Sunday 27 February 2011

Tazkirah yang Mudah


Duduk di Sheffield, Uk ni memang terasa suatu fenomena baru, Fenomena -taz. Secara simplenya, ini program garapan umum kami dalam team Isma Eropah untuk menyampaikan tazkirah secara santai. Bawah ni ada sedikit kompilasi famili -taz yang telah kami diadakan.

Futaz: Futsal + Tazkirah. Adik beradik -taz pertama yang aku jumpa. Mengisi pagi hujung minggu kami dengan bermain bola, daripada lepak / tidur dalam rumah. Dengan tujuan sihatkan badan, rapatkan ukhuwwah dan mantapkan ketepatan masa.

Motaz: Movie + Tazkirah. Baru sekali pernah buat, bersempena Hari Raya Haji dulu. Demand dah ada banyak kali. Tapi rasa macam tak ada masa yang sesuai untuk buat tayangan ni. Mungkin movie seterusnya adalah "Valley of the Wolves: Palestine", sama-sama kita nantikan.


Facetaz: Kerja ikhwah kami di bahagian selatan. Facebook menjadi medium utama tazkirah, melalui macam-macam jenis gambar yang ada. Walaupun nampak simple nak buat, mudah-mudahan kesannya nampak lebih besar. Kompilasi album ada di sini.

Pemenang anugerah Facetaz yang paling catchy, "Kerana Dakwah adalah Cinta"

WikitaZ: Keluar idea selepas memikirkan apa yang boleh dibuat dengan skill dan kegemaran yang aku ada. Lepas berbincang sesama ahli usrah, kami putuskan WikitaZ untuk jadi kerja dwimingguan sesama.kami. Lebih kepada info bergambar / teks / nombor berkaitan isu-isu semasa. Kompilasi album ada di sini.

WikitaZ #5. Credit to Iqbal Tahir. Edisi terbaru untuk minggu ini.

Bataz (Badminton) masih tak dijumpai, Pantaz (Pancing) pernah dicadangkan, mungkinkah akan keluar Tubetaz (video) pulak. Dunia semakin maju, trend semakin berkembang. Method dakwah pun perlu didinamikkan. Sama-sama kita nantikan perkembangannya.

Satu harapan utama yang kami letakkan. Mudah-mudahan dengan tazkirah berterusan ini mampu memanfaatkan hati-hati yang beriman, sebagaimana yang disebut dalam az Zariyat, 51:56

Dan tetaplah memberi peringatan, karena sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.

Tak susah nak berikan tazkirah kan! Manfaatkan skill diri yang dah ada.
Berminat nak join task force kami: emailkan masuk faqihaqilias@gmail.com

Thursday 24 February 2011

Offer, Pilih dan Terpulang

Bukan malu atau segan yang aku rasa
Tapi pentingnya kita tidak paksa-memaksa

Bila tengok video ni, aku rasa ada sesuatu yang tak kena pada video ni. Bukan nak salahkan mana-mana watak, tapi aku rasakan ada atmosfera tak harmoni yang wujud sehingga melahirkan video ini. Mungkin aku ni terlalu sensitif, tapi inilah yang aku rasakan apabila selalu memikirkan tentang dunia dakwah ini.

Didekati pelbagai geng sehingga merasakan dirinya dipaksa mengikuti salah satu daripadanya

Yang aku dapat komen, dakwah itu sifatnya kasih sayang. Sebab itu mereka akan dekati anda dengan nilai ini dengan menawarkan pertolongan, berikan bantuan, isikan dengan kemesraan. Aku juga begitu, cuba memasukkan dan menunjukkan kasih sayang terhadap orang yang aku jumpa. Kalau bukan dengan manis muka di depan, aku tunjukkan melalui tindakan. Doa di belakang juga akan aku kirimkan.


Tapi soal paksa-memaksa, itu sepatutnya tidak ada, bahkan tak perlu dirasa. Itu bukan cara kami. Bukan juga cara figur teladan kami. Kalau nak ikut berjalan bersama kami, dipersilakan. Ini yang kami inginkan. Kami akan ceritakan kepada anda kelebihannya kalau anda bersama kami, sehingga anda yakin kepada kelebihannya sebagaimana kami percaya kepadanya. Sehinggakan kami dapat berkata kepada anda sebagaimana katanya pengasas al Ikhwan al Muslimun:

Orang ini akan kita ajak supaya bersama kita dan bekerja bersama kita supaya dengan ini bilangan para mujahidin akan bertambah dan suara para pendakwah akan semakin berkumandang. Tiada erti sebuah keyakinan tanpa disertakan dengan amalan. Tiada erti sebuah akidah jika ia tidak mampu membawa manusia untuk merealisasikannya dan berkorban deminya. Begitulah sikap generasi pertama yang telah diberikan hidayah. Mereka mengikut dan meyakini risalah para nabi kemudian mereka berjuang bersungguh-sungguh. Mereka akan menerima ganjaran yang besar daripada Allah. Mereka juga akan memperolehi ganjaran yang sama diperolehi oleh orang yang mengikut mereka. Tidak kurang walau sedikitpun.
[al Banna Dakwatuna]

Tapi kalau anda tak nak, itu tidak menyedihkan kami. Terpulang kepada diri masing-masing untuk membuat keputusan. Kami tiada hak untuk memaksa diri anda. Nak bertepuk, perlu dua belah tangan. Nak berkasih sayang, perlu dua-dua belah pihak. Dan kami merasakan dakwah ini juga ada izzahnya. Kami tak akan menampakkan lemahnya dakwah ini dengan terhegeh-hegeh menyuapkannya kepada mulut yang degil ditutup. Kalau tak nak, katakan tak nak. Takdelah kami ternanti-nanti. Ada orang lain yang boleh kami fokuskan lagi.
Ibarat al Maududi dalam Syahadatul Haqnya, tiga jenis pilihan yang kami tawarkan kepada anda: Anda bersama kami untuk membantu kami beramal untuk kepentingan dunia dan akhirat bersama, atau bersama geng lain dengan amalan dan panji mereka, atau membentuk geng lain yang anda yakini anda dapat tunaikan kewajipan agama kamu dengannya. Pilihlah antara tiga geng ini, kelak anda tak akan "menuju kesesatan yang hakiki".

Yang kami dapat katakan setelah berusaha untuk mengajak anda menyertai kami adalah, "Saksikanlah Ya Allah, kami sudah berusaha menyampaikannya, meskipun dengan pelbagai kekurangan yang kami ada."

Senada dengan laskarmentari, cuba yang ni lembut lagi

Monday 21 February 2011

Harapan Itu Masih Ada

Ittifaq pada kepentingan bersama
Tasamuh pada perkara ikhtilaf

Terima Kasih Ustaz Isa!

Hari ni hati jadi berbunga-bunga. Dua hari kena berikan fokus, berprogram di Birm,  "I'm Muslim, I'm Okay". Selang masa antara slot, tengok-tengok isu semasa apa yang terjadi. Sempat ternampak satu isu menarik. Balik rumah, baru sempat membelek rss puas-puas untuk membaca isu sebenar beserta entri komen pro dan cons dari blogger.

Tiga artikel ni cukup untuk menceritakan berita apa yang seronok tu.



Apa yang aku faham, bacaan politik ini seperti ini akhirnya disedari. Mengutamakan / fokus pada isu Melayu. Inilah yang Ibnu Khaldun gambarkan pada zaman dahulu sebagai "syaukah" bagi Islam di Malaysia. Sebab orang Melayu itu core di sini. Apa yang berkaitan Melayu di Malaysia, ada kaitannya dengan Islam juga.

Harapnya isu ini akan segera diberikan tindakan. Jangan dibawa tabiat suka membangkang. "Apa isu yang orang sana kemukakan, orang sini bantai. Orang sini kemukan isu, orang sana pulak bantai."

Apabila isu ummah gagal dilihat secara keseluruhan, timbullah politik dikotomous.
Kalau anda tak A, maksudnya anda B. Salah tu!

Teringat ketika aku kibarkan bendera "Melayu Sepakat Islam Berdaulat" dulu, walaupun agak menongkah arus pada mulanya, terjumpalah dengan macam-macam jenis orang. Yang pandai melabel, mula keluarkan komen "racist, assabiah, jahil". Ada yang kurang faham, lalu berkata "tak elok agungkan bangsa". Bahkan ada yang gagal bersangka baik sehingga berikan komen "bukti kejahilan mereka tentang hakikat sebenar Islam". Tapi sekarang, bila figur hebat / besar ini pulak membawakan isu yang sama, aku sangka baik mereka ni tidak malu untuk meminta maaf atau menarik balik perkataan kasar mereka dahulu.

Cuma yang aku perasan, satu je isu yang kita semua dapat sepakat dan rasa bahagia bersama: isu Palestin. Inilah model kesepakatan yang kita mahu gambarkan. Harapannya, moga terbuka lebih besar lagi ruang yang kita boleh sepakat terutamanya yang berkaitan dengan maqasid syariah di Malaysia ini.

Apakah saranan-saranan ini akan menjadi kenyataan? Itu saya tidak dapat pastikan. Cuma yang jelas di sana sudah ada pemikiran yang melihat akan pentingnya memberi keutamaan kepada orang Melayu.
[Aminuddin Yahaya, Suara dari Gunung] 

Bukan sikit talk / entri aku baca dari pemimpin A dan B, tapi aku tertanya-tanya juga,
aku yang salah faham hasrat pemimpin mereka atau mereka yang ikut cara sendiri

Friday 18 February 2011

Main Tarik-tarik


Dua tarikan dalam diri kita. Dichotomous.
Kalau bukan tarikan iman, ia akan jadi ruang kepada syaitan.

مَا جَعَلَ اللَّهُ لِرَجُلٍ مِنْ قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ
Allah sekali-kali tidak menjadikan bagi seseorang dua buah hati dalam rongganya
[al Ahzab, 33:4]

Kalau join Quranic Circle @ Holberry kami semalam, ayat femesnya: 
The Power is On Your Hands.

Nak beriman boleh, nak kufur pun dipersilakan. [al Kahfi, 18:29] 
Tapi kalau tak faham dengan bahasa sindiran Allah tu, kesan-kesannya dah diceritakan.


Muhasabah, apa dah jadi dengan masa anda yang berlalu hari ini?

Tuesday 15 February 2011

Ahli Ibadat yang Bermain-main


Jom ke Birm lagi hujung minggu ni
"I'm Muslim, I'm Okay!"

Ulama zaman dahulu lebih merelakan kurangnya zuhud mereka untuk keluar turun bermasyarakat. Walaupun menyedari hubungan Allah adalah penting, uzlah atau pertapaan bukan menjadi pilihan utama, kerana hubungan dengan manusia pun ada haknya. Sampaikan ada diceritakan kisah mereka yang mabuk beruzlah pulun berzikir dan munajat kerana Allah pun kena marah. Sebab tak berkadaran dunia dengan akhiratnya.

Padahal agama ini ada fardu, sunat dan istighfar kepada Allah
Agama ini adalah medan jihad, kepahlawanan
yang menghancur-leburkan kejahatan dan penyangak
Agama ini pemerintahan atas nama Tuhanmu
Menegakkan keadilan, bukan kezaliman dan bukan ambil tak kesah
[Abu Ammar, al Muntalaq]

Sebab itu jangan risau kalau tak dapat cukup rakaat qiyam kita, jangan risau kalau terlambat tempoh khatam al Quran kita, jangan risau berkurang wirid dan zikir kita, kalau masa perlu banyak digunakan untuk tarbiyyah dan dakwah.

Itu pengajaran yang kita dapat daripada mereka yang terdahulu. Zuhud mereka berkurang, ada alasan syar'inya. Kita zaman sekarang, zuhud kita pun berkurang juga. Tak cukup qiyam mungkin sebab dah penat berlagha. Terlambat tempoh khatam Quran mungkin sebab banyak baca komik, layan movie, tengok tv. Atau kurang zikir dan istighfar sebab banyak bersembang kosong.

Sungguh ironi kalau begitu sifirnya!

Saturday 12 February 2011

Stand Up!

You and I have the power Think good of one another
So stand up and take our places And do what we do better


Laungan merdeka mereka akhirnya termakbul. Apa yang disifatkan sebagai kemenangan ini perlu disyukuri dan disambut dengan gembira. Mudah-mudahan, ini merupakan kemenangan daripada Allah, yang perlu disikapi sepertimana disebut dalam an Nasr, 110:3.

maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima tobat.

Kata seorang akh tu, Allah tak khususkan untuk kita memuji dan membesarkan-Nya melalui surah ini, sebaliknya Allah menyuruh kita menyucikan-Nya dan memohon ampunan kepada-Nya. Pasti ada hikmahnya di sebalik galakan Allah melalui ayat ini. Nak tahu kenapa, tu kena belajar tafsir Quran lebih detail lagi.

Maka kemenangan yang ada ini perlu ada pengisiannya. Masa depan masih samar-samar, bagaimana Mesir akan berdepan dengan dunia luar. Bagaimana orang sekeliling kita terinspirasi daripada semangat Misriy ni. Bagi aku, ini peluang untuk kita Stand Up bersama-sama.


Bila dah ramai orang memang semangat nak berjuang ni, maka kita akan berjumpa dengan pelbagai jenis orang. Ada yang berjuang bukan atas kefahaman yang betul. Mungkin sebab perkauman / sayang tanah air / jaga kepentingan ahli keluarga / balas dendam etc.

So kita raikan mereka ni untuk berjuang. Tapi jangan sampai mereka mempengaruhi cara kita berjuang. Kehadiran mereka akan menambah tenaga / idea / kewangan / semangat / skills etc. Ketentuan di hujungnya kita serahkan pada Allah. Kalau ikut hadis Rasulullah dalam hadis atas tu, "La Yadkhulul Jannah Illa Mu'min." Yang beriman pasti akan masuk syurga. 

Pendek kata, dakwah n jihad bukan eksklusif, ia utk semua! Jangan pinggirkan sesiapa yang ingin berjuang. Kerana keadilan dan kemerdekaan itu milik bersama.

Hari ni belajar masukkan lirik lagu dalam video. MiniLyric memang membantu.
Kita belajar sikit-sikit buat video ni.

Wednesday 9 February 2011

Biarkan Hati ini Tenang

Catatan seorang lelaki yang single
Belum beristeri, apatah lagi mempunyai baby

Dah masuk semester kedua di UK ni, aku terpaksa akui yang aku dah dijangkiti suatu perasaan. Yang aku tak pernah terbayangkan sebelum ni. Bukan perasaan nak kahwin. Tapi perasaan rindu famili di Malaysia. Teringat masa di Klia dulu, sebelum fly, rasanya hati ni kering jer. Waktu tu, rasa sedih tu langsung tak de, apatah lagi rasa nak menangis. Sebelum fly, aku siap scheduled suatu entri happy untuk publish tepat dengan masa flight depart. Nak tunjuk rasa sedih tu tak de, dan supaya ahli famili aku yang lain pun jangan sedih.


Tapi sekarang dah rasa lain. Pagi tadi boleh pulak mimpi dua kali pasal famili. Mimpi pertama, aku balik rumah disambut semua ahli keluarga aku dengan sangat gembira. Dah bangun tu, duduk-duduk, boleh pulak tertidur balik, dan mimpi kedua bersambung, aku kena siap-siap kejar flight balik semula ke Uk. Habis mimpi, rasa rindu dan sayu itu datang. Pagi tu, masa jalan ke kelas, duduk dengar lecture, beli barang, semuanya asyik teringatkan famili jer.

Kalau rujuk dalam sirah Rasulullah, memang ada cerita baginda dan para sahabat yang rindu apabila keluar meninggalkan negara asal mereka, Mekah untuk berhijrah. Begini ar Raheeq al Makhtum bercerita:

Kata Aisyah: Setibanya Rasulullah ke al-Madinah, Abu Bakr dan Bilal terus lemah badan, Aisyah masuk menemui mereka berdua untuk bertanyakan khabar mereka, "Bagaimana bapa mendapati diri bapa. Dan bagimana pula kau Bilal?". Kata Aisyah, "Abu Bakr ini apabila terasa demam berat beliau akan berkata: "Setiap insan bersama keluarganya, sedang kematian lebih hampir kepadanya dari tali kasutnya."

Dan Bilal pula akan menyebut-nyebut:
ألا ليت شعري هل أبيتن ليلة * بواد وحولي إذخر وجليـل
وهل أردن يوما مياه مجـنة * وهل يبدون لي شامة وطفيل
"Kalaulah ku mengetahui; Apakah ku masih berkesempatan untuk bermalam di lembah Makkah di sebelahku hkhir dan Jalil
Apakah pasti suatu hari ku berminiim dari air Mijannah Apakah pasti ku dapat melihat melihat Shamah dan Tufail."

Kata Aisyah lagi: Dengan itu ku pun datang menemui Rasulullah dan memberitahu Baginda hal dua orang sahabatnya itu, maka sabda Rasulullah yang bermaksud:

"Ya Allah Tuhanku perkenankanlah cinta kami kepada al-Madinah seperti cinta kami kepada Makkah atau lebih darinya, berilah kesihatan kepadanya, berkatkanlah cupak dan gantangnya, pindakanlah demamnya itu serta letakkannya ke Juhfah."

Terserlah kecintaan Rasulullah dan para sahabat pada tanah air mereka selepas hijrah. Baru aku tersedar, mulanya ingatkan bila fikir pasal hidup di negara orang, studi n then dakwah lagi, rasa rindu tu tak datang, rupanya anggapan aku tu salah. Kalau dalam Majmuatu Rasail, sajak rindu Bilal ra itu diceritakan juga. Amat indah dan sayu. Ditambah dengan kisah Rasulullah bersama seorang sahabat bernama Usail ra. "Suatu ketika Rasulullah s.a.w. terdengar kata-kata Usail yang cuba mengungkapkan keindahan Mekah. Air mata baginda mengalir kerana rindukan Mekah. Baginda bersabda:

يا أصيل دع القلوب تقر
"Usail, biarkanlah hati-hati ini tenang."

Itulah, bila dah rasa rindu ni, sekarang aku dah tengah rajin usha fb n blog famili aku. Semalam, tempoh paling lama aku bersembang dengan mak di rumah. Itupun rasanya belum cukup lagi. Macam-macam cerita n haluan yang ahli keluarga dah ada dan ubah sejak aku fly tahun lepas. Hanya doa yang aku dapat berikan, agar mereka sentiasa berada dalam lindungan rahmat dan keberkatan-Nya.

Dan sekarang, rasanya tak lambat untuk aku katakan, seperti katanya Rasulullah
"Dail Qulub Taqr!", "Biarkanlah hati ini menjadi tenang..."

Sunday 6 February 2011

Jom Kultwit #msib

Tiada yang lebih menyeronokkan 
apabila kita berjaya dapat ruang n peluang mempromosikan idea kita

Pernah dengar kultwit? Ha, ni benda best aku nak share. Akhirnya aku dah menjumpai sesuatu yang menarik mengenai twitter setelah sekian lama mencari apa bestnya twitter sedangkan facebook dah ada. Nak senang faham, KULTWIT = KULiah TWITter. Menggunakan Twitter untuk menyampaikan sesuatu kuliah / artikel.

Kali pertama aku jumpa Kultwit ni, tajuknya memang best. #Nikah. Banyak-banyak kali aku ulang baca lantaran bestnya tajuk dan cara penyampaian. Sampai sekarang dah dekat 10 jenis kultwit yang pernah aku jumpa. Bawah ni ada beberapa contoh.


Yang aku perasan, walaupun tajuknya mula-mula nampak berat dan tak best, tapi apabila dikultwitkan, rasa tak bosan pulak bacanya. So, kali ni biar aku (@faqihaqili) buat kultwit mengenai #msib (Melayu Sepakat Islam Berdaulat). Sebenarnya ni kompilasi komen aku dalam group fb gen52kisas mengenai KEMM1511 ni. Tak salahnya kot aku keluarkan komen-komen aku dari group ke sini.

  • so secara ringkasnya: isma melihat perpecahan dalam kalangan Melayu terutamanya melalui blok politik sebagai sesuatu yang boleh membahayakan survival Islam di Malaysia. #msib 
  • Analoginya, kalau kita tak suka sesama ahli keluarga kita berpecah atau bergaduh / buat tak concern pasal masalah yang berlaku yang sedang berlaku pada keluarga kita, macamtulah kita tak nak orang Melayu Islam berpecah / bergaduh / xpeka tentang masalah mereka. #msib 
  • Wallahu A'lam. Pendapat daripada warga Uk yang xkesampaian ke KEMM1511 #msib 
  • KEMM1511 dah lepas dah la Akmal. Sabtu lepas buatnya, kat Utem Melaka. #msib 
  • Anyway, bawah ni reply aku kepada komen di atas. Sebolehnya aku reply ikut kronologi, tapi ada komen korang yang aku sekalikan reply. Hadamkan yer. #msib 
  • Perhatian: Aku bukan ahli Isma pun yer. Ni hasil sangka baik dengan perjuangan Isma :) #msib
  • Bagi Isma, ini persoalan strategik. #msib
  • Alasannya, kita tak boleh nafikan fakta bahawa orang Melayu itu Islam dan mereka adalah bangsa majoriti, 60%. FYI: bangsa lain yg muslim di negara ini hanya sekitar 100,000 lebih sahaja. #msib
  • Adakah kita nak bergantung kepada 100,000 ini atau 16juta manusia yg bergelar Melayu Muslim? Mari kita sama-sama faham fiqh awlawiyyat dan fiqh dakwah di sini. #msib
  • Isma pun tak pernah kata mereka berdakwah atas nama Melayu. Namapun Ikatan Muslimin Malaysia. Dakwah off course la atas nama Islam. #msib
  • Bangsa lain: Mereka ada organisasi lain sebagai platform utama mereka. eg Macma for Cina / Kimma for India. #msib
  • Sebagaimana kita tak perlu rasa descriminated dorang ada NGO n aktiviti tersendiri, mereka pun tak perlu rasa descriminated dengan organisasi n program yang kita ada. #msib
  • Yang penting: kita sepakat dalam membawa agenda Islam. So, tiada soal descrimination di sini. #msib
  • Feeling being descriminated kan tak bagus, especially dalam diri seorang pejuang :) #msib
  • Ridhuan Tee pun tak rasa descriminated, kita yang Melayu feeling lebih-lebih buat apa :) again #msib
  • Analogi II: Sebagaimana slogan "Ukhuwwah teras Kegemilangan" digunapakai, macam tu jugak cara nak faham #msib
  • Kita tak nafikan unsur-unsur lain sebagai teras kegemilangan eg kefahaman, keikhlasan, pengorbanan, tapi kita ingin highlightkan pada ukhuwwah tu. #msib
  • Rasanya "al Fahmu" / ilmu yang jadi unsur nombor satu perlu ditekankan pun tak perlu rasa descriminated, apatah lagi cemburu dengan "ukhuwwah" tu. #msib
  • Analogi III: Tengok nama PAS (Parti Islam SeMalaysia) pulak. #msib
  • Adakah perlu orang Indonesia / Mesir perlu rasa descriminated dengan nama parti ini kerana fokusnya membawa Islam kepada rakyat Malaysia. #msib
  • Dorang tak perlupun, sebab dorang pun ada cara perjuangkan Islam di negara masing-masing. #msib
  • Sebagaimana Pas buat kerjasama dengan organisasi lain satu dunia ni untuk martabatkan Islam, begitu juga Isma membuat kerjasama dengan badan lain untuk tujuan yang sama. #msib
  • Keypoint di sini: FOKUS #msib
  • Allahkan iktiraf kewujudan bangsa banyak-banyak ni. Betul dah tu, Islam tu luas. #msib
  • Ada Melayu / Arab / Cina / India sebagaimana disebut dalam al Hujuraat, 49:13. #msib
  • Jadi tak perlulah kita nak menafikan kepelbagaian yang ada ni dalam memperjuangkan Islam. #msib
  • Baru-baru ni Mursyid Am IM Mesir ada tulis mengenai kebangkitan penduduk Mesir; kelebihan, kedudukan dan peranan yang mereka mainkan. http://bit.ly/i65XrB. #msib
  • Rasanya, tak perlu lah kita nak rasa descriminated dengan tulisan Prof Dr Mohd Badi' ni #msib
  • kerana hakikatnya, yang diceritakan oleh beliau merupakan keagungan / kelebihan yang mereka ada, tanpa menafikan kelebihan yang negara / bangsa lain. #msib
  • Islam tetap punca kemuliaan sesiapapun, baik dia Arab / Melayu etc. Bukankah NAHNU Qaummun A'azzana Allahu BIL ISLAM? #msib
  • Nak lihat hakikat dakwah Rasulullah + sejarah lampau Islam, ni ada 10 sirah berkaitan kat link ni. http://bit.ly/e1fEmq #msib
  • "Seruan memperjuangkan hak-hak Melayu berlandaskan Asobiyyah Jahiliyyah adalah bertentangan dengan aqidah saya." #msib
  • Analogi IV: Sebab Allah ada suruh "Wa Anzir Asyirataka al Aqrabin" [asy Syuara’, 26:214], #msib
  • tak maksud kalau kita fokuskan pada al Aqrabiin / keluarga (bahasa analogi = bangsa) kita tu, kita ketepikan hakikat Islam tu untuk Ammatun Naas. #msib
  • Korang banyak dakwah kat family korang tak? :) #msib
  • "El Ameerah ISMA ade strategi sndiri utk sebarkan Islam..mari bersangka baik! :)" Seronok ada attitude macam ni. #msib
  • Jangan buruk-burukkan perjuangan orang lain sudah la, selagi mana terasnya Islam. #msib
  • Nun di luar sana, masih ramai kawan kita yang belum ada strategi lagi utk sebarkan Islam. #msib
Yang aku rasa puas, aku dah cuba sampaikan mesej #misb tanpa perlu terlibat dengan perselisihan faham yang serius. Ye la, bila apa yang orang katakan semuanya perkara yang betul-betul belaka, maka tak perlu bagi kita nak melaga-lagakan antara perkara betul tu. Kalau orang yang beri komen memang dah stick pada prinsip perjuangan mereka, maka biarlah pembaca senyap yang menilai akhlak dan hujah yang terpapar.

Jom Kultwit!

Tak dikultwitkan pun sebenarnya
Hanya nak cuba guna gaya kultwit dalam penulisan

Thursday 3 February 2011

Kenali Ikhwan Muslimin / MB


Dah tersebar luas video talk show mengenai kebangkitan rakyat Mesir, Muslim Brotherhood dan juga Khilafah. Itulah yang terjadi apabila orang luar cuba nak bercerita mengenai misi n visi sesebuah organisasi. Perkara yang kecil cuba ditafsir dan diberikan pengertian menggunakan kanta yang salah. Ibarat kes-kes Islamophobia sebelum ni, yang bahkan memetik kecil ayat al Quran sebagai hujah melawan Islam, begitu juga yang terjadi sekarang. A correct text, but with explanation out of context.


Nak kenal Ikhwan Muslimin, kenalah baca n teliti apa dasar perjuangan mereka. Majmuah Rasail tu bacaan asas, belum lagi kalau nak kira ceramah Tsulatsa', mahupun tulisan tokoh-tokoh Ikhwan lain. Pernah tau apa prinsip mereka? Kenapa mereka keluarkan kenyataan tidak memimpin kebangkitan 2011 ini, sebaliknya menyertai dan memberi sokongan kepada rakyat. Bawah ni satu contoh, apa pendirian mereka mengenai perubahan melalui jalan revolusi.

Sesungguhnya matlamat Ikhwan Muslimin ialah membina generasi baru dari kalangan orang-orang yang beriman dengan ajaran-ajaran Islam yang sahih. Mereka bekerja mencorak orang ramai dengan corak Islam yang sempurna. Jalan Ikhwan pula ialah merubah suasana umum masyarakat dan mentarbiyah pendokong Dakwah dengan ajaran-ajaran Islam sehingga mereka menjadi teladan kepada orang-orang lain … Ikhwan berjalan menuju matlamat mereka melalui batas-batas jalan mereka di atas. 
Adapun jalan revolusi, Ikhwan Muslimin tidak memikir dan bergantung kepadanya. Ikhwan tidak meyakini menfaat dan hasilnya. Walaupun begitu Ikhwan berterus terang kepada pemerintah di Mesir, sekiranya keadaan dalam negara berkekalan seperti ini dan pemerintah tidak mengambil langkah segera membaiki keadaan, pasti ia akan membawa kepada revolusi yang bukan dari perbuatan Ikhwan, akan tetapi dari tekanan suasana, tuntutan keadaan dan cuai terhadap perbaikan-perbaikan dalam masyarakat. 
[Hasan Al-Banna]

Semoga Allah swt memelihara kita dari hidup dibawah pemerintah yang zalim, ketidakstabilan dan kacau bilau dalam negara dan kelesuan rakyat yang tidak endah apa yang berlaku disekelilingnya.
Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib suatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada dalam diri mereka (jiwa, sikap, akhlak dsb)”
[ar Ra'd, 13:11]

Edit daripada: Ini Jalanku

Oh yer, MARATHON dah masuk siri kesepuluh semalam. Akronim bagi Majmuatu ar Rasail: Tahu, Hadam, dan On-kan Sepanjang Jalan. Aktiviti suka-suka mingguan. Ni pun satu cara nak fahami method / perjuangan mereka. Subscribe, jangan tak subscribe.

Labels