Tuesday, 21 September 2010

Musafir Sheffield

Alhamdulillah, akhirnya kami sudah menjejakkan kaki ke bumi England. Dengan suhu sejuk tak terjangka, 7 darjah, baru dapat merasa peluang bercakap dengan mulut keluar wap. Perjalanan kami perlu cepat. Sesampai di London 0535, kami bertujuh perlu segera mengejar gate seterusnya yang akan tutup 0725, ditambah lagi dengan sedikit masalah birokrasi dan adaptasi. Alhamdulillah, naik British Airways yang kiut untuk ke Manchaster, sebelum perlu ke rumah sewa.


Buminya cantik. Dua scene yang sangat biasa dilihat sepanjang perjalanan kami ke Sheffield: Padang berbukit yang menghijau atau bangunan berbatu-bata merah. Naik British Airways memang boleh nampak petak-petak hijau, yang kebanyakannya menjadi tempat gembalaan kambing. Sangat luas, dengan bilangan kambing yang banyak, menyebabkan kami teringat kepada cerita Saidina Umar dengan kambing.

Kisah dari Abdullah bin Dinar, dimana beliau pernah berkata, Aku telah keluar bersama Saidina Umar al-Khattab ke Mekah, tatkala itu turun seorang budak gembala dari atas bukit yang berdekatan dengan kami, Umar pun berkata seakan menguji budak gembala itu.

Hai budak gembala, engkau jualkan saja seekor dari kambing biri-biri ini padaku. Kata budak gembala: Aku adalah hamba kepada tuanku sedangkan kambing-kambing ini adalah kepunyaannya.

Tanya Umar pula: Engkau katakan saja pada tuanmu, kambing itu dimakan serigala. Kata gembala: Kalau begitu dimanakah Allah? Tidakkah Dia Maha Melihat? Mendengar jawapan gembala itu, Saidina Umar menangis tersedu-sedu. Keesokannya, Umar menemui budak gembala itu dan tuannya, lantas membeli dan memerdekakannya. Umar berkata kepada hamba itu : Aku merdekakan engkau di dunia ini dari tuanmu, moga-moga engkau merdeka juga di Akhirat nanti.

Barulah kami dapat merasa dan menghayati lebih mendalam kisah lama ini. Memang itu yang kami fikirkan. Jika kejujuran tiada dalam diri, siapa yang tidak tergerak hati untuk mendapatkan keuntungan sedikit dengan menghilangkan satu dua ekor kambing? Tetapi, budak gembala ini memang menakjubkan, dialognya berkualiti, memaparkan keimanan yang tinggi dalam hati. Kita dan budak sekeliling kita pula bagaimana?

Popular Posts