Wednesday 2 November 2011

Selamat Datang!

"Selamat datang duhai orang yang kerananya aku ditegur oleh Rabbku"

Sang Nabi lalu tersenyum ketika melafazkan kalimah ini. Dan orang buta itu juga tersipu. Ke arah majlis nabawi itu, Abdullah bin Ummi Maktum tertatih mendekat. Lalu Rasulullah akan menghulurkan tangan, menggandengnya, menggenggam jemari lelaki ini erat-erat dan mendudukkannya di sebelah baginda.

Teguran Allah pada beliau itu terjadi sudah lama sekali. Tapi Sang Nabi takkan pernah melupakannya. Baginda pernah bermasam muka, merasa enggan dan mengalihkan wajah dari Abdullah bin Ummi Maktum. Tak sepenuhnya abai sebenarnya. Hanya saja saat itu Rasulullah sedang berada di hadapan para pembesar Quraisy, membacakan ayat-ayat Allah pada mereka. Saat itu, teramat tinggi hasrat Sang Nabi agar para pemuka itu mahu menerima dakwah. Kerana mereka adalah pemimpin kaumnya, fikir beliau, insya-Allah akan banyak manusia yang mengikuti langkah mereka.

Maka kedatangan Abdullah yang buta, yang lemah, yang terpinggir dan tanpa kuasa itu terasa seperti sebuah usikan kecil bagi cita-cita baginda. Kehadirannya seolah menjadi citra, bahawa yang mengikuti Muhammad adalah orang orang dhuafa' dan faqir, orang orang terkebelakang dan pandir. Itu pasti akan membuat para pemuka Quraisy tak nyaman dan makin enggan. Jadi beliau bermuka masam dan berpaling. Lalu Allah menegurnya.

"Dia bermasam muka dan berpaling. Kerana datang seorang buta kepadanya
[Abasa, 80:1-2]

Tak ada yang salah dengan hasrat kuat Sang Nabi agar para pembesar Quraisy itu segera beriman. Allah memang telah mengamanahi beliau untuk menyeru mereka kepada hidayah. Dan secara peribadi, Sang Nabi sama sekali tak punya benci, jijik ataupun risi kepada Abdullah. Baginda hanya merasa kemunculan Abdullah terjadi pada saat yang tak tepat.

Bahawa pengikut para Nabi adalah orang yang miskin dan lemah seperti Abdullah, itu telah melekat dalam sejarah dakwah sejak masa nabi Nuh. Beliau sedar dan mensyukurinya. Hanya saja baginda sedang berikhtiar di ceruk dakwah yang lain. Baginda sedang menyisihkan waktu untuk pembesar pembesar Quraisy itu. Maka hati baginda jeri melihat kehadiran Abdullah. "Jangan sekarang, ku mohon!" begitu mungkin gerutu baginda.

Sebenarnya Abdullah bin Ummi Maktum yang buta tak dapat melihat masamnya raut beliau. Dia tak tahu bahawa Sang Nabi berpaling darinya.

Tapi Allah menegur Nabi-Nya. Tegas dan lugas.

Gelombang keinsafan dalam hati sang Nabi lalu bergulung-gulung. Bahawa dakwah ini milik Allah. Dan bahawa hidayah itu juga milik-Nya. Bahawa tugasnya berikhtiar semata. Bahawa beliau takkan dipersalahkan ataupun menanggung dosa jikapun para pemuka yang merasa kaya itu tak hendak menyucikan jiwa.

Juga bahawa beliau harus menyambut mesra orang orang yang ingin memeluk cahaya; siapapun mereka, apapun latar belakangnya, bilapun waktunya dan betapapun musykilnya. Bahawa beliau harus memahami betapa menggebu hasrat si buta ini untuk menyucikan diri. Dia, dengan segenap keterbatasannya, dengan segala susah payahnya, menyusuri gelap untuk menhadap baginda dan meminta dihafali ayat-ayat-Nya.

Dan bahawa baginda tak boleh membeza-bezakan sikap pada manusia disebabkan kedudukan mereka. Baginda harus berlaku adil pada para pemuka kaya itu, juga pada Abdullah yang papa. Sikap cinta dan kemesraan yang dirasa Abdullah dari baginda yang harus serupa, atau lebih tinggi. Kerana hakikat batin yang ada antara keduanyalah yang berbeza. Yakni, bahawa sikap pada pembesar Quraisy itu disebut dakwah; seruan pada kebenaran disebabkan cinta dan rahmat-Nya. Sementara sikap pada Abdullah bin Ummi Maktum disebut ukhuwwah, persaudaraan kerana kesamaan iman yang menyala dalam dada.

Yang satu dakwah. Yang lain ukhuwah. Dua-duanya disebabkan oleh cinta.

"Tahukah kamu barangkali dia ingin membersihkan dirinya dari dosa? Atau dia ingin mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? 
[Abasa, 80:3-4]

Sejak saat itu, Abdullah bin Ummi Maktum mendampingi Sang Nabi, belajar segala rupa kemanfaatan dari baginda, mentazkiyah diri dari dosa-dosa. Dia hidup dalam dekapan ukhuwah, merasakan manisnya persaudaraan Islam yang tak membeza-bezakan darjat, kepemilikan dan penampilan. Hingga satu waktu, Rasulullah mempersaudarakan lelaki buta nan dipandang sebelah mata ini dengan lelaki paling memikat di segenap penjuru Makkah; Mus'ab bin Umair. Beliau bahkan mengutus mereka berdua sebagai satu team kerja ke Madinah, memenuhi permintaan para penduduk Yathrib yang berbaiat di Aqabah. Mereka berdua harus membuka dakwah, menyapa jiwa jiwa yang haus akan nilai Rabbani.


Mus'ab yang rupawan, elegan, mengundang kekaguman dan berakhlak baik itu tugasnya menjadi daya tarik. Dengan tuturnya yang lembut, sikap santunnya yang memikat, hujah hujah tak terbantah dan susunan kata yang mempersona, dia taklukkan hati para pemimpin kabilah. Antara mereka ada Usaid bin Hudhair, As'ad bin Zurarah dan Saad bin Muadz yang keislamannya diikuti oleh seluruh kaum. Alhamdulillah...

Sementara Abdullah punya tugas tak kalah penting; melakukan pembinaan bagi mereka yang berserah diri ke jalan Allah. Dikumpulkannya penduduk Madinah kelompok demi kelompok. Dibacakannya ayat-ayat Allah kepada mereka. Lalu Abdullah mentazkiyah mereka, mengajarkan kitab dan hikmah, membimbing mereka memahami jalan kehidupan yang diajarkan oleh Muhammad saw. Kebutaan Abdullah mungkin adalah kekuatannya; dia tidak pernah menderhakai Allah dalam pandangan mata, tak mudah tergoda oleh kemilau harta ataupun kejelitaan rupa.

Perpaduan Mus'ab bin Umair dan Abdullah bin Ummi Maktum di Madinah adalah perpaduan dakwah penuh cinta, dalam dekapan ukhuwah. Zahirnya, penampilan mereka mungkin berkebalikan, tapi batin mereka kompak, saling menyokong, saling melengkapi dan saling menggenapkan. Mereka menyemai bibit peradaban madani di atas suburnya tanah Yathrib, di mana kelak Sang Rasul memimpin perubahan wajah dunia dari kota itu. Mereka merintisnya, dalam dekapan ukhuwah.

[Dalam Dekapan Ukhuwah, Salim A. Fillah, Pro-U Media, 2010]

No comments:

Post a Comment

Labels