Monday, 21 June 2010

Ini Hasil Doa-doa Mereka

Kisah Zaid b Amr 
Zaid berhenti berkelana. Dia kembali ke Mekah menunggu nabi yang dijanjikan. Ketika Zaid sedang dalam perjalanan pulang, Allah mengutus Muhammad menjadi nabi dan rasul dengan agama yang hak. Tetapi, Zaid sebelum sempat bertemu dengan baginda, dia dihadang perompak-perompak Badwi di tengah jalan dan terbunuh sebelum dia kembali ke Mekah. Sewaktu dia akan menghembuskan nafasnya yang terakhir, Zaid menengadah ke langit dan berkata, 
"Wahai Allah, jika Engkau mengharamkanku dari agama yang lurus ini, janganlah anakku Sa'id diharamkan pula daripadanya."
Download dan Edit daripada: e-book www.pakdenono.com

1. Doa Zaid b Amr akhirnya dikabulkan Allah. Anaknya, Sa'id b Zaid diiktiraf oleh Rasulullah sebagai salah seorang sahabat yang dijamin memasuki syurga dalam suatu hadis bersama sembilan orang sahabat yang lain.

2. Apa yang saya pelajari, dalam kesenangan yang kita rasai dalam hidup kita, adanya hasil daripada doa yang dipohon oleh orang-orang yang terdahulu daripada kita. Sebagai contoh, Nabi Ibrahim, dalam [al Baqarah, 2:158] pernah berdoa kepada Allah, dan kelihatannya doa baginda dimakbulkan oleh-Nya.

"Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;

3. Dalam konteks tarbiyyah dan dakwah, keberadaan kita dalam medan ini tidak mustahil merupakan hasil doa ibu bapa datuk nenek moyang kita yang terdahulu. Mungkin sahaja mereka tidak berpeluang berhalaqah, sebarkan dakwah, namun hati kecil mereka berharap agar anak cucu mereka melakukannya pada masa akan datang, umpama kisah Zaid b Amr dalam cerita di atas.

4. Begitu juga dengan nikmat-nikmat yang lain. Ibu bapa, sebagai contohnya pasti mendoakan anak-anaknya berjaya cemerlang di dunia dan akhirat. Kita rasakan kita berjaya dan terus berjaya kerana hasil usaha dan kesungguhan kita, rupanya ada orang lain yang turut membantu dan mendoakan diri kita secara rahsia.


5. Pengajaran bagi kita, sewajarnya kita mendoakan juga agar orang lain turut merasai nikmat Islam, tarbiyyah dan dakwah atau kebaikan-kebaikan lain seperti yang kita rasai sekarang, ataupun yang lebih baik. Terutamanya bagi anak cucu kita, selain anak halaqah dan juga ikhwah seperjuangan. Mudah-mudahan dengan cara ini, kita dapat membina generasi Qurratu A'yun sebagaimana yang terkandung dalam doa pada [al Furqan, 25:74]

Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.

Popular Posts