Thursday, 3 April 2014

Lima Kunci Membaca Realiti Ummah Hari Ini


Lima perkara saya kongsikan dengan warga SMSA bersempena Solat Hajat mendoakan kesejahteraan saudara seislam kita di serata dunia (Mesir, Syria, Burma, Malaysia dll), agar mereka dikurniakan keamanan dan keadilan. Diharap lima perkara ini akan menjadikan kita lebih mudah memahami apa yang berlaku kepada ummah pada hari ini dan hari-hari yang mendatang.

1. Agama kita merupakan Islam; yang berdiri atas dua kalimah syahadah. Dalamnya kita akan temui segala macam kebenaran. Dengan neraca alQuran dan asSunnah pula kita akan menentukan kebenaran sesuatu perkara.

2. Agama dan kebenaran ini perlu diperjuangkan. Lihat sirah Rasulullah saw dan para sahabat. Dengan perjuangan merekalah akhirnya Islam berjaya ditegakkan. Ia bukan agama magik yang boleh berdiri dengan sendiri, sebaliknya bergantung kepada usaha umatnya.

3. Setiap perjuangan perlukan pengorbanan. Ada harga yang perlu dibayar untuk sampai kepada kemenangan; baik berbentuk masa, tenaga, harta mahupun nyawa. Para sahabat ra telah membuktikannya melalui pelbagai siri peristiwa; sama ada di Mekah, Madinah mahupun selepas kewafatan Rasulullah saw.

4. Islam pasti akan bertembung dengan musuhnya. Ia merupakan sunnatullah sejak azali lagi. Banyak ayat alQuran menceritakan dendamnya musuh terhadap agama ini. Di sudut lain, tindakan ekstrim memperolok kewujudan musuh dengan mengatakannya hanya teori konspirasi hanya akan melemahkan pemahaman umat ini terhadap hakikat pertembungan. (Rujuk: alBaqarah, 2:120, 217)

5. Pertembungan ini memerlukan kita menjadikan Islam sebagai agama yang tertinggi dan superior berbanding agama / ideologi selainnya. Maka kekuatan perlu dibina dan disusun sebaik mungkin. Kemenangan itu pasti akan datang suatu hari nanti. Sama ada ia diberikan kepada kita atau kepada generasi selepas kita; ia merupakan urusan Allah semata-mata. (Rujuk: atTaubah, 9:33. alHajj, 22:40)



Popular Posts