cacian dan kutukan banyak, tindakan provokasi mudah keluar, panji nafsu seperti LGBT boleh berkibar.

Ada beza antara turut sama berdemo dengan angkat sepanduk ketika berdemo. Seorang mengikut agenda penganjur, ini bagus, berjayalah objektif penganjuran. Seorang lagi cuba merampas suasana yang mahu dibentuk penganjur, dan dia mampu membina dan membentuk pengaruh batil di situ.

Asalnya berdemo untuk sebab yang baik, kini menjadi tapak sebaran kebatilan tanpa segan silu.

Dalam Islam pun kan ada belajar antara dosa tersembunyi dan dosa terang-terangan. Mengapa hudud dihukum keras dan kekal, manakala dosa lain ada yang ringan, ada yang dilepaskan hukuman.

Monday 31 August 2015

Apa Erti Kemerdekaan?


Seringkali kita tidak mempunyai pilihan dalam menentukan masa depan kita. Tragis jika hanya ada satu perkara yang terpaksa menjadi pilihan. 

Lebih menyilaukan apabila ada dua pilihan, namun kedua-duanya merugikan. Hati ajak menipu diri sendiri bahawa salah satu antaranya merupakan yang paling sedikit mudaratnya. Namun ini tak dapat keluar daripada hakikat bahawa kedua-duanya membawa mudarat.

Pilih satu blok, tak peduli dengan pemerkasaan syariat. Nak satu blok lagi, giat membawa arus liberalisme.

Atau ketika Islam mahu muncul di Tanah Arab suatu ketika dahulu. Satu blok bersama Parsi, satu lagi bersama Romawi. Dwisistem ini langsung tidak menguntungkan. Pilihan baru berasas wahyu perlu dibangunkan.

Merdeka adalah ketika salah satu pilihan yang ada ialah Islam. Ia tidak terkongkong dengan kebatilan yang wujud dalam pelbagai jelmaan. Islam dinyala dan didakwahkan, sehingga ia menjadi pilihan yang bersaing dengan pilihan sedia ada.

Jihad berfungsi menghilangkan penghalang kepada kewujudannya. Ia tidak memaksa. Lalu orang yang jernih hatinya akan menjadikan Islam sebagai pilihannya. Dia yakin dengan pilihannya, bersungguh menyebarkannya dan tidak reda cahaya Islam itu cuba dipadamkan.

Friday 28 August 2015

Melaka Mengajar Erti Merdeka

Gambaran Kota Melaka bertahan melawan Portugis

Musim kemerdekaan ini elok kita ambil pengajaran daripada sejarah panjang negara kita. 1511 Melaka mula hilang kedaulatannya apabila dijajah British.

Mereka yang bijak patut berfikir atas sebab apa hilangnya tanah air berharga ini. Mereka yang berfikir ideal bahawa dunia ini tiada permusuhan dan pertembungan tidak akan mudah mendapat jawapan. Mereka yang memerhati akan melihat bahawa ini tidak lain tidak bukan merupakan hasil pertembungan agenda antara Islam dengan bukan Islam.

Portugis tidak datang untuk perdagangan dan rempah semata-mata. Bukan bunga cengkih, tongkat ali yang mereka cari. Dengan cuaca dan persekitaran berbeza di negara sana, mereka dah ada rempah sendiri.

Rekod sejarah memberikan jawapan. Surat dari pembesar dan raja mereka jelas menyebut tentang proses kristianisasi. Tindakan mereka membongkar nisan dan binaan Islam di Melaka untuk dijadikan kota menambah lagi bukti. Bahawa kaum yang tidak menyiapkan diri dalam menghadapi pertembungan agenda akan berada dalam kehinaan.

Tuesday 25 August 2015

Bukan Material Semata-mata


Banyak perkara yang nilainya tak perlu dilihat pada sisi material sahaja. Hakikatnya dalam menilai sesuatu, ada unsur bukan material yang kita tak nampak, namun menyumbang utama dalam ketenangan hidup kita.

Dalam kesempitan ekonomi, ramai mencari jalan untuk menambah pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan walaupun terpaksa menipu / korup sedikit dalam pekerjaan seharian. Namun tipu daya itu sedikit sebanyak akan menghilangkan keberkatan dalam rezeki yang diperolehi. Di hujungnya, ternyata dengan menipu tersebut secara keseluruhannya merugikan diri sendiri semula.

Dalam berinfaq, belanja (payung?) dan hadiah sehar-hari, yang dipandang bukan duit yang keluar, tetapi pahala dan ganjaran bukan material yang lebih besar. Begitu juga apabila nak berwalimah satu hari, belanjanya boleh menelan ribuan ringgit. Mungkin terasa rugi mengeluarkan duit banyak, namun jika dipandang dari aspek kesyukuran, meraikan tetamu, menjamu orang lain makan lebih-lebih lagi orang yang soleh dan kurang bernasib baik, pasti akan mendatangkan ganjaran yang Allah telah janji.

Hidup menggerakkan Islam, ada masa perlu rapi bermesyuarat, belanja ke program, penat ke sana-sini, memang terasa penatnya. Lebih-lebih lagi, hasilnya bukan dikutip hari ini. Tetapi kalau betul ukuran minda, bahawa inilah cara terbaik menyedikan ummah yang teguh dan berkualiti, ramai yang sanggup mengorbankan masa, tenaga dan harta atas jalan ini.

Sebab itu tak hairanlah apabila orang kata, kalau material sahaja yang dirisaukan setiap masa, memang tension dan hari-hari sakit kepala.

Saturday 22 August 2015

Jangan Cari Gaduh


Senario I
Bayi yang merengek menjerit-jerit di tengah orang ramai, ibu bapanya akan cuba cari apa yang dia mahu untuk berikan, supaya tangisan berhenti. Tak ada orang yang buat tak peduli dengan keadaan seperti itu, mesti dicari jalan walaupun memujuknya kelihatan pelik. Apatah lagi cuba beri pengajaran kepada bayi supaya jangan berkelakuan sebegitu di tempat awam. Strict atau tegas tak bertempat.

Senario II
Pengganas atau penculik yang mempunyai tebusan juga ada sedikit persamaan. Berunding pada waktu itu perlukan kita penuhi permintaan mereka. Wajar kerana mereka mengawal suasana ketika itu. Pandai berunding, mungkin kita pula yang mengawal suasana dalam keadaan mereka tidak sedar. Ringkasnya, elakkan berkonfrontasi, boleh makan diri.

Perkaitan dengan Konflik Pertembungan Agenda di Malaysia (Islam vs Bukan Islam)
Senario pertama berhadapan dengan orang yang kita sayangi atau masih tidak mengerti. Memang kita akan hindari berkonflik dengan mereka. Tidak berbaloi. Sesuai diadaptasi apabila berhadapan orang Islam yang membawa agenda bukan Islam.

Keadaan jahil ini mewajarkan lebih banyak penerangan digunakan berbanding menghentam dan bertegas dengan diri mereka. Kalau perlu tak buat apa, biarkan saja. Tetapi apabila agendanya mendapat perhatian orang ramai, keadaan menjadi kurang selesa. Kesulitan berhubung dengan mereka ini amatlah dikesali.

Situasi kedua pula sesuai dianalogikan apabila yang mengawal suasana ialah bukan Islam. Contohnya dalam keadaan umat Islam merupakan minoriti dan tidak memegang tampuk pemerintahan. Jalan konflik yang diambil hanya akan merugikan masyarakat Islam. Ia sesuai walaupun dalam keadaan praktis agama dan syiar agama tidak dapat sepenuhnya ditonjolkan. Ini yang kita perhatikan melalui perkongsian daripada tokoh Islam dari negara tersebut mengenai gerakan mereka di sana.

Namun kedua-dua jenis pendekatan ini tidak sesuai diamalkan di Malaysia. Malaysia dalam keadaan masyarakat majmuknya masih menyaksikan Islam menjadi agama majoriti dan memegang tampuk pemerintahan. Perlembagaan yang menjadi undang-undang teratas negara juga meletakkan Islam sebagai agama persekutuan. Undang-undang agama wujud dengan institusi kesultanan menaungi institusi agama. Ia memerlukan kita keluar daripada tersempit memandang konflik melalui dua senario ini.

Tuesday 18 August 2015

Merdeka Tidak Kenal Sejarah


Sempena bulan kemerdekaan ini, eloklah kita segarkan semula pengetahuan kita terhadap sejarah tanah air ini. Hanya warga yang kenal siapa dirinya akan berbangga, berjuang dan menentukan hala tuju agenda negaranya. Bercakap tentang Malaysia, tidak lain ia merupakan agenda survival agama Islam dan bangsa Melayu sebagai umat majoriti dan pemain utama politik.

Budaya hari ini menyebabkan kita memberikan reaksi hanya kepada isu. Berlaku sesuatu isu dalam negara, keluarlah komen-komen reaktif. Bukan lagi mencipta dan menentukan hala tuju. Salah satu puncanya adalah kerana tidak tahu agenda apa yang mahu dibawa. Tidak ada apa diingat dan terkesan jika sikap ini terus diamalkan, melainkan lawak jenaka dan troll politik masa ini.

Ia tidak akan berlaku jika kita sedar siapa diri kita. Sejarah yang perlu pelajari bukan bermula ketika kita mula kenal apa itu internet, bukan juga ketika era kemerdekaan 1957, tetapi jauh lebih awal lagi. Rantau luas ini dikenali sebagai archipelago Melayu, antara tempat sejarah awal manusia bermula. Kita pernah membina empayar luas Kesultanan Melayu Melaka, bahkan sebahagian daripada keluarga besar tamadun Islam yang menguasai dua per tiga dunia.

Ramai hari ini lantang melaungkan kesamarataan dan demokrasi sebenarnya tidak tahu asas sejarah negara kita. Seolah-olah sejarah sebelum merdeka mahu digelapkan. Yang tidak fasih berbahasa Melayu pun ada berani menentukan hala tuju negara ini, sebab bangga dengan budaya luar dan tidak mahu bercampur untuk berbahasa Melayu. Takkan kita mahu menunggu kerosakan mendatang apabila urusan umat ini diserahkan kepada yang bukan ahlinya.

Ambillah dua tiga jam untuk mula membaca atau mendengar sejarah negara kita. Identiti asas terlebih dahulu. Antara yang sesuai ialah kajian ilmiah bertajuk “The Colour of Inequality”, himpunan dokumen bertajuk “Kontrak Sosial” oleh ITBM. Nak mudah, beli semula buku teks sejarah sekolah menengah.

Thursday 13 August 2015

Empat #TipsMasukU


1. Cari kawan yang baik. Yang boleh kejar cita sama-sama. Supaya tak terpengaruh dengan budaya pelik. Nanti habis masa duit couple sana sini, main game dan layan movie sampai bengkak mata. Ingat pesan dalam surah alAsr, semua orang rugi kecuali yang beriman, amal soleh, pesan dengan kebaikan dan pesan dengan kesabaran.

2. Ingat pendidikan ni cara untuk bangunkan nasib diri dan keluarga. Nanti senang dapat kerja, kewangan stabil, senang masa depan. Banding sikit dengan kaum lain yang dah terkehadapan. Cuma rileks sikit masa belajar, jangan stress memanjang pulak.

3. Ingat usia ketika ini adalah yang paling berharga, menggambarkan keseluruhan hidup kita. Banyakkan berbakti kepada orang lain. Ini pintu untuk ke hati mereka. Hidup ini sangat berharga, jangan dibazirkan dengan hal diri sendiri sahaja. Kita pernah ditolong orang ketika susah dahulu, sekarang masa menolong orang lain pula.

4. Dan yang terakhir, hidup secara berkumpulan. Cari persatuan yang aktif dan selalu buat amal kebaikan. PEMBINA salah satunya. Bukan sekadar ada matlamat yang jelas, PEMBINA juga menentang penyakit-penyakit yang melanda mahasiswa hari ini. Hidup perlu ada agenda agar tidak diagendakan orang lain.

Sunday 9 August 2015

Lambat Pick Up


Dalam memahami pertembungan agenda Islam dengan yang lain, perlu ada mindset awal bahawa ia merupakan perkara biasa dan telah dijanjikan akan berterusan berlaku.

Agama Islam memandu kita bahawa musuh utama ialah syaitan. Dia sedaya upaya menggunakan anak Adam agar menyebelahi agendanya agar sesat bersama. Agenda syaitan yang mempertuhankan nafsu diarusperdanakan. Maka sebahagian manusia terikut lalu tersimpang daripada jalan Allah padahal Dia menuntut ketaatan penuh kepada-Nya. Sedar tidak sedar, mereka menjadi tentera-tentera syaitan yang naif, lalu rugi di dunia dan akhirat.

Islam juga menjelaskan ada juga permusuhan kuat daripada golongan manusia iaitulah Yahudi dan Nasrani. Mereka tidak akan reda dengan kaum muslimin sehinggalah orang Islam mengikuti agama mereka. Selama-lamanya Yahudi dan Nasrani berusaha ke arah itu, baik melalui kaedah lembut atau melalui jalan kekerasan.

Tetapi mereka yang cuba sendiri-sendiri untuk membaca pertembungan hari ini akan melupakan asas ini. Lalu ada yang berpendirian agenda Islam tidak perlu berlakunya pertembungan. Juga yang konfius mengapa ada kelompok yang memusuhi mereka. Juga tidak sanggup dan tidak bersedia menghadapi pertembungan kerana tidak memahami mengapa mereka dimusuhi.

Ketinggalanlah mereka dalam perlumbaan pengaruh dan kekuatan ini, lantaran mengetepikan panduan awal daripada alQuran.

Friday 7 August 2015

Buli


Zaman berubah, tingkahlaku manusia juga berubah. Yang jahat, jika tiada panduan wahyu, walaupun perubahan berlaku, tetap berada dalam ruang lingkup kejahatan.

Media sosial yang berkembang pesat memberikan akses kebebasan bersuara kepada orang ramai. Yang dilihat pendiam tidak bersuara rupanya aktif berkata di ruang sana sini dalam dunia maya. Yang jahil boleh bersuara menghina yang alim. Yang muda dan yang tua, sama sahaja taraf di media sosial hingga menghilangkan budaya menghormati dan berkasih sayang antara mereka.

Salah satu gejala berlaku ialah buli siber. Apabila seseorang disyaki melakukan kesalahan, terus dihukum bersalah. Pelbagai post wujud menghina dan troll, tanpa wujud semangat menegur dalam kerangka berpesan-pesan dengan hak dan kesabaran. Tiada lagi adab menegur pemimpin, menegur yang lebih tua, menegur yang lebih berilmu.

Menegur bukan lagi mencari hujah mana yang lebih bertepatan dengan wahyu. Tiada objektif dan wasilah yang betul. Yang dicari ialah mana like yang banyak, meme mana yang lawak.

Lalu wujudlah apa yang dikatakan sebagai mahkamah facebook. Tidak ada hujah pembelaan, tiada keterangan saksi, kertas pendakwaan pun berdasarkan persepsi masing-masing. Yang bersalah ialah mereka yang dihina ramai atau yang tidak (dapat) merespons.

Tuesday 4 August 2015

Deskriminasi Kaum di Malaysia



Apabila berdepan dengan topik ini, mereka yang selalu ketepikan persoalan bangsa akan cuba untuk mengelak untuk berbincang. Risau menjadi rasis, seperti yang mereka sendiri ukurkan. Ada juga yang lebih dahsyat lagi yang termakan racun sehingga mengatakan bangsa lain tidak amalkan deskriminasi, hanya anak bangsanya sendiri. Salah satu tanda apolegetik yang melanda.

Betulkah Melayu mendeskriminasi bangsa lain? Orang yang selalu katakan ini berhujah dengan perlembagaan yang letakkan Islam sebagai kedudukan tinggi, ada hak keistimewaan bangsa Melayu dan peruntukan-peruntukan khas lain.

Sebenarnya ini merupakan identiti negara yang tercipta sejak sekian lama. Survival nenek moyang bangsa Melayu sehingga hari inilah yang menjadi punca tercipta negara ini sehingga melahirkan perjanjian yang terdapat dalam perlembagaan tersebut. Dengannyalah negara ini aman dan rakyatnya aman membina kehidupan dan kekayaan. Daripada perlembagaan ini terhasillah undang-undang dan keputusan untuk memelihara identiti ini seperti berlaku dalam kes kalimah Allah.

Dan betulkah tiada deskriminasi kaum di Malaysia. Ia ada, wujud bukti akademik mengesahkannya. Kajian Lee dan Muhammad (2012) merupakan satu contoh wujud deskriminasi bangsa yang sangat tinggi terhadap bangsa Melayu dalam sektor swasta. Buku The Colour of Inequality turut menghuraikan bentuk deskriminasi lain yang menyebelahi Cina dan mengetepikan warga bumiputera. Kesannya, bumiputera khususnya Melayu ketinggalan dalam ekonomi lalu boleh membawa impak lain kepada negara kerana kedudukannya sebagai bangsa utama negara.

Ini licik kerana deskriminasi seperti ini tidak dihitamputihkan seperti wujud ayat “Pengambilan bumiputera dihadkan”. Dokumen rasmi yang nyatakan “Islam sebagai agama bagi Persekutuan” pula dituduh menindas. Yang apolegetik akan termakan dakyah chauvinisme ini hingga tersilap label yang bertolak ansur sebagai rasis, yang rasis pula sebagai yang bertolak ansur.

Thursday 30 July 2015

Santuni Perbezaan


Selalu orang tunda untuk sentuh perkara sensitif, takut menyentuh perasaan orang lain. Dengan harapan ia akan dirawat melalui peralihan masa. Cuma mungkin kita terlupa, ada masalah sensitif yang jika tidak dirawat masa ini, akan terpendam dan meletus pada masa akan datang.

Orang yang miskin, kemiskinan mereka disantuni dengan memberikan bantuan kepada mereka. Jika kita takut-takut untuk memperakui status miskin mereka, lama-lama mereka yang akan makin menderita. Ia tidak wajar, lebih-lebih jika dia jiran kita yang kita ada tanggungjawab padanya. Dengan mengambil tahu dan berikan bantuan, sedikit sebanyak beban diringankan dan mereka rasa dihargai.

Perbezaan sesama bangsa dalam Malaysia, perlu juga diketahui dan dibincangkan dengan wacana yang serius dan berhasil. Bukan sapukan bawah permaidani lalu menganggap negara kita harmoni. Ataupun segan menyebut soal bangsa, lalu terbiarlah nasib bangsa sendiri mundur terkebelakang, sedangkan bangsa lain maju ke hadapan, dan ada masa seperti sudah dapat betis, mahukan paha.

Namun begitulah nasib bangsa di negara kita yang tidak siapa nafikan merupakan perkara sensitif. Ada pendakwah apabila disebut “Melayu" sahaja, terus meremang takut jadi rasis. Padahal majoriti rakyat Malaysia merupakan Melayu, ia merupakan konsep utama negara, hala tujunya ditentukan oleh Melayu. Tetapi jatuh bangun mereka didiamkan, atas alasan kita semua sama rakyat Malaysia.

Soal melayu dan tahap pendidikan, ekonomi, hala tuju politik mahupun perpecahan mereka; semua ini perlukan perhatian mendalam mereka yang mahukan jatuh bangun Islam dan Malaysia. Bandingkan pula dengan bangsa lain, siapa yang maju, siapa yang terkehadapan. Makin besar perbandingan, makin bertambah ketidakselesaan.

Jangan pula terkejut nanti perkara sensitif yang didiamkan hari ini akan meletus sehingga tidak lagi terkawal. Mula-mula malu, takut nanti dah tersipu-sipu dan terpinga-pinga kerana masalah tidak terungkai.

Monday 27 July 2015

Bantah TPPA #JanganJualNegara Subtitle


TPPA adalah perjanjian PENUH RAHSIA dan TIPU HELAH. Kapitalis Amerika Syarikat takut jika umum mengetahui tentang terma dan syarat didalam perjanjian ini, TPPA tidak akan dipersetujui.

Mengapa perlu terlalu berahsia?

Ayuh, laksanakan tugas anda sebagai rakyat Malaysia, zahirkan bantahan anda kepada YAB Perdana Menteri, Dato Sri Najib Tun Razak.

#stopTPPA
#janganJUALnegara

Jom #BantahTPPA melalui petisyen di www.janganJUALnegara.com

Follow us on twitter @BantahTppa
Follow instagram @bantahTPPA
Like us on Facebook @fb.com/bantahTppa
Whatsapp : +60 11 1550 4471

Demi Rakyat dan Negara tercinta, kongsikan mesej ni!

Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA)Perjanjian perdagangan bebas multilateral yang sedang dirundingkan bersama 12...
Posted by Bantah TPPA on Wednesday, 22 July 2015

Thursday 23 July 2015

Apa Maksud Neraca


Selalu orang pesan nak lihat realiti hari ini perlu berdasarkan neraca alQuran dan asSunnah. Maksudnya menilai sesuatu perkara perlu melalui pertimbangan wahyu. Wahyu katakan ma'ruf, amalkanlah ia walau berseorangan. Wahyu katakannya salah, ketepikan dia, walau disambut ramai. Namun sekarang mungkin dah dikesampingkan, hanya kerana mahu mengejar nilai demokrasi dan memuaskan tuntutan hak asasi.

Perkataan sederhana dan moderate kalau dipandang ikut neraca dunia dan akal bebas ialah untuk mereka yang mempersoalkan hukum agama, mengamalkan Islam pada diri sahaja tanpa ada dakwah kepada orang lain, hadkan Islam pada ibadah rohani dan masjid sahaja.

Tetapi sederhana pada neraca alQuran akan bawa kepada istilah wasatan seperti dalam alBaqarah. Menunaikan tanggungjawab syahadah bukan sahaja untuk diri, tetapi ada juga tanggungjawab pada umat yang lain dalam menjalankan amar makruf nahi munkar agar tertegak hukum Allah pada diri dan negara.

Contoh lain, mungkin kalau ikut neraca sendiri, hidup bersatu itu apabila tidak kisah kamu kafir atau muslim, makan makanan yang sama, baik halal atau tidak. Lalu senang hati mengatakan inilah perpaduan yang diinginkan.

Sebagaimana makan ada peraturannya dalam Islam, begitu jugalah sistem masyarakat dan pemerintahan dalam Islam. Kesatuan bukan bermaksud semua manusia sama, lalu peraturan boleh dilanggar. Ada dalil dalam alQuran dan asSunnah yang perlu dipatuhi dalam hal ini, bukan terus ambil kata-kata bahawa Islam memberikan ruang sebebas-bebasnya dalam berpolitik.

Buat program, masuk pilihanraya akan menelan banyak duit, pernah sampai hilang deposit. Neraca dunia sahaja mengatakan bahawa ia merugikan, tetapi neraca akhirat memberikan khabar gembira bahawa ia termasuk dalam pengorbanan dalam berjuang yang akan diberi ganjaran di akhirat nanti.

Monday 20 July 2015

Aidilfitri 2015

Salam Aidilfitri | تقبل الله منا ومنكم
Moga terus dikekalkan dalam ketaqwaan. Maaf atas segala silap dan salah

Friday 17 July 2015

Dibenci Orang Kafir


Mereka yang beramal dengan Islam seikhlasnya, teguh dengan prinsip, setia dengan kebenaran walau terhina pasti akan mencipta musuh yang tidak senang dengan perjuangannya. Dalam takbir raya, sifat ini digandingkan dengan frasa “walau kariha alkaafirun”, menandakan mereka tetap beristiqamah dengan perkara tersebut walaupun dibenci oleh orang kafir.

Hari ini wujud pelbagai versi Islam di Malaysia seperti Islam Liberal, Islam DAP, Islam Moderat dsb. Perjuangan yang dibenci kafir menjadi petanda buat mereka yang mencari Islam mana yang benar di Malaysia. 

Pihak kafir yang memusuhi Islam, bertindak mencerobohi urusan agama dan mencabar hukum-hakam sebenarnya sudah jelas. Tindak-tanduk mereka sudah banyak. Terlibat dengan COMANGO, Seksualiti Merdeka, pertikai khutbah dan peruntukan agama, melawan hudud, semuanya ada. Duduk dan senaraikan tindak-tanduk tersebut, siapa dalangnya dan datang dari kumpulan mana.

Namun ia tidak dapat dilihat oleh mereka yang tidak mahu memerhati dan merekod, atau menutup (cover) tindak-tanduk kafir tersebut atas alasan mereka jahil, meskipun kafir “jahil” tersebut berulang-ulang mencabar kedudukan Islam di negara kita.

Parahlah apabila pejuang Islam duduk rapat bersama mereka. Lebih dahsyat lagi menerima dana daripada mereka serta mengikut telunjuk mereka.

Monday 13 July 2015

Orang yang Tidak Berpuasa


Puasa mengajar kita tentang mematuhi peraturan Allah. Kita tidak makan dan minum bermula subuh hingga Maghrib hanya kerana mematuhi peraturannya. Baik yang kaya, miskin, berkedudukan atau rakyat biasa.

Ia menjadi peraturan yang disedari ramai. Yang mahu mengingkari peraturan Allah ini (meskipun ada), akan melakukannya secara diam-diam dan tersorok, bukan diiklankan di hadapan orang ramai. Mereka akan dipandang pelik dan ditegur jika diketahui orang ramai.

Beginilah sebenarnya peraturan Allah yang mahu kita terapkan. Wujudnya persekitaran yang taat kepada-Nya, manakala yang melanggar peraturannya tidak diberikan ruang meluas. Bahkan jika berani mencabar, meskipun diberikan teguran, akan dikenakan hukuman yang setimpal. Makan di khalayak ramai ketika bulan puasa bukan lagi hak asasi yang boleh diperjuangkan.

Ia sekaligus menafikan bahawa agama Islam hanya diamalkan secara sendiri. Kesalahan orang lain, apabila wujud, akan melalui proses nahu munkar yang betul. Ia merupakan sistem masyarakat, yang hidup dengan peraturan Allah, yang tidak wajar dicabar oleh hawa nafsu. 

Pengajaran seperti inilah yang wajar kita perhatikan melalui bulan Ramadan.

Thursday 9 July 2015

Akhi Rahim Chot

Antara kenangan bersama almarhum Chot ialah kesungguhannya bersama dengan PEMBINA di MIMET. Pernah sekali berjanji untuk belanja dia makan, tetapi pada malam tersebut dia minta maaf kerana terpaksa siapkan final year project. Malam sebelumnya dia bermesyuarat hingga ke pagi untuk finalize dokumen pendaftran PEMBINA MIMET manakala siangnya mereka bentangkan di hadapan jawatankuasa universiti untuk kelulusan. Proposal mereka mendapat pujian, terperinci sehingga sukar untuk mencari alasan wajar untuk tidak diberikan kelulusan. (Moga proposal kali ini diterima)


Pernah kami rancang adakan slot pengenalan tarbiyyah untuk pelajar baru. Ketika nampak dia sampai dengan motosikalnya, tiba-tiba saya terfikir untuk minta dia belikan sedikit makanan untuk program ini. Saya nak berikan duit, dia menolaknya. Dia belikan dengan duit sendiri dan jamukan ikhwah yang datang program. Dan apabila sebut semula tentang slot pembentangan itu, makanan yang dia belikan itulah menjadi kenangan program tersebut.


Antara yang paling terkesan ialah apabila dia minta pandangan tentang bagaimana mahu mulakan projek baitul muslimnya; tanda dia mahukan ruh dakwah dalam rumahtangganya nanti. Terasa kesungguhan dan kerendahan hatinya dalam meminta nasihat. Namun beginilah perancangan manusia; selalunya ia jauh ke depan, rupanya Allah telah takdirkan batas umurnya.


Setahun bersama dengannya, Chot merupakan seorang yang ceria, rendah diri, minat mendalam dengan tarbiyyah dan dakwah kepada pelajar MIMET. Dan dia cukup bangga dengan aktivitinya bersama ISMA dan PEMBINA. Orangnya biasa-biasa, namun bagi yang mengenalinya dengan mendalam akan tahu bahawa dia seorang yang tabah dan bersungguh dalam berubah. Dan apabila maut menjemputnya, terserlah buah keikhlasannya berada atas jalan ini.


Moga nanti bertemu semula kita di syurga.

Baca: 

Monday 6 July 2015

Achievement Unlocked: iMovie



Kesatuan Alumni Se-Eropah KAISER Dilancar Buat Julung Kali

Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Eropah telah melancarkan kesatuan Alumni untuk para graduan Eropah yang pertama sejak sejarah penubuhannya.

Perasmian yang dibuat di Iftar Perdana Biro Luar Negara ISMA itu menampilkan jenama Kesatuan Alumni Se-Eropah (KAISER) dan dirasmikan oleh Naib Presiden 1 ISMA, Ustaz Fauzi Asmuni.

Dengan aspirasi ‘Connect,Serve and Retrospect’, KAISER memacu objektif untuk menghimpunkan para graduan Eropah, menyumbang kepada masyarakat dan menyemat kembali kenangan bergelar pelajar di Eropah.


Thursday 2 July 2015

Ramadan Mendidik Nafsu


Ramadan ini, apabila sentuh topik hawa nafsu, kita perlu kembali kepada definisi asal hawa iaitulah segala yang bertentangan dengan wahyu dan dibisikkan oleh syaitan. Seperti selalu yang dipesan dalam tazkirah, bulan ini melatih kita mengawal, bukannya mengempang hawa.

Maka target yang terbaik ialah memastikan keluarnya kita daripada bulan Ramadan nanti, sisi keburukan dan kelemahan diri dapat dibaiki. Jalan menuju hawa nafsu dapat ditutup. Ia bukan seperti “Ramadan ini tangguh dahulu, Syawal nanti kita kembali”. Walaupun ia mungkin kelihatan baik daripada “Daripada hipokrit baik bulan Ramadan sahaja, baik samakan sahaja Ramadan ini dengan bulan lain”.

Sasaran yang terbaik ialah dapat menyalurkan keinginan nafsu daripada hawa kepada kebaikan. Satu jam yang terbazir sebelum ini atas jalan hawa nafsu selepas ini dapat digantikan dengan satu jam kebaikan. Ia seperti, “Kalau Ramadan ini aku dah terbiasa, maka Syawal nanti dan untuk tahun mendatang akan mujahadah teruskan lagi”.

Akhirnya kita mendekati semula kepada perkara asas dalam diri kita, menjauhi hawa nafsu dan mendekati wahyu. Tertarik kepada iman, bukan kepada syaitan.

Monday 29 June 2015

(Tidak) Berani Mengutuk LGBT


Antara petikan dalam alMuntalaq yang berkesan dalam diri saya ialah kata-kata penulis, Sheikh ArRashid bahawa ketika Allah menyebut tentang hawa nafsu, Dia pasti akan mencelanya. Pengikutnya pula akan dikutuk. Beberapa contoh diberikan seperti dalam alJatsiyah, 45:23 dan alMukminun, 23:71.

Pada hari ini, pelbagai bentuk hawa nafsu dijadikan arus perdana. Ada yang bergerak dalam NGO, ada yang cuba mengesahkan kewujudan mereka melalui undang-undang. Terbaru ialah perkahwinan sejenis LGBT yang diiktiraf di Amerika Syarikat. 

Situasi menjadi lebih malang apabila pejuang Islam tidak dapat memberikan pendirian tegas terhadap arus hawa nafsu ini. Berbanding mengambil pendekatan alQuran yang mencela, ada antara mereka yang diam seolah merelakan perkara tersebut berlaku. Ada juga yang kagum dengan demokratiknya pejuang hawa nafsu mendapatkan hak mereka melalui undang-undang. Juga ada yang tidak berani menentang apabila hawa nafsu tersebut dikosmetikkan dengan sedikit kebaikan seperti yang COMANGO lakukan. 


Mungkin ia datang daripada persepsi bahawa dalam dunia ini tiada musuh yang perlu ditentang. Hakikatnya wahyu sudahpun menyenaraikan musuh bagi umat Islam baik berupa syaitan, jin dan manusia. Kalaupun tak berani mengatakan sesebuah pihak itu sebagai musuh secara spesifik, paling tidak katakan bahawa tujuan mereka merupakan suatu yang batil serta layak untuk dicela dan dikeji. Bukannya dengan diam dan merelakan pendekatan mereka.

Thursday 25 June 2015

Ramadan di UK (II)


Aktiviti Ramadan tahun ini yang berbeza dengan Ramadan sebelumnya ialah Rehlah Masyi. Rehlah Masyi merupakan aktiviti berjalan kaki anjuran ISMA di setiap cawangan untuk mengingati perjalanan Rasulullah saw dan sahabat ke medan Badar pada bulan Ramadan. Lainnya Rehlah Masyi tahun ini sebabnya ia bukan sekadar jalan, tapi siap panjat dan turun bukit yang curam. Silap penganjur tahun ini sebab tak pergi survey tempat betul-betul, tapi hanya mengharapkan pada Google Map. Ada yang komen inilah Rehlah Masyi standard orang Manjung, haha.

Bertarawih dan berbuka selepas Rehlah Masyi ini pun ada drama. Sampai puncak bukit pun dah lewat petang. Bila turun bukit terpaksa kejar train - nasib baik pandai tangguhkan masa train berlepas, dapatlah semuanya bergerak seperti yang dirancang awal. Apapun, selain mengingati peristiwa sahabat bergerak ke medan Badar alKubra yang penuh dengan pengaturan hikmah daripada Allah, program ini juga berikan peluang kepada kita untuk hidupkan Ramadan dalam suasana berjemaah.

Sebelum bergerak ke London untuk balik Malaysia, sempat untuk singgah ke Cardiff. Niat asalnya untuk ziarah baby kawan yang baru lahir, tapi tak dibenarkan atas sebab kesihatan. Cuma tak terasa rugi sangat turun ke Cardiff sebab keesokannya majlis graduasi kawan yang lain. 28 Ramadan, flight balik ke Malaysia. Ada terlintas juga kalau dapat gunakan rukhsah tidak berpuasa kerana bermusafir, rupa-rupanya flight attendant dah beritahu awal-awal untuk bantu dan berikan makanan yang paling sedap untuk bersahur. Haha. Berpuasa juga di UK, berbuka pula di KFC KLIA.

Semuanya menjadi kenangan agar Ramadan tahun-tahun mendatang ni menjadi lebih baik daripada benchmark ini. Cabaran sebenarnya adalah untuk mengekalkan prestasi Ramadan dalam bulan berikutnya. Jika dapat kekalkan hafazan, bertahajud witir, bersyukurlah kepada Allah, mungkin inilah tanda penerimaan amalan. Namun jika tidak dapat, perlu gandakan lagi usaha agar momentum dan semangat itu dapat diraih semula. Jika bukan di Ramadan, peluang yang bila lagi?

Monday 22 June 2015

Ramadan di UK

Empat tahun belajar sebagai "undergrad" di UK, hanya berkesempatan sekali untuk menjalani Ramadan di sana. Itupun sebab memilih untuk tunggu tarikh graduasi pada hujung Ramadan sebelum pulang back for good ke Malaysia. Alhamdulillah, Ramadan inilah yang menjadi benchmark buat masa ini. Mungkin disebabkan pada waktu tersebut, komitmen sudah tiada; dah tamat belajar dan hanya tunggu tarikh untuk balik ke Malaysia).

Puasa ketika itu selama 19 jam; subuh pada 2:30 am, maghrib pula 9:30 pm. Siang yang panjang memberi peluang amal yang banyak ketika berpuasa, terutamanya untuk membaca alQuran. Ada masa diperuntukkan tilawah mengejar target peribadi, ada juga bertadarus bersama-sama dengan kawan serumah. Tadarus dengan ahli rumah, alhamdulillah kami dapat lakukannya hampir setiap hari. Biasanya kami berkumpul selepas Asar selama sejam.


Untuk bacaan buku sempena bulan ini, sebelum Ramadan dah pilih tajuk apa untuk diselesaikan untuk tahun ini. Masukkan softcopyy dalam ipad dan beg sandang, dan sedia untuk dibaca di mana-mana. Contoh buku yang sesuai dihabiskan ialah buku yang menjadi silibus dalam tarbiyyah seperti Zilal AlQuran, alMuntalaq, Jalan Dakwah. Untuk tahun ini, saya memilih buku "Salah Faham terhadap Islam.

Untuk menu berbuka pula, kami teruskan giliran memasak sesama kawan serumah seperti biasa. Cuma kali ini menu yang lebih spesial. Kalau biasanya hanya masak nasi dan satu jenis lauk, untuk bulan Ramadan ni ada menu tambahan; roti telur, nasi ayam, bubur jagung, ikan tiga rasa dan macam-macam lagi. Berbuka dan solat bersama. Tahun ini pula kebetulan ada World Cup, ada masanya yang duduk di rumah lain pun join sama-sama. Sekali-sekala, tukar angin pergi makan di luar rumah.


Masa antara Maghrib dan Isya pula merupakan masa untuk menghafaz alQuran. Disebabkan musim panas, masjid di sini tetapkan tempoh antara dua solat ini selama 70 minit. Antara Maghrib dan Isya biasanya dah boleh menambah satu muka surat hafazan baru. Ramadan sebelum ini pernah dapat assignment untuk hafal surah alAnfal sempena Ramadan. Tahun berikutnya surah atTaubah. Tahun ini inisiatif sendiri untuk hafal surah AnNuur pula. Sebenarnya Ramadan ini menyediakan suasana yang lebih senang bagi kita untuk menghafal berbanding bulan lain.


Malam yang sekejap (5 jam) jadi peluang untuk berada hampir sepanjang masa di masjid beriktikaf. Kalau balik ke rumah mungkin akan tersia-sia masa dengan aktiviti lagha dan kosong. Jadi eloklah extend iktikaf selepas tarawih hingga ke Subuh, dan selalu juga hingga 9 pagi (tidur pagi di masjid). Bersahur pun tak perlu masak dah sebab sekejap sangat jarak waktu dengan berbuka tadi. Kadang-kadang sahur makan kurma sahaja sebab masih kenyang dengan makanan berbuka. Itupun selalunya masjid di sini turut sediakan makanan untuk moreh dan bersahur.


Bulan Ramadan inilah mula berkenalan mendalam dengan warga Somalia yang mengendalikan aktiviti masjid di kawasan sini. Sangat terasa kemesraaan mereka melayan tetamu (saudara seislam yang berbeza negara). Dan paling unik ialah cara mereka makan bersama - nasi dan daging bertimbun, dan berterabur ke luar talam - nak gambarkan mereka sangat bersemangat ketika makan. Dan mereka (Somalia) inilah antara kumpulan penggerak utama dakwah di bumi UK ini.

Bersambung

Thursday 18 June 2015

Berkira dengan Ramadan


Sudah masuk bulan Ramadhan, bulan yang penuh rahmat, keampunan dan peluang membebaskan diri daripada maksiat dan azab neraka. Sebagai hamba-Nya yang ternanti-nanti kedatangan bulan ini, persediaan yang dilakukan sebelum ini pasti sudah mendatangkan hasilnya berupa amalan kebajikan yang banyak.

Bulan yang sama melatih kita untuk berkira dalam melakukan amal soleh. Perkataan ihtisaban dalam hadis sewajarnya menjadikan kita banyak mencongak sepanjang bulan ini. 

Berapa mukasurat alQuran perlu dibaca sehari? Berapa ayat baru perlu dihafaz atau diulang semula. Berapa banyak bahan bacaan perlu dibaca sehari. Pukul berapa nak tidur. Pukul berapa nak tahajud dan sahur. Berapa banyak perkara baru nak dijadikan habit bermula Ramadan ini, berapa pula tabiat picisan mahu dibuang. 

Bila ada sistem ala KPI seperti ini dan ada semangat untuk mengejar sasaran, mudah-mudahan terampunlah segala dosa yang lalu sebagaimana dijanjikan dalam hadis sahih. 

Monday 15 June 2015

Habit Menulis


Dah nak dekat tengah tahun, review balik tulisan dalam blog ni, rasa lega apabila dapat komited dengan aktiviti menulis. 

Target seminggu dua kali hasil penulisan berjaya dikekalkan hingga hari ini. Inipun dah kira banyak, sebab kolumnis akhbar pun biasanya hasilkan satu seminggu. Okay juga, sementara banyak masa untuk membaca, berfikir dan menulis ni. Kawan pesan, kena ada masa yang berlainan untuk membaca dengan manulis. Sampai hari ini, rasa ada betulnya.

Topik bacaan pun dah mencapah apabila mula kenal bidang International Relations. Yang seronoknya lagi ada ikhwah yang dermawan belanja subscription untuk arkib bacaan bidang ini, rasa ruang berfikir bertambah luas, walaupun tidak semua artikel dapat difahami dengan lancar lagi.

Menulis ni dengan harapan dapat strukturkan idea dalam kepala agar tersusun untuk disampaikan kepada orang lain. Kadang-kadang kita ada idea yang baik, hujah yang banyak, tetapi disebabkan ia tidak berstruktur ketika disampaikan, audiens tidak dapat menangkap apa mesej yang sepatutnya mereka terima.


Harapannya agar blog ini terus hidup dengan penulisan. Juga berkembang daripada dunia soft kepada hard. Paling penting, manfaat berterusan walaupun habit ini terhenti suatu hari nanti.

Thursday 11 June 2015

Kenyataan Berbeza dengan Realiti


Apabila bercerita tentang orang politik, selalu orang pesan tidak semua kata mereka boleh dipegang. Sebab itu ada istilah "ayat politik”, bermaksud kenyataan daripada orang politik tidak boleh difahami secara lurus, ia berbelit-belit dan boleh saja maksud sebenar bertentangan 180 darjah daripada kenyataan yang disebut.

Perkara seperti ini terjadi kebiasaannya untuk menyelamatkan atau meraih undi daripada masyarakat. Boleh juga kerana mahukan imej yang bersih; supaya apabila masyarakat bertanya, mereka dapat memberikan jawapan yang bersih dan selamat, walaupun realitinya tidak seperti itu. 

Ataupun berlaku apabila orang bawah tidak memahami percaturan yang dilakukan orang atasan mereka. Situasi ini menarik kerana orang atas terlepas daripada menjawab sedangkan orang bawah akan kelihatan jujur. Realitinya orang bawah tersebut bertindak sebagai pupet dan diagendakan orang atasan.

Contohnya, DAP mengatakan mereka menjunjung perlembagaan dan menyokong Perkara 153, sedangkan beberapa kenyataan pemimpin mereka bertentangan dengan roh perlembagaan, bahkan cuba menghakis kepentingan Melayu dalam Perkara 153 tersebut. Baca: Kenali DAP for Dummies (Kejahatan dan Keburukan DAP) (Mengajar dan Belajar)

Ada ahli Parlimen DAP berbangsa Melayu pernah menafikan partinya tidak dikuasai evengelis. Ini contoh kenyataan yang berbeza dengan realiti, sama ada kerana dia tidak sedar ataupun ia ayat untuk selamatkan imej parti dan diri sendiri. Bukan sedikit pemimpin mereka yang terlibat aktif dengan aktif dengan gereja dan menjadikannya sebagai medium penyebaran ideologi mereka. Baca: Raja Petra and Sakmongkol on ‘terrorists’ and ‘evangelists’ (Helen Ang).

Contoh lain yang lebih umum, selalu kita jumpa orang sebut mereka tidak amalkan kronisme, nepotisme, tidak bias dalam memilih kakitangan, padahal ikutkan realiti birokrasi, ia sangat sukar untuk dielakkan. Projek besar lebih senang dipantau apabila diberikan kepada orang yang rapat dan dipercayai. Ahli pihak lawan, walaupun jujur dan professional, tidak diserap masuk sebagai kakitangan, kerana risaukan risiko yang terjadi jika ahli pihak lawan tersebut menyebarkan ideologinya.


Sebab itu, nak fahami pendirian politik ini, jangan cari kenyataan asas mereka dalam polisi atau perlembagaan parti. Itu hanya hiasan untuk kaburkan mata ahli masyarakat yang naif. Kumpul kenyataan mereka dalam pelbagai isu, dan lihat secara keseluruhan, dengan cara ini senang untuk kita memahami apa yang mereka mahu maksudkan.

Monday 8 June 2015

Reda Allah pada Siapa?


Selalu orang jadikan reda Allah sebagai matlamat. Hidup susah tak penting selagi mereka rasakan Allah reda. Apatah lagi kalau dah hidup senang dan berjaya, lagi mudah terasa itulah tanda keredaan Allah.

Sebab reda itu dinisbahkan pada Allah dan milik-Nya, pelik jika manusia sendiri mengaku bahawa mereka mendapat reda-Nya. Reda Allah boleh saja berkonflik dengan reda manusia (hadis). Ia perkara ghaib, hanya dapat dipastikan melalui sumber wahyu. Ia hanya dapat dijamin ketika di syurga kelak dengan title “radhiAllah anhum wa radhu anh”.

Walaupun begitu, atas dunia ini ada beberapa perkara yang telah dijamin dengan keredaan Allah. Ketika peristiwa Hudaibiah, semua sahabat berbaiah di bawah pokok (yubayiunaka tahta syajarah) ketika itu dijamin dengan keredaan. Begitu juga golongan awal para muhajirin dan ansar (surah atTaubah).

Golden rule ialah taati perintahnya, jauhi larangannya, barulah nanti dapat keredaan-Nya. Inilah ciri-ciri yang ada pada para sahabat, begitu juga para nabi dan rasul. Cerita mereka disampaikan kepada kita sebagai teladan agar mencontohi mereka. Semuanya berhubung dengan Allah selaku Tuhan seluruh alam yang mencatur perjalanan dunia dan kesudahan akhirat.

Jika diteliti sirah mereka, ada masa mereka kelihatan kalah seperti nabi Zakaria as dan ashabulukhdud yang dibunuh. Nabi Nuh sendiri dicerca ketika membuat bahtera, Nabi Ibrahim ditangkap dan dicampak ke dalam api menyala. Sirah Nabi Muhammad dan sahabat baginda pun pernah dipukul keras ketika perang Uhud.

Ada juga yang menang seperti mana pembukaan Mekah. Nabi Yusuf memerintah Mesir dengan cemerlang, dipertemukan semula dengan bapa baginda. Nabi Nuh selamat ketika banjir melanda. Nabi Isa diangkat ke langit, terselamat daripada angkara jahat kaum-Nya.

Dalam ayat versi lain secara mudahnya, orang jahat pun akan berasa menang (kafir Quraisy ketika Uhud), dan mereka pun akan berasa kalah (perang Badar, Khandak dll).

Mengatakan kemenangan itu tanda keredaan Allah, tidaklah tepat sepertimana juga menjadikan alasan kalah sebagai takpa, asalkan Allah reda. Sebab itu nanti jika ada orang claim Allah reda dengan mereka, lihat pada tindak-tanduk mereka, adakah betul-betul mematuhi syariat. Tanya mereka apa dalil mereka, bagaimana kaedah pendalilan mereka, barulah kita tahu sama ada kita mematuhi perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Dengan cara inilah kita mengharap keredaan Allah menjadi milik kita di akhirat sana.

Friday 5 June 2015

Jemu Beramal


Kadang-kadang ketika lakukan perkara baik, datang bisikan syaitan agar kita berasa puas dalam beramal.

Buat apa nak solat berjemaah, asalkan solat sudah. Buat apa bangun qiam, solat badiah lepas isya tadi dah cukup. Buat apa infaq banyak untuk program tarbiyyah, zakat fitrah kan dah bayar. Dakwah fardiah penat-penat buat apa, kalau dia nak dia ikut, tak nak dia tinggal.

Perasaan macam ini perlu dibuang segera agar tidak menghakis semangat beramal. Salah satu cara dengan hadirkan perasaan perlunya rasa bersyukur dalam diri kita. Nikmat yang Allah berikan terlalu banyak sehinggakan tidak perlu datang perasaaan sudah cukup beramal, seolah-olahnya amal yang kita lakukan sudah sama nilai dengan nikmat yang kita terima.

Hakikatnya, berterima kasih dengan anggota badan yang berfungsi dengan baik inipun dah tak cukup. 10 sistem badan, organ, tisu dan sel. Belum dikira dengan nikmat harian yang lain, diberikan ibu bapa dan ahli keluarga yang penyayang. Perjalanan hidup yang teratur sejak kecil. Dilepaskan daripada pelbagai kesulitan dan dilapangkan dengan kemudahan. Apatah lagi nikmat terbesar yang kita kecapi, nikmat Islam dan keimanan.

Sirah yang biasa kita dengar, ketika baginda saw ditanya tentang qiamnya sehingga membengkak kaki, dijawab oleh baginda dengan ayat yang masyhur, “tidak mahukah aku menjadi hamba yang bersyukur?”. Padahal bagindalah sebaik-baik hamba yang beribadah, penghulu kepada para nabi, kekasih Allah swt.

Sebab itu apabila kita jemu dalam beribadah, terlibat dalam tarbiyyah, ingatlah bahawa Allah tidak pernah “jemu” melimpahkan pelbagai nikmat kepada kita. Ia tidak datang percuma, melainkan ada tanggungjawab yang perlu dilangsaikan sebagai seorang hamba.

Tuesday 2 June 2015

Menawarkan Rahmat dan Jawapan


Orang lain nak ikut cara kita, kita alu-alukan. Tanda Islam ini cara hidup yang sesuai untuk semua. Tapi tak bermakna kita perlu ikut / tiru / tukar dengan cara orang lain pula. Bukan semua benda kita "main runding-runding", apatah lagi kalau melibatkan identiti diri / negara sendiri. Lakum diinukum, wa liya diin.

Begitu juga ketika orang dalam tercari-cari apa penyelesaian bagi masalah yang mereka hadapi, kita perlu tunjukkan kepada mereka apa yang Islam tawarkan. Bawakan kepada akar masalah dan sedarkan dengan kembali kepada agama Islamlah kita akan merasai keselamatan.

Tidak ada yang peliknya apabila ajaran Islam diberikan laluan untuk hidup subur di mana-mana. Ia sesuai dengan fitrah manusia. Datang daripada Pencipta mereka. Hakikatnya, Islam, rahmat dan keselamatan itu tidak dapat dipisahkan.

--

To-Update List

Rompakan di rumah pemimpin DAP dapat dielak jika ada hudud
BANGI, 30 Mac – “Kalau DAP terima hudud, hukuman berat boleh dikenakan ke atas perompak ibu bapa Hannah Yeoh, tetapi malangnya, DAP pula menolak hudud,” ujar Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman.

Katanya, Islam meletakkan nilai yang tinggi kepada keamanan nyawa dan harta manusia.

Sistem kewangan Islam hidup subur di Britain
LONDON, 4 Mei – Sistem kewangan berasaskan Islam semakin mendapat perhatian orang bukan Islam di United Kingdom (UK).

Ketua Pemasaran dan Jualan Runcit Bank Al Rayan, Tim Sinchlair, berpendapat faktor utama di sebalik pertumbuhan sistem kewangan Islam disebabkan orang bukan Islam semakin tertarik kepada etika yang dipraktikkan ketika berurusan.

“Para pelanggan bukan Islam tertarik dengan kewangan Islam berdasarkan etika kami menjalankan perniagaan dan pendekatan ketika perkhidmatan pelanggan,” ujarnya.

Cameron unveils Islamic bond plan
Prime Minister David Cameron has announced that the UK will become the first non-Muslim country to issue an Islamic bond.

At the World Islamic Economic Forum (WIEF) in London, he also announced plans for a new Islamic index on the London Stock Exchange.

Friday 29 May 2015

Bukan Sekadar Wang dan Ekonomi


Duit bukan segala-galanya bagi kita. Masyarakat kita pun mungkin dah dibiasakan lama dengan nilai ini.

Sebab itu ikut fahaman kita, seorang ayah, tanggungjawabnya bukan sekadar memberikan duit kepada keluarga dan memastikan ekonomi yang sejahtera. Dia juga mengisi rumah tangga dengan kasih sayang, wujudkan budaya ilmu pengetahuan, menjamin keselamatan, menerapkan nilai-nilai agama.

Apabila mula fikiran dipusing untuk utamakan wang dan ekonomi, seorang ayah yang gajinya berpendapatan rendah atau sederhana tidak disyukuri. Rasa hormat anak terhadapnya mula hilang, sehingga anak boleh lupa siapa yang bersusah menjaga dia sejak kecil sehingga boleh nampak dunia. 

Menjadi kurang ajar apabila anak yang menyara ibu ayahnya mula mengherdik dan perlekehkan ibu bapa sendiri, mungkin sebab dah terasa cukup membalas budi. Hingga akhirnya, ada yang tergamak membuang ibu bapa sendiri mereka dengan harapan akan ada badan kebajikan akan mengambil alih urusan menjaga mereka.

Perkara sama juga berlaku apabila isteri mula naik kepala dengan suami sendiri.

Hari ini, apabila ada orang sebut dia sumbang banyak duit kepada negara kita, kemudian rasa berhak nak corak negara kita, kita faham bagaimana cara pandang dan permainan mereka. Orang bijak tidak akan terikut game lawan, tetapi untuk menang, dia akan keluarkan kadnya yang tersendiri.

Kata kawan, kalau orang Melayu terkejar-kejar nak jadi negara maju, mereka tidak perlu susah-susah tuntut kemerdekaan, elok duduk saja bawah penjajah British. Tapi kita ada nilai tersendiri, kita mahu mencorak negara ini mengikut cara sendiri.

Perkara utama di sini ialah duit bukan segala-galanya. Juga pentingnya budaya hormat. Bila dah mula persoalkan perjanjian, menuntut balasan, itu tanda suasana sesama kita mula tidak sihat.


Di waktu kita masih miskin maka tokoh yang popular, atau laku di pasaran mata rakyat, ialah seorang yang berusaha mencari jalan untuk membasmi kemiskinan. Di waktu kita masih kuraang ilmu pengetahuan maka pejuang bangsa yang mementingkan usaha meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan rakyat menjadi jaguh yang di cintai oleh rakyat. Di waktu iman kita masih lemah maka guru-guru dan pemimpin-pemimpin institusi ugama dipandang mulia di kalangan rakyat. Di waktu kita mempunyai ramai sasterawan dan budayawan maka perjualangan mereka juga dipandang mulia oleh masyarakat.

Malangnya, kerana tumpuan kita pada berbagai jenis bidang perjuangan, khususnya ekonomi dan pendidikan, secara terpisah dari ilmu sejarah bangsa dan nilai-nilai murni dalam ugama kita maka kejayaan kita dalam bidang pelajaran telah membuat manusia yang dulunya mencuri telor ayam kini sudah pandai mencuri khazanah dan kekayaan negara.

Sanusi Junid, Wang Itu Raja, 2015, Demi Agama, Bangsa dan Tanah air

Labels