Tuesday 16 June 2009

Bukan kualiti, tapi kuantiti. (Dua-dua lagi Bagus)

Kita tahu kualiti lebih baik daripada kuantiti, tapi kadang-kadang hati kita memang teringinkan kuantiti yang banyak, lalu terabailah kualiti yang sepatutnya dijaga.

Kita rasa seronok dengan banyaknya ahli dalam halaqah kita, tapi perasaan seronok ni terus melenyapkan target utama kita yang lebih penting, iaitu untuk membina mereka semantap mungkin.

Dan kebiasaannya kita akan rasa sangat berat untuk mengutamakan kualiti berbanding kuantiti. Siapa yang tidak sayangkan ahli halaqah yang ramai. Siapa yang sanggup mengecilkan kuantiti ahli halaqahnya semata-mata untuk mengejar kualiti. Siapa yang sanggup menerima teguran dengan hati terbuka gara-gara kualiti dirinya masih belum terbina. Siapa yang sanggup terima teguran bahawa pembinaanya masih belum melepasi kualiti ditetapkan.

Contohnya, kita berasa seronok dengan kuantiti daurah yang belambak-lambak kita sertai. Tetapi kita jarang sekali meletakkan ukuran bagusnya daurah kita itu berdasarkan kualiti yang terbentuk. Berapa banyak daurah kita yang meletakkan resolusi yang perlu disepakati semua untuk mencapainya. Berapa ramai yang masih bersungguh-sungguh terikat dengan resolusi daurah-daurah yang pernah diikuti sebelumnya. Betullah kata seorang ikhwah ini, keberhasilan daurah kita hanya dapat diukur bermula beberapa hari selepas tamatnya daurah ini, bukannya sejak bermulanya daurah sehingga tamatnya daurah itu.

Almarhum Fathi Yakan dalam tulisannya Aids Haraki, ketika menceritakan penyakit berjangkit yang menimpa sesuatu gerakan dakwah, mengatakan bahawa sikap ingin mengutamakan kuantiti berbanding kualiti sering merosakkan sesuatu gerakan dakwah. Memang ini hakikat terutamanya ketika kita terlalu mengharapkan sokongan orang ramai untuk membantu planning dakwah kita, termasuklah apabila dakwah sudah masuk ke peringkat politik dan kekuasaan.

Mungkin nasihat daripada tokoh ini perlu kita perhatikan dari sehari ke sehari. Mudah-mudahan niat dan tujuan utama kita tidak terpesong. Ameen.
كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar."
[al Baqarah, 2:249]

No comments:

Post a Comment

Labels