Tuesday, 29 November 2011

Keluarga Beragenda

Saje letak tajuk ni untuk 29 Nov ni
Membangun Umat Beragenda!

Salam, ana terfikir sejenak ketika membaca Quran dalam beberapa surah yang menceritakan kisah Nabi Ibrahim. Watak-watak penting ialah Nabi Ibrahim sendiri, Hajar dan Ismail. Ianya terdiri dari ayah, ibu dan anak dalam meletakan agenda untuk keluarga terutama anaknya Ismail.

Kisah pengorbanan mereka telah banyak diperkatakan oleh penceramah, aspek lain yang ana akan perkatakan ialah bagaimana Ibrahim menentukan agenda untuk keluarganya. Ringkas cerita, apabila Allah memerintahkan agar nabi Ismail disembelih, Nabi Ibrahim beritahu secara jelas kepada anaknya akan perintah tersebut. Iktibas pertama dapat diambil ialah seorang bapa perlu menyatakan secara jelas agenda kepada anaknya. Agenda Nabi Ibrahim ialah melaksanakan perintah Allah. Pada masa yang sama berlaku komunikasi jelas dan berkesan antara mereka berdua.

Peristiwa kedua ialah, ketika mana mereka berdua mendirikan kaabah, Nabi Ibrahim secara jelas menyatakan tujuan mereka mendirikan Kaabah dan harapannya kepada umat seterusnya. Bukan sahaja untuk zaman Nabi Ismail tetapi untuk ummat seterusnya. Nabi Ibrahim mengharapkan cucu cicitnya menjadi pemimpin kepada mereka yang bertaqwa.Agenda dinyatakan secara jelas kepada anaknya dan dilakukan bersama dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.

Peritiwa ketiga, peranan Hajar sebagai ibu mendidik Ismail, sepeninggalan Ibrahim, Hajar merupakan pelaksana kepada agenda suaminya Ibrahim untuk membentuk peribadi Ismail. Maka lahirlah Ismail sebagai seorang pemuda yang berakhlak mulia, dikagumi oleh seluruh ummat .Yang penting ialah peranan bapa meletakan agenda untuk anak- anak. Agenda jelas dan dibincang secara menyeluruh.


Perjalanan seterusnya , setelah Ismail berkahwin, Ibrahim datang menziarahi keluarganya. Kebetulan Ismail berada di luar rumah, Nabi Ibrahim sempat jumpa menantunya dan menanyakan perihal mereka sekeluarga. Oleh kerana rungutan isteri Ismail tentang kehidupan mereka. lalu Nabi Ibrahim berpesan , sila beritahu kepada suami, buang ambang pintu. Nabi Ismail memahami kehendak ayahnya, lalu dia menceraikan isteri. Dia kahwin untuk kali kedua. Melalui suasana yang sama cuma isteri yang kedua mensyukuri nikmat yang diperolehi bersama Ismail, maka pesan Ibrahim agar kekalkan ambang pintu.

Pengajaran yang diperolehi, seorang bapa perlu melihat perjalanan anak-anak walaupun mereka telah dewasa bagi memastikan agenda yang telah dinyatakan bersama terus berjalan dan memenuhi syarat-syarat. Begitu juga kita lihat bagaimana Ismail bertindak mengikut kehendak bapanya setelah dia memahami agenda yang perlu dilakukan agar tidak tersasar. Agenda nabi Ibrahim bukan sahaja untuk satu generasi sahaja tetapi untuk ummah seterusnya.

Secara mudah kita sebagai ibubapa pun perlu melihat kepada masalah agenda untuk keluarga, dari segi tarbiah,pemilihan jodoh untuk anak-anak,harapan untuk anak-anak,komunikasi, pernyataan agenda dan harapan untuk mereka.

Kita tidak lupa juga peranan Sarah. Ramai pengkaji sejarah menyatakan Ibrahim hantar Hajar dan Ismail ke Mekah kerana Sarah cemburu.Memang ada unsur-unsur tersebut, fitrah seorang wanita yang Allah berikan kepada kaum Hawa. Tapi perlu diingat faktur penting penghantaran tersebut ialah kerana perintah Allah. Sebab itu Hajar menerimanya dengan redha. Pengorbanan Sarah juga ialah mengahwinkan Hajar dengan suaminya Ibrahim kerana maslahat agama. Sarah pun bukan calang calang tokoh. Bonda kepada nabi Ishak . Fakta sejarah yang sahih ialah Hajar merupakan puteri firaun yang hebat, bukannya sebagaimana setengah pendapat yang mengatakan Hajar ialah jariah firaun diberi kepada Sarah.

Sekian .
Ustaz Sharipudin AB Kadir
YDP Syura Isma Malaysia
Website: Isma Kelantan

Sunday, 27 November 2011

Perutusan Awal Muharram 1433H

Assalamu Alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakaatuh.

Tahun 1433H sudahpun tiba. Kita bersyukur kepada Allah kerana memanjangkan umur kita untuk terus merasai nikmat-Nya pada tahun baru ini. Yang pasti, hidup dan tugas sebagai hamba-Nya perlu terus dilakukan sebagai tanda terima kasih kita kepada-Nya.

Moga dengan ketibaan tahun baru ini disertakan dengan azam kuat dalam diri kita untuk melakukan hijrah atau perubahan, baik dari sudut akademik mahupun sahsiah; sedikit atau banyak. Jadikanlah 1432H sebagai medan muhasabah untuk memberi pengajaran dalam menghadapi masa akan datang ini agar lebih cemerlang dari segi fizikal, mental, spiritual dan emosional.

Mungkin cukuplah bagi kita untuk menghayati apa yang dikatakan oleh Nabi kita saw dalam hadis riwayat Imam al Bukhari, “Orang yang berhijrah merupakan orang yang meninggalkan apa yang dilarang Allah.” Sememangnya suasana di luar negara yang mendedahkan diri kita kepada pelbagai larangan dan perkara haram ini, menuntut mujahadah yang tinggi daripada dalaman diri untuk terus menjaga dan mengekalkan nilai Islam dan budaya ketimuran kita.


Tahniah juga kepada warga ISMA Sheffield atas penubuhan jawatankuasa pertama baru-baru ini. Moga dengan struktur yang jelas ini akan memberikan kita peluang untuk beramal dengan sebaiknya. Perjalanan kita masih jauh, moga langkahan kecil yang telah dimulakan ini dikira sebagai titik mula hijrah kita dan diiktiraf sebagai amal soleh di sisi-Nya.

Semoga 1433H ini menyaksikan lebih banyak rahmat dan berkat-Nya dilimpahkan kepada bumi Sheffield ini melalui amal dakwah kita, insya-Allah. Amin.

Wassalam.
Membangun Umat Beragenda.

Faqih Ahmad Shuhaili
Ketua Syukbah ISMA Sheffield

Saturday, 26 November 2011

Sahabat Sejati

Rabu lepas, saja letakkan komen di Fb Warna Pagi IKIM.fm ketika mereka bincangkan tajuk "Iktibar dari Hijrah: Erti Persahabatan Sejati". Tak sangka pulak dapat dengar komen tu dibaca oleh Encik Pian dan Siti :) 

Saja je hantar, sebab tahu emak kat rumah tu selalu dengan radio Ikimfm ni. Pernah dulu emak dengar nama anaknya ni keluar di radio Ikim untuk kiriman salam Aidiladha, tapi anaknya ni dah tidur masa tu, haha. Paling tak, niat asal dah tercapai :)

Komen bawah ini immadiately dibaca selepas dihantar ke Fb tu. Nak letakkan di blog ni, buat kenang-kenangan. Yang pasti, kalau nama disebut di kalangan penduduk di langit, pasti lebih menterujakan! :)

***

10 Sebab Abu Bakar ra Merupakan Sahabat Sejati ketika Hijrah.

  • Bertanya Rasulullah dahulu ketika beliau ingin berhijrah
  • Dipilih utk menemani baginda kerana beliau sahabat paling dipercayai
  • Menyediakan tunggangan utk baginda dan dirinya utk berhijrah
  • Ulang kali berada di hadapan, dan di belakang Rasulullah utk jaga keselamatan
  • Sanggup dukung Rasulullah yang melicit kakinya utk mendaki bukit Tsur
  • Masuk gua Tsur terlebih dulu untuk lihat jika ada sebarang bahaya
  • Tak bergerak menahan rasa sakit digigit binatang yang menggigitnya ketika Rasulullah di pangakuannya.
  • Ada anak bernama Abdullah ra yang berulang alik dari Mekah ke Gua Tsur sampaikan berita
  • Ada anak bernama Asma’ ra yang berikan bekalan makanan ketika di Gua Tsur
  • Sediakan jurupandu untuk perjalanan hijrah mereka ke Mekah dengan selamat

Tak syak lagi, memang Abu Bakar ra seorang sahabat sejati yang perlu kita dicontohi. Mudah-mudahan.


Azam untuk tahun ini:
Mendapat anugerah komen terbaik di Warna Pagi Ikim.fm :)

Thursday, 24 November 2011

Apa Kaitan Ghadir Khum, Syiah dengan Sunnah (For Dummies)

Kerana kami komited tangani isu serangan akidah
termasuk penyebaran fahaman Syiah

Hujung-hujung bulan Zulhijjah ni, istilah Ghadir boleh terdengar di sana sini. Istilah ni segar semula dalam kepala saya apabila terpandang poster ceramah tentang Ghadir tertampal di surau universiti. Kali pertama mendengar tentangnya adalah ketika belajar tentang Syiah di Kmb suatu ketika dulu. Sekadar ingin mengetahui apa yang Syiah perkatakan tentang topik ini, sempat saya duduk mendengar ceramah mereka tersebut.Berikut serba ringkas tentang isu Ghadir Khum.

Apa itu Ghadir Khum?
Ghadir Khum merupakan nama tempat yang terletak 250 km dari Mekah menuju ke Madinah (rujuk peta). Ia menjadi tempat persinggahan Rasulullah saw selepas Haji Perpisahan (Hajjatul Wada’) tahun 10 Hijrah untuk menyampaikan suatu khutbah penting yang menurut Syiah, merupakan saat pelantikan Saidina Ali ra sebagai khalifah. Peristiwa Ghadir Khum dijadikan perayaan bagi Syiah atas sebab sempurnanya agama Islam selepas pengumuman tersebut.


Apakah kandungan khutbah atau matan hadisnya?
Petikan yang akan menjadi hujah Syiah dan perbincangan di kalangan ulama Sunnah adalah tentang Saidina Ali ra. Sambil memegang tangan Saidina Ali ra, baginda saw bersabda, “Barangsiapa yang aku adalah mawlanya maka ‘Ali adalah mawlanya.” Begitu juga dalam petikan hadis yang lain, “Sesungguhnya ‘Ali adalah daripada aku dan aku adalah daripadanya (‘Ali) dan dia (‘Ali) adalah wali bagi setiap orang beriman sesudahku.

Hadis ini diriwayatkan sahih oleh bilangan perawi yang sangat ramai, baik dalam kalangan perawi syiah mahupun sunnah seperti Imam at Tirmidzi, Ibn Majah dan Ahmad rhm.

Apa yang akan Syiah ceritakan?
Syiah mendakwa Saidina Ali ra telah dipilih oleh Rasulullah ketika itu untuk menjadi khalifah selepas kewafatan baginda, sekaligus membuktikan bahawa aliran mereka merupakan ajaran yang benar. Maka Saidina Abu Bakar, Umar dan Usman ra dianggap sebagai penderhaka kerana merampas jawatan khalifah selepas kewafatan baginda.

Bagi mereka, Rasulullah amat berat untuk menceritakan pelantikan Saidina Ali ra sebagai pengganti beliau, namun disebabkan turunnya ayat al Maidah, 5:67, maka baginda mengumumkannya kepada sahabat-sahabat di situ.

Hai Rasul, sampaikanlah apa yang di turunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu kerjakan (apa yang diperintahkan itu, berarti) kamu tidak menyampaikan amanat-Nya. Allah memelihara kamu dari (gangguan) manusia. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang kafir.

Apa yang sebenarnya berlaku?
  • Rasulullah tidak menggunakan perkataan khalifah apabila mengucapkan hadis tersebut sebaliknya mawla (penolong / pelindung). Seandainya baginda ingin melantik Ali sebagai khalifah selepas baginda, sudah tentu baginda akan mengucapkan perkataan khalifah dengan jelas.
  • Apabila Rasulullah mengatakan Ali ra sebagai sebahagian daripada diri baginda, bukan bermakna Ali merupakan pemimpin (khalifah) seperti baginda, sebaliknya merupakan penghormatan terhadapnya agar beliau gembira. Bahkan Rasulullah pernah bersabda hadis yang sama kepada sahabat bernama Julaibib ra dan golongan bernama al Asyariyyin dalam hadis yang lain.
  • Saidina Ali ra yang dijadikan subjek Rasulullah ketika baginda menuturkan hadis tersebut pun tidak menuntut jawatan khalifah daripada Saidina Abu Bakr selepas kewafatan baginda saw, bahkan Saidina Ali membaiat Saidina Abu Bakr sebagai khalifah.
  • Kata orang Syiah, Ali ra sengaja tidak mahu menuntut jawatan tersebut untuk mengelakkan perpecahan umat Islam ketika itu. Namun ia tidak munasabah kerana seolah-oleh menganggap Ali ra sebagai pembelot kepada wasiat Rasulullah saw dan juga penakut sedangkan Ali ra sudah jelas merupakan sahabat yang setia dan berani.
  • Ayat tentang sempurnanya agama Islam diturunkan ketika Haji Wida’, bukannya ketika peristiwa Ghadir Khum ini. Ini boleh dilihat dalam banyak hadis yang sahih diriwayatkan oleh Imam al Bukhari, Muslim dan lain-lain.

Apa kesimpulan yang boleh dibuat tentang Ghadir Khum ini?
Secara umumnya, hadis dan peristiwa Ghadir Khum ini bukannya tentang soal pelantikan khilafah sebaliknya ingin memuliakan status Saidina Ali ra.

Bagi saya sendiri, tindakan membangkitkan isu ini tidak berasas dan tidak berfaedah. Sudah jelas ulama kita menjelaskan tentang sahnya pemerintahan Khulafa’ Rasyidun yang empat. Salah gayanya, membangkitkan isu ini mampu mengundang perpecahan dalam kalangan umat Islam seperti yang berlaku sekarang terutamanya di negara yang bergolaknya perselisihan antara syiah dan sunnah. Moga syubhat seperti ini tidak tersebar luas dalam kalangan umat Islam negara kita Malaysia pula. Ameen.

Rujukan:
1.  Dr Abdullah Yasin, Aqidah Syiah Ke 12 - Ghadir Khum, YouTube.com
2. Hafiz Firdaus, Jawapan Ahl al-Sunnah kepada Syi‘ah al-Rafidhah dalam Persoalan Khalifah, HafizFirdaus.com.

Di atas semangat yang sama, ISMA menolak penyebaran ajaran Syiah di kalangan orang Melayu. Kita menyokong langkah kerajaan yang mengharamkan penyebaran ajaran Syiah di kalangan orang Melayu. Malaysia adalah negara sunni dan ia wajib kekal begitu. Penyebaran ajaran Syiah di kalangan orang Melayu boleh menjejaskan perpaduan dan boleh menyebabkan agenda Islam digagalkan pada masa akan datang.
[Presiden Abdullah Zaik, Ucapan Dasar AGM Isma 2011]

Wednesday, 23 November 2011

Jangan Kedekut


Sheffield, 6 Nov – Kekalahan empayar Uthmaniyyah dan kejatuhan empayar Melayu Melaka disebabkan umat Islam ketika itu kedekut dengan apa yang mereka ada.” Begitu antara intipati khutbah Hari Raya Aidiladha yang disampaikan oleh Ustaz Sarip b Adul, Yang Dipertua Isma Kota Kinabalu baru-baru ini.

Jelas beliau, agama Islam memerlukan pengorbanan daripada kalangan umatnya. Namun, apa yang menyedihkan ialah umat Islam pada hari ini semakin kedekut dengan apa yang mereka miliki dan merasa berat untuk melakukan pengorbanan berupa harta, tenaga dan masa untuk agama. Hal inilah yang menyebabkan agama Islam dilihat terhina pada masa kini.

Khutbah beliau ini disampaikan ketika Sambutan Hari Raya Aidiladha anjuran Sheffield Malaysian Student Association (SMSA) dan Persatuan Masyarakat Pelajar Malaysia Sheffield (PMPMS) yang diadakan meriah dengan kehadiran lebih 100 warga komuniti pelajar prasiswazah dan pascasiswazah di sini.

Ketika membentangkan perkongsian “Bidak-bidak di Papan Catur” pada waktu malamnya pula, beliau menambah bahawa musuh-musuh umat Islam seperti Yahudi, Nasrani dan golongan munafik bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh untuk merosakkan manusia khususnya umat Islam. Tambah beliau lagi, dari sudut pembahagian masa pula, umat Islam masih belum cukup memperjuang dan menegakkan agama Islam. Hal ini kerana musuh musuh umat Islam ini bekerja siang dan malam untuk merosak dan meleburkan keperibadian Muslim dalam kalangan umatnya.


Ustaz Sarip yang juga merupakan Ahli Majlis Fatwa Negeri Sabah sedang berada dalam siri jelajahnya ke negara Eropah seperti United Kingdom, Ireland dan Czech selama dua minggu untuk mempromosikan slogan terbaru Isma, “Membangun Umat Beragenda”. Turut menemani beliau, Engr. Mohd Khoushaini Mohd Naim mewakili Sekretariat Antarabangsa Isma (Sektar). Pengisian yang diadakan berkisar usaha menangkis agenda barat seperti humanisme, liberalisme dan plarisme agar dapat Membangun Umat Beragenda

Laporan Oleh:
Faqih Ahmad Shuhaili
Ketua Syukbah Isma Sheffield
Website: Isma Eropah

Wednesday, 2 November 2011

Selamat Datang!

"Selamat datang duhai orang yang kerananya aku ditegur oleh Rabbku"

Sang Nabi lalu tersenyum ketika melafazkan kalimah ini. Dan orang buta itu juga tersipu. Ke arah majlis nabawi itu, Abdullah bin Ummi Maktum tertatih mendekat. Lalu Rasulullah akan menghulurkan tangan, menggandengnya, menggenggam jemari lelaki ini erat-erat dan mendudukkannya di sebelah baginda.

Teguran Allah pada beliau itu terjadi sudah lama sekali. Tapi Sang Nabi takkan pernah melupakannya. Baginda pernah bermasam muka, merasa enggan dan mengalihkan wajah dari Abdullah bin Ummi Maktum. Tak sepenuhnya abai sebenarnya. Hanya saja saat itu Rasulullah sedang berada di hadapan para pembesar Quraisy, membacakan ayat-ayat Allah pada mereka. Saat itu, teramat tinggi hasrat Sang Nabi agar para pemuka itu mahu menerima dakwah. Kerana mereka adalah pemimpin kaumnya, fikir beliau, insya-Allah akan banyak manusia yang mengikuti langkah mereka.

Maka kedatangan Abdullah yang buta, yang lemah, yang terpinggir dan tanpa kuasa itu terasa seperti sebuah usikan kecil bagi cita-cita baginda. Kehadirannya seolah menjadi citra, bahawa yang mengikuti Muhammad adalah orang orang dhuafa' dan faqir, orang orang terkebelakang dan pandir. Itu pasti akan membuat para pemuka Quraisy tak nyaman dan makin enggan. Jadi beliau bermuka masam dan berpaling. Lalu Allah menegurnya.

"Dia bermasam muka dan berpaling. Kerana datang seorang buta kepadanya
[Abasa, 80:1-2]

Tak ada yang salah dengan hasrat kuat Sang Nabi agar para pembesar Quraisy itu segera beriman. Allah memang telah mengamanahi beliau untuk menyeru mereka kepada hidayah. Dan secara peribadi, Sang Nabi sama sekali tak punya benci, jijik ataupun risi kepada Abdullah. Baginda hanya merasa kemunculan Abdullah terjadi pada saat yang tak tepat.

Bahawa pengikut para Nabi adalah orang yang miskin dan lemah seperti Abdullah, itu telah melekat dalam sejarah dakwah sejak masa nabi Nuh. Beliau sedar dan mensyukurinya. Hanya saja baginda sedang berikhtiar di ceruk dakwah yang lain. Baginda sedang menyisihkan waktu untuk pembesar pembesar Quraisy itu. Maka hati baginda jeri melihat kehadiran Abdullah. "Jangan sekarang, ku mohon!" begitu mungkin gerutu baginda.

Sebenarnya Abdullah bin Ummi Maktum yang buta tak dapat melihat masamnya raut beliau. Dia tak tahu bahawa Sang Nabi berpaling darinya.

Tapi Allah menegur Nabi-Nya. Tegas dan lugas.

Gelombang keinsafan dalam hati sang Nabi lalu bergulung-gulung. Bahawa dakwah ini milik Allah. Dan bahawa hidayah itu juga milik-Nya. Bahawa tugasnya berikhtiar semata. Bahawa beliau takkan dipersalahkan ataupun menanggung dosa jikapun para pemuka yang merasa kaya itu tak hendak menyucikan jiwa.

Juga bahawa beliau harus menyambut mesra orang orang yang ingin memeluk cahaya; siapapun mereka, apapun latar belakangnya, bilapun waktunya dan betapapun musykilnya. Bahawa beliau harus memahami betapa menggebu hasrat si buta ini untuk menyucikan diri. Dia, dengan segenap keterbatasannya, dengan segala susah payahnya, menyusuri gelap untuk menhadap baginda dan meminta dihafali ayat-ayat-Nya.

Dan bahawa baginda tak boleh membeza-bezakan sikap pada manusia disebabkan kedudukan mereka. Baginda harus berlaku adil pada para pemuka kaya itu, juga pada Abdullah yang papa. Sikap cinta dan kemesraan yang dirasa Abdullah dari baginda yang harus serupa, atau lebih tinggi. Kerana hakikat batin yang ada antara keduanyalah yang berbeza. Yakni, bahawa sikap pada pembesar Quraisy itu disebut dakwah; seruan pada kebenaran disebabkan cinta dan rahmat-Nya. Sementara sikap pada Abdullah bin Ummi Maktum disebut ukhuwwah, persaudaraan kerana kesamaan iman yang menyala dalam dada.

Yang satu dakwah. Yang lain ukhuwah. Dua-duanya disebabkan oleh cinta.

"Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya dari dosa? Atau dia ingin mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? 
[Abasa, 80:3-4]

Sejak saat itu, Abdullah bin Ummi Maktum mendampingi Sang Nabi, belajar segala rupa kemanfaatan dari baginda, mentazkiyah diri dari dosa-dosa. Dia hidup dalam dekapan ukhuwah, merasakan manisnya persaudaraan Islam yang tak membeza-bezakan darjat, kepemilikan dan penampilan. Hingga satu waktu, Rasulullah mempersaudarakan lelaki buta nan dipandang sebelah mata ini dengan lelaki paling memikat di segenap penjuru Makkah; Mus'ab bin Umair. Beliau bahkan mengutus mereka berdua sebagai satu team kerja ke Madinah, memenuhi permintaan para penduduk Yathrib yang berbaiat di Aqabah. Mereka berdua harus membuka dakwah, menyapa jiwa jiwa yang haus akan nilai Rabbani.


Mus'ab yang rupawan, elegan, mengundang kekaguman dan berakhlak baik itu tugasnya menjadi daya tarik. Dengan tuturnya yang lembut, sikap santunnya yang memikat, hujah hujah tak terbantah dan susunan kata yang mempersona, dia taklukkan hati para pemimpin kabilah. Antara mereka ada Usaid bin Hudhair, As'ad bin Zurarah dan Saad bin Muadz yang keislamannya diikuti oleh seluruh kaum. Alhamdulillah...

Sementara Abdullah punya tugas tak kalah penting; melakukan pembinaan bagi mereka yang berserah diri ke jalan Allah. Dikumpulkannya penduduk Madinah kelompok demi kelompok. Dibacakannya ayat-ayat Allah kepada mereka. Lalu Abdullah mentazkiyah mereka, mengajarkan kitab dan hikmah, membimbing mereka memahami jalan kehidupan yang diajarkan oleh Muhammad saw. Kebutaan Abdullah mungkin adalah kekuatannya; dia tidak pernah menderhakai Allah dalam pandangan mata, tak mudah tergoda oleh kemilau harta ataupun kejelitaan rupa.

Perpaduan Mus'ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum di Madinah adalah perpaduan dakwah penuh cinta, dalam dekapan ukhuwah. Zahirnya, penampilan mereka mungkin berkebalikan, tapi batin mereka kompak, saling menyokong, saling melengkapi dan saling menggenapkan. Mereka menyemai bibit peradaban madani di atas suburnya tanah Yathrib, di mana kelak Sang Rasul memimpin perubahan wajah dunia dari kota itu. Mereka merintisnya, dalam dekapan ukhuwah.

[Dalam Dekapan Ukhuwah, Salim A. Fillah, Pro-U Media, 2010]

Tuesday, 1 November 2011

Tidak Bolehkah Kita?



Fikrah dakwah kepada bangsa Melayu yang dibawa oleh ISMA bukan hendak menghidupkan kembali budaya-budaya jahiliah dalam bangsa Melayu yang bertentangan dengan Islam, akan tetapi hendak memahamkan mereka bahawa suatu masa dahulu, bangsa ini adalah bangsa yang mulia dengan Islam dan juga bangsa ini adalah bangsa tonggak yang menjadi contoh dalam pengamalan Islam kepada bangsa-bangsa lain yang wujud bersama.

Fikrah ini juga bukan hendak mengajak bangsa Melayu berbangga dengan budaya-budaya seperti Zapin, Inang, Mak Yong, Caklempong, Gasing, Wau, Laga Ayam dan sebagainya, akan tetapi untuk mengajak bangsa ini agar kembali menjadi bangsa hebat yang mampu untuk menjadi duta kepada Islam di seluruh Malaysia.

Fikrah Melayu sepakat juga bukan hendak mengajak untuk menyokong parti-parti tertentu, tetapi untuk mengajak bangsa Melayu yang terpecah dalam kelompok politik UMNO, PAS dan PKR untuk meletakkan isu-isu dan kepentingan umat Islam di tempat yang teratas dalam jua pertimbangan politik.

Tidak bolehkah kita saling hormat akan perbezaan pandangan dan cara fikir, meraikan perbezaan pendapat asal ianya masih dalam batas syara’ dan bersatu atas perkara-perkara yang kita sepakati bersama.

Popular Posts