Thursday, 16 October 2014

Bumi ini Bumi Melayu Islam: Nothing ... Everything


Nothing ... Everything
Kingdom of Heaven (2005) merupakan drama sejarah berkisar pembukaan Baitul Maqdis oleh Salahuddin alAyyubi. Saya tidak berminat mengulas jalan cerita atau kritikan sekitar filem ini, cuma tertarik pada dua perkara di babak penghujungnya.

Pertama ketika Balian meluahkan kerisauannya kepada Salahuddin selepas kota ditakluk, "The Christians butchered every Muslim within the walls when they took the city.” Sangkaannya orang Islam akan membalas dendam membunuh sesuka hati apabila berkuasa. Namun Salahuddin tegas menyatakan, "I’m not those men. I am Salahuddin.”, simbolik bagi Islam ketika berkuasa atau memiliki sesuatu, ia tidak akan menindas, menzalimi atau membalas dendam. Tidak sama apabila dibandingkan dengan fahaman lain. 

Kedua ketika Balian bertanya Salahuddin apa berbaloinya dan kenapa bersungguh-sunguh mahu memiliki BaitulMaqdis melalui siri peperangan yang banyak mengorbankan masa nyawa dan harta, lalu dijawab, "Nothing ... Everything." Nothing kerana Islam tidak menjadikan keuntungan material sebagai gol dalam perjuangannya, manakala everything pula boleh difahami bahawa risalah Islam yang mahu dibawa masuk ke kota BaitulMaqdis akan memberikan manfaat serta pengisian menyeluruh dan bermakna di sana.


Bumi Ini Bumi Melayu Islam
Saya nak kaitkan kedua-duanya dengan frasa "Bumi ini Bumi Melayu Islam" yang hangat baru-baru ni. Saya tak nak ulas "Bumi ini milik Allah" seumpamanya; banyak penerangan mudah dah jelaskannya. Ramai bertanya apa tujuannya highlight frasa tersebut. Yang saya perhatikan, berlaku salah faham dan ramai terlalu cepat menuduhnya sebagai rasis lantaran perkataan Melayu dalam frasa tersebut. Padahal tiada siapa boleh nafikan ia merupakan identiti bagi negara ini.

Pertama, salah faham terhadap perjuangan bangsa terjadi apabila ramai terperangkap dengan istilah "rasis" daripada Barat dan cuba memahami perjuangan ini dari sudut kefahaman dan pengalaman di sana. Mereka segera menghukum seluruh perjuangan bangsa sebagai rasis, lalu terus mengaitkannya dengan "lebih mulia", "natural selection", "penindasan" bahkan lebih mengharukan lagi mengaitkan dengan kumpulan rasis negara barat seperti EDL di UK dan Ku Klux Klan di USA. Kefahaman tersebut langsung tidak mempunyai kaitan dengan Islam dan kita. Bagi saya konsep perjuangan bangsa perlu difahami dahulu sebagaimana definisi diberikan Rasulullah saw terhadap assabiyyah, atau seperti ditulis Ibnu Khaldun dalam Muqaddimah, mahupun oleh alBanna dalam Himpunan Risalah. Tiada implikasi penindasan atau menghalau yang perlu di"phobia"kan daripada konsep perjuangan bangsa dan frasa "Bumi Melayu Islam" tersebut, bahkan Islam yang menjadi agama bagi bangsa Melayu sudah lama terkenal sebagai agama adil lagi berkasih sayang. Perbandingan dilakukan hanya akan menjadi seperti epal dan oren. "We are not those men. We are Muslims."

Kedua, "nothing", tiada kepentingan atau maksud duniawi yang dikejar melalui frasa "Bumi Melayu Islam" tersebut. Ia hanyalah fakta yang sengaja diingatkan agar tidak ada pihak yang berani mencabar identiti dan wewenang Melayu Islam di tanah air ini. Kegemilangan dan warisan Empayar Melayu Islam Melaka yang dinikmati sejak hampir 1000 tahun dahulu memang layak meletakkan Melayu dan Islam sebagai pemiliknya. Sama juga ketika dikatakan kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British sebagai suatu bentuk pencerobohan, tiada niat jahat, penghinaan mahupun perkauman yang diinginkan. Sebaliknya ia merupakan fakta dan amaran kepada pemimpin DAP dan MCA supaya jangan sekali lagi melecehkan umat Islam yang majoriti untuk memartabatkan hak mereka menegakkan undang-undang Allah di negara ini. Yang diperlukan hanyalah memahami ayat tersebut menurut konteksnya yang tepat.

Ketiga, mengakui Malaysia sebagai Bumi Melayu Islam merupakan "everything" dalam misi "rahmatan lil alamin" yang diajar Islam. Yang diinginkan adalah Melayu sebagai bangsa tunggak menjadi pemimpin negara ini selari dengan apa yang Islam gariskan. Inilah yang Allah mahukan daripada hamba-Nya sebagaimana dalam alBaqarah, 2:30 dan alAnfal, 8:39. Dengan cara ini alQuran dan hikmah kebaikannya dapat diterjemahkan ke alam realiti. Semua manusia, baik Islam mahukan bukan Islam, baik Melayu mahupun bukan Melayu akan hidup harmoni dalamnya. Model kemakmuran dan kemajuan negara Islam zaman Rasulullah dan khalifah selepasnya menjadi bukti apa yang dicita-citakan gerakan Islam hari ini. Harapannya nanti Malaysia menjadi negara yang bukan sahaja aman makmur, tetapi juga Allah redai.

Faqih Ahmad Shuhaili
Bukan Kaki Movie

Popular Posts