Friday 9 March 2012

Wanita dalam Islam

Kerana kita diajar, syurga itu 
letaknya di bawah kaki seorang wanita bergelar ibu

Kalau nak cerita tentang kedudukan wanita dalam Islam, pasti kita tidak akan lari daripada membandingkan kedudukan mereka dalam agama lain. Jangan terkejut kalau kita terjumpa agama yang memandang hina seawal kelahiran mereka atas dunia; menganggap mereka membawa bala, berstatus lemah berdosa, bahkan ada yang mengatakan mereka jelmaan syaitan terhina. 

Bahkan biasa kita dengar, haidh yang dialami mereka sebenarnya merupakan suatu sumpahan suci yang kekal terhadap mereka akibat tersalah pilih makanan ketika berada di dalam "syurga".

Islam datang bukan sekadar menolak hinaan dan cacian terhadap mereka, tetapi juga menaikkan status mereka; menjadikan wanita bukan lagi permainan bagi mereka yang bergelar lelaki. Hak kemanusiaan mereka diberikan semula seperti hak pemilikan harta, hak tidak dikahwinkan secara paksa, hak mengekalkan identiti dan nama, bahkan sebiasa hak pendidikan seperti orang biasa.

Lalu kita tertanya; dari mana datangnya fitnah mengatakan Islam meremehkan mereka. Padahal banyak sahaja ayat Quran meletakkan mereka penting dalam pembentukan tamadun manusia; bukan dibentuk oleh golongan lelaki semata-mata. Banyak juga kisah Rasulullah melayan mereka dengan baik; termasuklah kisah baginda berlumba lari dengan Aisyah ra, isteri baginda.

Bahkan merekalah agen perubah masyarakat kita lantaran peranan besar mereka dalam pembinaan generasi yang akan datang. Kalau ramailah wanita solehah di dunia, nescaya ramailah juga anak-anak yang baik akan mencorak masa depan kita.


Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[at Taubah, 9:71]


Penting dan besarnya peranan mereka menurut Islam, sampai boleh saja untuk kita berkata; "Lihatlah ibu-ibu pada masa sekarang, nescaya anda akan melihat keadaan umat 50 tahun akan datang." Maka hormatilah mereka, tunaikanlah hak mereka dan bantulah mereka, agar dapat sama-sama kita membangun umat yang beragenda.

Kalau ada sesuatu yang kita tak suka pada mereka
Sedarlah juga bahawa terlalu banyak perkara baik yang ada pada mereka juga

No comments:

Post a Comment

Labels