Sunday, 2 August 2009

Menyampaikan Itu Perlukan Ketenangan

1. Suatu soalan ditanyakan: “Tarbiyyah yang diberikan ini tak cukup-cukup lagi ker?”

2. Argh, tidaaak. Orang yang bertanyakan soalan ini merupakan kawan aku sejak 4 tahun dulu, dan aku rasa jawapan yang aku berikan kejap lagi tidak akan memuaskan hatinya. Secara tiba-tiba, jantung berdegup dengan kencangnya. Memberikan jawapan itu bermaksud mendedahkan kelemahan dirinya. Secara tidak langsung.

3. Ditambah lagi dengan cuaca panas dan angin statik yang menyebabkan jantung ini gagal diperlahankan degupannya.

4. Aku dengan gelabahnya (kegelabahan masih lagi dapat disembunyikan) menjawab “Tak”. “Tarbiyah ini suatu proses berterusan. Fi’il Mudhari dalam ali Imran, 3:79 mungkin suatu tanda bahawa tarbiyyah ini tidak akan lengkap melainkan ia mesti dilakukan tanpa henti, tanpa rehat, selagi peluang masih ada.”

كُونُوا رَبَّانِيِّينَ بِمَا كُنْتُمْ تُعَلِّمُونَ الْكِتَابَ وَبِمَا كُنْتُمْ تَدْرُسُونَ

5. “Masih banyak lagi kelemahan yang ada dalam sistem tarbiyyah yang kita terapkan. Contoh, tarbiyyah yang diterapkan masih lagi gagal melahirkan golongan yang mampu bekerja untuk Islam, golongan yang mampu menggunakan bahan tarbiyyah yang diperolehi untuk berjalan dan menyebarkannya di tengah-tengah masyarakat.”

6. “Mereka menunggu nama mereka dipanggil, barulah mereka terasa terpanggil untuk mengeluarkan khazanah tarbiyah yang terkumpul dalam kepala otak mereka.”

7. Kegelabahan dalam diri terus meningkat. Bukan mudah untuk menyatakan kekurangan dan kelemahan dalam sistem tarbiyyah yang dia bawakan, lebih-lebih lagi kepada kawan aku sendiri. Jantung semakin laju berdegup, tangan sudah mula berpeluh, jari-jari pula dah mula bergetar.

8. Al Quran dihulurkan kepadanya. Ayat berikut dibaca dan diterjemahkan.

أَوَمَنْ كَانَ مَيْتًا فَأَحْيَيْنَاهُ وَجَعَلْنَا لَهُ نُورًا يَمْشِي بِهِ فِي النَّاسِ كَمَنْ مَثَلُهُ فِي الظُّلُمَاتِ لَيْسَ بِخَارِجٍ مِنْهَا كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْكَافِرِينَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

“Dan apakah orang yang sudah mati kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu dia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan orang yang keadaannya berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar daripadanya? Demikianlah Kami jadikan orang yang kafir itu memandang baik apa yang telah mereka kerjakan.”
[al An’aam, 6:122]

9. Ibn Kathir katakan mati itu terkapai-kapai dalam dalam kekeliruan dan kesesatan. Hidup itu bermaksud diberikan keimanan, hidayah untuk hidup dan hidayah untuk mentaati Rasul-Nya. Cahaya itu pula boleh sahaja al Quran, dan boleh sahaja Islam. Kedua-duanya tepat. Untuk dia bertemu dengan masyarakat.

10. Ketika ini, kegelabahan tidak dapat dikawal lagi. Quran yang ditunjukkan bergetar-getar. Ke atas ke bawah. Aku agak kawan aku dah dapat kesan. Apa-apapun, mesti berlagak tenang juga walaupun mungkin dah terkantoi.

11. Ketika menceritakan peristiwa di atas kepada ayah, ayah tergelak besar. “Baru tau macam mana nak berjuang. Baru digertak, diprovoke sikit dah gelabah.”
12. “Haa, ini baru bersembang dengan kawan sendiri. Belum lagi diprovoke polis ker, dah tentu lagi gelabah.” Tambah ayah aku lagi.

13. Dapat belajar suatu pengalaman, kita mesti tenang, jangan biarkan suasana gelabah mempengaruhi diri kita. Apa-apapun juga kita kena belajar daripada pengalaman orang lain.

Popular Posts